Quran dan Sunnah begitu jelas tentang tanggungjawab moral manusia.
Allah SWT berfirman:
Katakanlah: "(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan tiap-tiap seorang, melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.
Ya, inilah tujuan sebenar kehidupan; ujian besar yang berakhir dengan Hari Pengadilan takkan membawa makna, melainkan pengadilan itu adil dan penuh erti. Jadi, Allah SWT memberikan kehendak bebas kepada manusia agar mereka berbuat baik. Dalam konteks ini, “kehendak bebas” bermaksud kita tidak dipaksa melakukan sesuatu apa pun. Kita diganjari ataupun dihukum di Akhirat berdasarkan apa yang kita lakukan dengan kehendak bebas yang Allah SWT berikan kepada kita.
Allah SWT berfirman:
Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam.
Allah SWT juga berfirman:
Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah dia mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat). Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengatur sebarang perkara yang dikehendakiNya).
Ibn Taymiyyah, ahli teologi dan fuqaha Hanbali menulis:
Antara perkara yang dipersetujui nenek moyang bangsa ini dan pemimpinnya mengenai kepercayaan mereka pada ketentuan dan takdir Tuhan adalah Allah SWT mencipta segala sesuatu, dan bahawa yang diizinkanNya tetap berlaku dan yang tidak diizinkanNya takkan berlaku, bahawa Allah SWT menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya dan menunjuki sesiapa yang dikehendakiNya, dan para hambaNya mempunyai kehendak dan kemampuan, bertindak berasaskan kemampuan dan kehendak mereka selaras dengan apa yang Allah SWT izinkan bagi mereka. Benarlah, para hambaNya takkan berkehendak melainkan Allah SWT menghendakinya.
Jadi, cara kita menggunakan kehendak bebas yang Allah SWT berikan kepada kita menentukan takdir kita.
Ringkasnya, amal baik membawa kepada pengakhiran baik, manakala amal buruk membawa kepada pengakhiran buruk.
Nabi ﷺ bersabda:
Amal baik melindungi daripada takdir buruk. Sedekah yang disembunyikan memadam kemurkaan Tuhan, mengekalkan silaturrahim, memanjangkan umur, dan semua amal baik adalah sedekah. Orang yang baik di dunia adalah orang yang baik di Akhirat, dan orang yang jahat di dunia adalah orang yang jahat di Akhirat. Dan yang pertama masuk Syurga adalah orang baik.
Ibn Abbas (ra) berkata:
Sesungguhnya, amal baik mendatangkan cahaya pada wajah, cahaya di hati, rezeki yang bertambah, kekuatan tubuh, dan rasa sayang dalam hati makhluk. Dan amal buruk menggelapkan wajah, kegelapan di dalam kubur dan hati, tubuh yang lemah, rezeki yang tersekat, dan kebencian dalam hati makhluk.
Secara khususnya, amalan memelihara silaturrahim adalah wadah yang mana Allah SWT menambah rezeki dan memanjangkan umur seseorang.
Nabi ﷺ bersabda:
Siapa yang ingin rezekinya diperluas dan umurnya panjang maka hendaklah dia bersilaturrahim.
Ibn Umar (ra) berkata:
Sesiapa yang takut pada Tuhannya dan memelihara silaturrahim, maka umurnya dipanjangkan, rezekinya bertambah, dan keluarganya akan menyayanginya.
Antara amalan terpenting bagi mengubah takdir adalah doa dan ibadah. Bahkan, tiada yang dapat menolak takdir buruk sepertimana doa.
Nabi ﷺ bersabda:
Yang dapat menolak takdir hanyalah doa. Yang dapat menambah umur hanyalah amalan kebaikan.
Nabi ﷺ juga bersabda:
Tidaklah seorang Muslim di muka bumi ini yang berdoa pada Allah dengan sesuatu doa, melainkan Allah pasti mengabulkan permintaannya, atau Dia menyingkirkan keburukan darinya, selama dia tidak berdoa bagi perbuatan dosa atau pemutusan silaturrahim.
Nabi ﷺ sendiri berdoa pada Allah SWT bagi melindunginya daripada takdir buruk kerana baginda tahu hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa menentukan segala sesuatu:
Ya Allah, tunjukilah aku dalam kalangan mereka yang ditunjukiMu, peliharalah aku dalam kalangan mereka yang dipeliharaMu, lindungilah aku dalam kalangan mereka yang dilindungiMu, rahmatilah aku bagi apa yang Kau kurniakan kepadaku, dan selamatkanku daripada kejahatan yang Kau takdirkan. Sesungguhnya, hanya Kau yang mentakdirkan dan tiada yang mampu mengatasi takdirMu. Sesungguhnya, sesiapa yang dilindungiMu tidak dapat dihina. Engkau Pemberi Rahmat, Tuhan kami yang Maha Berkuasa.
Abu Hurairah (ra) meriwayatkan,
Nabi ﷺ akan memohon perlindungan daripada Allah daripada keburukan takdir, daripada mengalami kesengsaraan, daripada musuh-musuhnya bergembira atas perkara buruk yang dialaminya, dan daripada ujian berat.
Sahabat baginda dan salafussoleh juga akan berdoa pada Allah SWT supaya mengubah takdir mereka dari buruk kepada baik.
Abu Uthman Al-Hindi pernah melihat Umar ibn Al-Khattab (ra) bertawaf sambil menangis dan berkata:
Ya Allah, jika Kau menulis bahawa aku dalam kalangan yang dirahmati, maka biarlah itu menjadi ketentuanku. Dan jika Kau menulis bahawa aku dalam kalangan yang berdosa dan dilaknati, maka padamlah ia dan masukkan aku dalam kalangan yang dirahmati. Sesungguhnya, Kau memadam dan menentukan apa sahaja yang Kau kehendaki, dan Ibu segala Suratan adalah denganMu.
Ibn Mas’ud (ra) berkata:
Ya Allah, jika Kau menulis bahawa aku dalam kalangan yang dilaknati, maka padamlah ia dan masukkan aku dalam kalangan yang dirahmati.
Shaqiq ibn Salamah (rha) berkata:
Ya Allah, jika Kau menulis bahawa kami dalam kalangan yang dilaknati, maka padamlah ia dan masukkan kami dalam kalangan yang dirahmati. Dan jika Kau menulis bahawa aku dalam kalangan yang dirahmati, maka tetapkanlah kami dalam ketentuan itu. Sesungguhnya, Kau memadam dan menentukan apa sahaja yang Kau kehendaki, dan Ibu segala Suratan adalah denganMu.
Pendahulu kita memahami yang apa sahaja yang berlaku – baik mahupun buruk – adalah ketentuanNya. Dalam satu kejadian, Umar (ra) berangkat ke Syria dan setibanya beliau di situ, rombongannya mendapati Syria dilanda wabak. Jadi, beliau mengumumkan yang mereka akan pulang ke Madinah. Abu Ubaidah menyoalnya, “Adakah tuan lari dari ketentuan Allah?” Umar (ra) menjawab:
Andai sahaja bukan engkau yang berkata seperti itu, wahai Abu Ubaidah. Betul, kita menghindari qada dan qadar Allah yang satu, namun menuju qada dan qadar Allah yang lainnya. Apa pendapatmu (hai Abu Ubaidah) jika untamu berada di lembah yang memiliki dua lereng yang salah satunya subur menghijau, sementara lereng lainnya gersang? Bukankah jika engkau menggembalanya di lereng yang subur, engkau menggembalanya dengan qada dan qadar Allah; dan jka englau menggembalanya di lereng yang gersang, engkau juga menggembalanya dengan qada dan qadar Allah?
Umar (ra) faham yang segala yang berlaku susulan tindakannya adalah ketentuan Allah SWT. Jadi, beliau perlu bertindak sewajarnya dan menimbangkan sebab-musabab. Dalam hal ini, beliau mengelakkan diri dari wabak kerana beliau tahu ia memudaratkan. Ramai orang tersilap dengan mengandaikan yang yakin dengan ketentuan Allah SWT bermaksud kita tidak perlu bertindak, sepertimana orang yang tidak memakai tali pinggang keledar kerana beranggapan ia tidak memberi kesan pada takdir yang sudah Allah SWT tentukan untuknya. Tetapi tindakan Umar (ra) menunjukkan yang keyakinan pada Allah SWT bererti kita perlu bertindak berdasarkan sebab-musabab.
Ibn Hajar mengulas kenyataan Umar:
Jika beliau berbuat begitu, maka ia ketentuan Allah, dan mengelakkan mudarat memang perintahNya. Allah menentukan berlakunya perkara itu, manakala beliau melarikan diri daripadanya. Sekiranya beliau melakukannya mahupun meninggalkannya, maka kedua-duanya adalah ketentuan Allah. Maka, terdapat dua perspektif: perspektif kebergantungan pada Allah dan perspektif sebab-musabab.
Inilah kaedah sebenar bergantung pada Allah SWT (tawakkal). Ia bermaksud bergantung pada Allah SWT dengan kesedaran bahawa Allah SWT menentukan kebaikan bagi mereka yang berusaha ke arah kebaikan. Dalam kata lain, kita percaya yang jika kita bekerja mencari rezeki, maka Allah SWT akan menurunkan rezeki kepada kita.
Nabi ﷺ bersabda berdasarkan riwayat Umar (ra):
Jika kalian bertawakal pada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah merezekikan kamu seperti Dia merezekikan burung. Burung keluar pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang.
Umar (ra) berkata:
Janganlah sesiapa pun dalam kalanganmu tidak bekerja mencari rezeki, berdoa pada Allah bagi menurunkan rezeki dan pada masa sama, dia tahu langit tidaklah pula menurunkan hujan emas dan perak.
Inilah pemahaman betul mengenai ketentuan Tuhan. Kita tahu yang dunia ini penuh dengan sebab dan akibat. Jadi, kita berusaha berdasarkan sebab yang membawa takdir baik, dan pada masa sama, kita juga sedar yang ‘sebab’ itu tiada kuasa menentukan takdir kita. Nabi ﷺ bersabda, “Tiada jangkitan penyakit.” Ini bermaksud semua penyakit dibenarkan terjangkit dengan izin Allah SWT, dan pada masa sama, baginda ﷺ bersabda, “Jangan dedahkan (bergaul) orang yang sakit dengan orang yang sihat,” yang mana ini mengambil kira peranan sebab-musabab duniawi bagi merawat penyakit.
Berasaskan pemahaman ini, maka kita bergantung hanya pada Allah SWT bagi merealisasikan sebab baik. Kita sedar semua tindakan yang kita rancang hanya akan berlaku dengan izin Allah SWT. Ini kerana kita tahu ia takkan berlaku hanya kerana kemampuan dan kehendak kita.
Allah berfirman:
Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti". Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang daripada ini”.
Perkara penting yang perlu kita ingat adalah tanpa izin Allah SWT, tindakan dan sebab tiada maknanya, sungguhpun ia tetap diperlukan bagi menggapai takdir baik. Dalam hal takdir, orang beriman sentiasa disuruh bertindak, iaitu sebelum dan selepas takdir berlaku.
Ibn Taymiyyah menulis:
Dari segi takdir, seorang hambaNya mengalami dua keadaan: keadaan sebelum dan selepas takdir. Sebelum takdir berlaku, adalah menjadi tugasnya memohon perlindungan Allah, bergantung padaNya dan berdoa padaNya. Jika takdir yang berlaku bukanlah disebabkan tindakannya, maka dia perlu bersabar dan reda. Jika ia disebabkan tindakannya dan ia suatu rahmat, maka dia perlu memuji Allah. Jika ia diakibatkan dosa, maka dia perlu memohon ampun dariNya.
Sebelum takdir terserlah, kita perlu memohon perlindungan Allah SWT, berdoa padaNya, bergantung padaNya, selain berikhtiar bagi memperoleh hasil baik. Sesudah takdir berlaku, kita perlu menerimanya dan meneruskan kehidupan. Jika takdir itu merupakan bencana yang tiada kena-mengena dengan tindakan kita, seperti bencana alam, maka kita perlu menerimanya sebagai ujian hidup dan terus memperkukuh keimanan padaNya. Sebaliknya, jika ia suatu rahmat, maka kita memuji Allah SWT dan terus-menerus bersyukur padaNya. Jika ia berlaku susulan amal baik kita, maka kita memuji Allah SWT kerana memudahkan urusan kita. Sebaliknya, jika ia diakibatkan dosa, maka kita perlu memohon ampun dariNya dan melakukan segala yang perlu bagi menebus dosa kita. Jadi, setiap masa, orang beriman bertindak balas pada takdir dengan berikhtiar.
Sememangnya, reda dengan bencana yang ditakdirkan Allah SWT adalah salah satu ujian paling berat dalam kehidupan. Bahkan, kata akar fa-ta-na bagi “ujian” (fitnah) membawa maksud “dia memasukkannya ke dalam api, iaitu emas dan perak bagi memisahkan ataupun membezakan antara baik dan buruk.” Allah SWT menguji kita kerana ujian itu menjadi wadah bagi kita berkembang secara moral dan kerohanian. Yang pastinya, sesetengah ujian paling dahsyat menyerlahkan sifat-sifat terbaik dalam diri.
Jadi, apabila bencana berlaku, kita perlu reda dan terus berikhtiar. Kita tidak harus terus mengenang duka lama dengan memainkan peristiwa itu berulang kali dalam minda kita.
Nabi ﷺ bersabda:
Jangan kamu berkata, ‘Kalau aku buat begini, akan jadi begini.’ Tetapi katakanlah, ‘Ini takdir Allah, apa yang dia kehendaki akan berlaku’. Sesungguhnya, 'kalau' membuka pintu syaitan.
Meredai takdir – dalam kes ini – bencana, adalah cara menyemai perasaan lapang dada. Ini kerana kita percaya terdapat hikmah di sebalik setiap perkara, yang mana kita mungkin tidak memahaminya. Berkata ‘kalaulah’ dapat diperalatkan syaitan bagi merosakkan jiwa yang tenang. Al-Nawawi mengulas hadis ini, “‘... membuka pintu syaitan’ bermakna syaitan memasukkan jarum agar kita menolak ketentuan Tuhan dan syaitan menggodanya dengan perkara ini.” Maka, tidak usahlah kita asyik memikirkan masa lalu.
Namun, meredai takdir tidaklah bermakna tidak belajar daripada kesilapan dan pengalaman negatif. Nabi ﷺ juga bersabda, “Tidaklah seorang mukmin tersengat bisa dari lubang (binatang berbisa) yang sama sebanyak dua kali.” Ini bermaksud kita tidak harus mengulangi kesilapan mahupun membenarkan pengalaman negatif berulang jika kita mampu mencegahnya.
Pendek kata, kehidupan ini penuh pilihan. Kita boleh memilih menyembahNya dan melakukan kebaikan ataupun kita boleh memilih mengabaikan tanda kekuasaanNya dalam setiap ciptaanNya. Walau apa pun, pilihan kita menentukan nasib kita buat selama-lamanya di Akhirat kelak.
Nabi ﷺ bersabda:
Tiada siapa akan masuk Syurga melainkan dia akan ditunjukkan tempatnya di Neraka sekiranya dia dahulu berbuat jahat, supaya dia lebih bersyukur. Tiada siapa akan masuk Neraka melainkan dia akan ditunjukkan tempatnya di Syurga sekiranya dia dahulu berbuat baik, supaya dia lebih berdukacita.
Setiap daripada kita mempunyai tempat di syurga dan juga neraka. Walau ke mana pun kita pergi, kita akan ditunjuki apa yang akan berlaku sekiranya kita memilih jalan lain, iaitu bagi mengganjari kita dengan kesyukuran mahupun menghukum kita dengan penyesalan.
Bayangkan anda terjun dari kapal terbang dengan payung terjun. Jadi, anda berdepan dua takdir. Jika anda menarik tali bagi membuka payung terjun, maka anda akan hidup. Sebaliknya, kalau anda tidak berbuat demikian, anda akan mati. Hakikatnya, kedua-dua kemungkinan ini sudah pun ditentukan untuk anda. Tiada pilihan ketiga. Anda tidak boleh kembali melompat ke dalam pesawat. Terpulang pada anda bagi memilih dan merealisasikan takdir yang anda kehendaki.
Samalah juga dengan hakikat bahawa kita sama ada akan masuk syurga ataupun neraka. Kita tidak boleh melepaskan diri dari takdir ini; tiada cara mengubah perkara yang sudah pun bermula sejak azali. Bagaimanapun, jalan yang menuju kebahagiaan abadi di syurga sudah pun terhampar di depan kita. Jadi, cara kita memanfaatkan ‘kehendak bebas’ kita menentukan takdir kita. Kitalah yang memutuskan sama ada kita akan mengambil langkah pertama menuju bahagia ataupun tidak.