Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Mereka yang beriman sering memandang mudah pengetahuan mengenai kewujudan Tuhan. Pengalaman beragama yang dilalui – setiap hari – membuatkan mereka berasa mereka memang sudah meyakini kewujudan Allah SWT. Bagaimanapun, bagi kebanyakan orang, kepercayaan pada Tuhan dan pencarian erti kewujudan bukanlah perkara mudah, terutamanya dalam persekitaran sosial yang mana kepercayaan diperlekehkan sebagai karut, tidak berpijak di bumi nyata atau malahan dianggap fantasi berbahaya.

Dalam ajaran Islam, hujah mengenai kewujudan Tuhan memang kukuh, iaitu dari segi asas rasionalnya, di samping tujuan, maksud, ketenteraman dan panduan yang kita beroleh daripadanya. Quran melahirkan keyakinan dalam diri kita dengan menyantuni aspek-aspek dalaman manusia, khususnya hati dan minda. Gerak hati dan pengalaman saling bekerjasama dengan logik dan pertimbangan akal bagi menguatkan kepercayaan kita pada Allah SWT.

Keyakinan ini diperkuat pula dengan konsep sains moden. Contohnya, saintis kognitif, Justin Barrett menyimpulkan yang kepercayaan pada Tuhan – dan kepercayaan secara umum – terbentuk dan diperoleh melalui dua cara: 1) kepercayaan bersifat bukan taakulan dan intuisi yang datang dari pengalaman; dan 2) kepercayaan bersifat taakulan dan secara sedar yang datang dari pemikiran. Jadi, manusia biasanya membentuk kepercayaan dari dua sumber ini. Begitu jugalah bagi hujah bukti kewujudan Tuhan dalam Quran dan Sunnah. Ia melibatkan kedua-dua sumber: hati (yang berdasarkan intuisi) dan minda (yang berdasarkan pertimbangan akal).

Menyantuni Hati, Intuisi dan Pengalaman

Naluri Semula Jadi – Fiṭrat Allāh

Sekalipun tanpa wahyu bagi membimbing mereka, manusia – hanya berdasarkan nalurinya - sememangnya dapat merasai kewujudan Tuhan – atau suatu kuasa yang lebih hebat. Penzahiran sensus divinitatis ini terserlah dalam budaya dan agama di seluruh dunia, sungguhpun mereka dipisahkan masa, geografi dan bahasa. Dari segi kerohanian Islam, ini berlaku kerana sebelum pun dunia dicipta, Tuhan mengikat perjanjian dengan setiap hambaNya agar mereka mengenalNya sebagai Pencipta mereka.

Allah berfirman:

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".’

Al-Suddī (m. 745) mengulas ayat ini, “Oleh sebab itulah semua orang di dunia ini tahu yang Tuhan mereka adalah Allah, dan tidak seorang pun yang mensyirikkanNya dengan berhala, melainkan dia berkata, “Saya dapati nenek moyang saya mengimani agama lain.’” Perjanjian azali inilah yang menghasilkan naluri dalam diri manusia bagi mencari kuasa agung yang dapat mereka rasai kewujudannya. Inilah yang dilakukan manusia (dalam pelbagai bentuk) sejak zaman-berzaman, hinggakan sesetengah saintis berhujah yang kepercayaan pada Tuhan atau kuasa agung memang sudah terpahat dalam gen kita.

Semua agama yang benar dan diwahyukan adalah kesahan bagi dan selaras dengan naluri yang disebatikan Tuhan dalam diri kita. Quran merujuk pada sifat beragama manusia sebagai fiṭrat Allāh, iaitu sifat yang tersedia secara semula jadi dan naluriah dalam diri manusia.

Allah berfirman:

(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) bagi menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Hakikatnya, semua orang dilahirkan bagi beriman pada Tuhan. Wahyu yang diturunkan melalui para rasul hanyalah sekadar bagi membangkitkan dan menguatkan naluri yang memang sudah wujud dalam diri kita. Bahkan, mereka yang mempercayai berbilang Tuhan pun biasanya yakin yang ada kuasa yang lebih hebat, iaitu lebih hebat daripada dewa-dewi mereka.  

Allah berfirman:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya pada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

 Allah berfirman:

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya pada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

Jadi, apabila manusia meyakini kewujudan kuasa agung, maka mereka secara nalurinya akan terus berpaling pada Tuhan ketika berdepan bahaya. Semua orang - walaupun mungkin hanya sekali – pasti merasai pengalaman penuh emosi yang menyebabkan merkea berpaling pada doa. Terdapat banyak kes, yang mana mereka yang berada di ambang maut kemudiannya menjadi lebih warak dalam agama masing-masing.

Allah berfirman:

Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan pada Allah dengan doa yang tulus ikhlas padaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik padaNya!

 Allah berfirman:

Katakanlah: "Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu padaNya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): "Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami daripada orang-orang yang bersyukur". Katakanlah: "Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)".’

Allah berfirman:

Dan apabila manusia disentuh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa pada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat padaNya; kemudian apabila Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian daripada mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya; Dengan sebab itu, mereka mengingkari nikmat-nikmat yang telah Kami berikan kepadanya. Maka (dikatakan kepada mereka): "Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara), kemudian kamu akan mengetahui (balasan kederhakaan kamu)".

Allah berfirman:

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa pada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat padaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu pada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (padanya): "Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.

Dalam autobiografinya, Al-Ghazālī (m. 1111), menyifatkan naluri beragama – yang dialaminya sendiri – sebagai dorongan bagi manusia “mencari ilmu tentang hakikat segala sesuatu.” Beliau menyifatkan keinginan rohaniah bagi mendapatkan kebenaran sebagai “dahaga” (ta’aṭṭash) yang perlu dipuaskan. Ia umpama jiwa yang terasa kosong dan tidak selesa dengan kewujuan, yang mana kekosongan itu perlu diisi dengan menerokai erti dan tujuan hidup. Ya, memang pertimbangan akal suatu wadah penting bagi mengimani Tuhan. Tetapi ia cuma sekadar salah satu langkah sepanjang jambatan kerohanian: “Di sebalik tahap pertimbangan akal adalah tahap yang membuka satu lagi mata, yang mana seseorang memperoleh ilham mengenai Alam Ghaib dan antara lain tentang perkara yang akan berlaku pada masa depan.” 

Hakikatnya, tunjang utama keimanan adalah jiwa dan ia diperkukuh pertimbangan akal. Namun, akal sahaja tidak cukup bagi menggapai keimanan. Ia perlu digabungkan dengan pengalaman beragama yang tulen, menghayati tujuan yang lebih besar dan bermakna berkaitan kewujudan alam semesta, dan merasai lazatnya madu kerohanian. Makanya, ulama awal Islam mentakrifkan  yang ilmu ketuhanan bukanlah segunung fakta dan hujah, tetapi adalah cahaya yang wujud dalam hati. Imām Mālik (m. 795) berkata, “Ilmu bukanlah bererti mengetahui banyak pepatah. Sesungguhnya, ilmu hanyalah cahaya yang Allah letakkan dalam hati.” Ibn Rajab (m. 1393) pula berkata, “Ilmu bukanlah bermakna menghafal banyak riwayat dan pepatah, tetapi adalah cahaya yang Allah letakkan dalam hati, dan dengannya seorang hamba (hamba Allah SWT) mengerti apa itu kebenaran dan dapat membezakannya dengan kepalsuan.” 

Tenang dan Sejahtera

“Cahaya” ilmu ketuhanan ditemui dalam panduan, halatuju rohaniah, dan ketenteraman yang dialami orang beriman yang mengamalkan Islam. Ia mampu mengisi lompong kerohanian yang wujud dalam diri kita semua. Makanya, dalil paling kukuh bagi membuktikan kewujudan dan ketuhanan Allah ditemui dalam pengalaman mengasyikkan, yang mana menerusinya para mukmin beroleh ketenangan, ketenteraman, didikan akhlak dan erti kehidupan itu sendiri – inilah buah kerohanian agama yang benar.

Allah berfirman:

Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan pada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.

Allah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu pada Allah dan tetaplah beriman pada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya bagi kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah berfirman:

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Quran menjanjikan “kehidupan sejahtera” buat mereka yang beriman dan malahan mereka bakal menikmati kehidupan yang lebih bahagia di alam akhirat. Sebenarnya, ketenangan yang dialami para mukmin di dunia hanyalah secebis rasa berbanding kebahagiaan yang akan mereka nikmati di akhirat kelak. Dengan menghayati hakikat ini setiap hari dalam solat, maka para mukmin lantas berasa tenang tenteram.

Allah berfirman:

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan.

 Allah berfirman:

(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu)! "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia. "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!".

Bagaimanapun, ini bukanlah janji bahawa orang beriman takkan ditimpa kesusahan. Memang akan ada masanya – memang ketentuan Allah – apabila kesabaran dan ketabahan orang beriman diuji. Sebaliknya, Allah berjanji yang menerusi amalan kerohanian, dan didikan moral dan keagamaan, orang beriman akan menikmati kesejahteraan dan kepuasan hidup.

Allah berfirman:

Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati.

Rasulullah ﷺ bersabda:

Berjayalah orang yang memeluk Islam, yang mana keperluannya mencukupi, dan dia reda dengan apa yang Allah berikan kepadanya.

Nabi Muhammad ﷺ menyifatkan kesejahteraan rohani sebagai “kemanisan iman”, iaitu hasil kehidupan beragama sebenar yang perlu dirasai dan dialami sendiri. Ia melibatkan penghayatan ketuhanan, dan dengannya orang beriman bertambah yakin dengan kebenaran agamanya.

Rasulullah ﷺ bersabda:

Dia sudah merasai kemanisan iman, yang mana dia reda Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya, dan Muhammad sebagai nabinya.

Dalam teks-teks Islam, kesejahteraan bermaksud kestabilan yang melindungi para mukmin daripada terumbang-ambing antara dua ekstrim, iaitu keasyikan yang sementara dan kedukaan. Dengan itu, mereka mampu kekal tenang tenteram dalam apa jua keadaan. Ia terzahir sebagai suatu ketenteraman dari harta benda dan hal-ehwal duniawi (zuhd), dan berakhirnya rasa takut miskin. Malah inilah yang disifatkan Rasulullah ﷺ sebagai kekayaan dalam erti kata sebenarnya.

Rasulullah ﷺ bersabda:

Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, tetapi kekayaan adalah kaya hati.

 Rasulullah ﷺ bersabda:

Bahawa sesungguhnya yang dinamakan kaya itu adalah kaya hati dan fakir itu adalah fakir hati. Oleh itu, sesiapa kaya (merasakan cukup) dalam hatinya maka takkan membahayakan dirinya apa yang sedikit dari harta dunia. Sesiapa fakir (berasa kurang) dalam hatinya maka harta dunia yang banyak takkan cukup baginya. Sesungguhnya yang merosakkan itu adalah sifat kikir yang ada pada dirinya.

Hakikatnya, mereka yang mengecapi ketenteraman ini – dan juga keperluan asasi duniawi – adalah insan terkaya di dunia.

Rasulullah ﷺ bersabda:

Barangsiapa yang melalui harinya dengan perasaan aman di dalam rumahnya, sihat badannya, dan memiliki makanan untuk hari itu, maka seakan-akan dia telah memiliki dunia seisinya.

Sebaliknya, apabila seseorang itu taksub pada kekayaan, harta benda dan pangkat duniawi, dia akhirnya berasa kosong. Akibatnya, walau banyak mana sekalipun hartanya, dia tetap tidak bahagia. Umat Islam zaman awal sering berkata, “Kalaulah raja-raja di dunia dan anak-anak lelaki mereka tahu betapa hebatnya kebahagiaan dan rahmat yang kami miliki, dah tentu mereka akan cuba merebutnya dengan pedang mereka.” Tidak seperti yang disangka para raja dan pemimpin berkuasa, kebahagiaan sejati yang berkekalan bukanlah sesuatu yang dapat disambar “di luar sana”. Hakikatnya, dunia kebendaan tidak mampu mendatangkan kebahagiaan berkekalan. Kita perlu menggapai erti kebahagiaan dalam kalbu melalui hubungan kita dengan Pencipta. Ya, inilah hadiah percuma Islam untuk seluruh umat manusia.

Dalam keadaan sejahtera ini, orang beriman lebih berupaya menempuhi segala cabaran hidup. Sebaliknya, para munafik yang tidak ikhlas beragama takkan mampu menempuhinya dengan tenang.

Rasulullah ﷺ bersabda:

Perumpamaan seorang mukmin seperti tanaman, angin menerpanya ke kiri dan ke kanan. Seorang mukmin sentiasa tabah menghadapi dugaan. Sedangkan perumpamaan orang munafik seperti pohon yang kuat yang tidak pernah bergerak sampai ia tercabut.

Dengan merasai buah kerohanian ini, orang beriman memperkukuh iman mereka dengan setiap pengalaman yang positif dan bermakna. Berbanding hujah penuh logik dan falsafah, pengalaman-pengalaman ini lebih berkemampuan memperkukuh ilmu ketuhanan.

Al-Ghazālī menulis:

Maka, apabila anda sudah memahami maksud kenabian dan anda sudah mendalami Quran and Sunnah, anda akan yakin yang [Muhammad] - selawat dan salam ke atas baginda – mencerminkan tahap-tahap tertinggi kenabian dan ini diperkukuh dengan mengalami sendiri ajarannya berkaitan ibadah dan kesannya dalam menyucikan hati... Jadi, apabila anda mengalaminya seribu, dua ribu, dan beribu-ribu kali, anda akan memperoleh ilmu yang tidak mengandungi sebarang keraguan.

Sepertimana yang dibuktikan saintis kognitif, antara sebab ini kaedah paling berkesan bagi menguatkan iman adalah kerana pengalaman kerohanian begitu mengasyikkan, hinggakan ia sukar dilupakan. Para mukmin yang menyaksikan sendiri manfaat amalan kerohanian dalam kehidupan sehariannya pastinya merasai tahap keyakinan dan ketenteraman yang takkan mungkin mereka lepaskan.

Naluri yang Ditinggalkan

Bukan semua orang merasai pengalaman kerohanian sejati ataupun memahaminya dalam kerangka agama yang tepat. Naluri manusia dapat dicemari doktrin dan falsafah terpesong yang bercanggah dengan naluri semula jadi, termasuklah idea-idea yang kononnya berpaksikan kepercayaan pada Tuhan.

Rasulullah ﷺ bersabda:

Setiap anak dilahirkan di atas fitrah. Kedua orang tuanya-lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi. Sebagaimana haiwan yang melahirkan anak yang cukup anggotanya, apakah kalian melihat pada anaknya sebarang kecacatan?

Dalam hadis ini, Rasulullah ﷺ memberitahu kita yang semua orang dilahirkan bagi mengakui keesaan Pencipta yang unik, Maha Berkuasa dan Maha Pemurah. Malangnya, atas sebab-sebab tertentu, manusia mencipta doktrin-doktrin agama yang meletakkan sifat manusia pada Tuhan mahupun meletakkan sifat Tuhan pada makhluk (seperti mempertuhankan santo dan pendeta), ataupun langsung tidak mengakui kewujudan Tuhan.

Apabila naluri atau kepercayaan intuitif pada Tuhan Yang Satu dicemari, sama ada oleh pengalaman negatif ataupun pengaruh orang lain, maka hujah logik mungkin diperlukan bagi membawa seseorang kembali ke pangkal jalan, iaitu naluri semula jadinya.

Ibn Taymiyyah (m. 1328) menulis:

Kewujudan dan penyaksian akan Pencipta adalah naluri asas dalam sifat insan, sekalipun sesetengah orang melakukan sesuatu bagi mengotorkan sifat mereka, hinggakan mereka memerlukan hujah bagi memperoleh ilmu ketuhanan. Inilah pendapat majoriti orang dan para pembahas mahir, iaitu ilmu ketuhanan adakalanya mudah dihayati dan pada masa-masa lain pula memerlukan hujah, sebagaimana yang diakui lebih daripada seorang ahli teologi.

Kepercayaan naluriah yang berasal daripada sifat semula jadi dan pengalaman kita membantu menguatkan kepercayaan yang kita perolehi melalui renung fikir dan pertimbangan secara sedar dan rasional. Ini bermakna apabila kita membaca dan memikirkan ayat-ayat Quran, kita menguatkan pengalaman intuitif kita, yakni dengan memanfaatkan minda dan kuasa pertimbangan akal.

Menyantuni Minda, Pertimbangan Akal dan Logik

Wacana Kosmologi

Lambat-laun, kebanyakan orang akan bertanya pada diri sendiri tentang kewujudan: Kenapa saya di sini? Kenapa dunia dan alam ini wujud? Kenapa ada kewujudan dan bukannya ketiadaan?

Quran menjawab persoalan ini dengan mempersembahkan wacana kosmologi, iaitu peringatan bahawa Tuhanlah yang mencipta segala sesuatu. Manusia diminta memikirkan hakikat kejadian mereka dan juga kejadian alam semesta. Adakah masuk akal dan intuisi bahawa alam ini muncul secara tiba-tiba tanpa sebab?

Allah berfirman:

Patutkah mereka berasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

Intuisi dan pengalaman mengajar kita yang semua perkara ada sebab-musababnya; sesuatu wujud kerana ia dicipta. Jadi, kalaulah alam ini adalah gabungan sebab dan akibat, maka memang munasabah bagi menyimpulkan yang alam ini adalah hasil atau diakibatkan sesuatu sebab.

Allah berfirman:

(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).

Berdasarkan ayat-ayat di atas, ada tiga kemungkinan: 1) alam ini muncul tanpa sebarang agen yang mewujudkannya; 2) manusia mencipta diri mereka sendiri; atau 3) alam ini dicipta sesuatu.

Dua kemungkinan pertama memang mustahil. Mana mungkin alam ini muncul dari ketiadaan tanpa sebarang sebab, tujuan ataupun kuasa yang menyuntik tenaga dan halatuju ke dalamnya. Berdasarkan pengalaman kita setiap hari, kita tahu yang semua perkara yang kita saksikan dalam hidup ini; semua akibat yang kita nampak tentulah dapat dijelaskan. Kemungkinan kedua pula, iaitu kononnya manusia mencipta diri mereka sendiri memang dapat ditolak mentah-mentah. Maka, kesimpulan yang paling munasabah adalah alam ini dicipta. Ia dicipta sesuatu yang lebih hebat dan berkuasa daripadanya.

Ibn Ḥajar (m. 1449) menjelaskan maksud ayat-ayat di atas dengan memetik kata-kata Al-Khaṭṭābī:

Dikatakan makna [ayat ini] adalah: Adakah mereka dicipta tanpa penciptanya? Itu mustahil kerana pasti ada penciptanya. Jika mereka menafikan Pencipta, maka kesimpulannya adalah mereka mencipta diri mereka sendiri, dan kesimpulan itu lebih mengarut dan palsu, oleh sebab bagaimana sesuatu yang tiada mampu mencipta sesuatu? Kalau mereka menolak kedua-dua pandangan ini [iaitu mereka wujud tanpa pencipta ataupun mereka mencipta diri mereka sendiri], maka dalilnya terhambur pada mereka, yang mana mereka sememangnya dicipta.

Berdasarkan ayat-ayat ini dan lain-lain ayat, para ulama menyimpulkan hujah yang kadangkala digelar hujah kosmologi. Menurut hujah ini, sebagai “sebab yang tidak bersebab” ataupun “sebab pertama”, Tuhan adalah jawapan paling munasabah bagi persoalan kewujudan. İsmail Latif Hacınebioğlu meringkaskan logik hujah ini seperti yang berikut:

  1. Di alam ini, segala sesuatu yang ada permulaannya pasti ada penyebabnya.
  2. Alam semesta mulai wujud.
  3. Jadi, permulaan kewujudan alam ini tentunya disebabkan sesuatu.
  4. Sebab itu pastinya “sebab yang tidak bersebab” ataupun Tuhan.

Hujah ini dapat diterima akal, dan intuisi dan pengalaman. Jawapan ini sudah cukup bagi menjawab persoalan mengapakah segala sesuatu wujud. Jubair ibn Muṭ’im (m. 677) meriwayatkan yang beliau mendengar Rasulullah ﷺ membaca ayat-ayat ini semasa solat malam, dan beliau berkata, “Hati saya seolah mahu terbang!” Hujah dalam ayat-ayat ini amat mengesankan, hingakan Jubair memeluk Islam.

Satu versi hujah ini dimanfaatkan Imam Abū Ḥanīfah (m. 767) dalam perdebatannya dengan ahli falsafah yang ragu-ragu akan kewujudan Tuhan:

Diriwayatkan daripada Abū Ḥanīfah yang beberapa orang ahli falsafah (ahl al-kalām) ingin berbincang dengannya mengenai kewujudan Pencipta tunggal. Abū Ḥanīfah berkata, ‘Sebelum kita berbincang mengenai perkara ini, beritahu saya tentang sebuah kapal yang belayar di Sungai Tigris, yang mana ia bergerak sendiri dan memenuhkan dirinya dengan makanan, barangan dan lain-lain benda, dan kemudian ia pulang sendiri, dan kemudian berlabuh sendiri, dan kemudian memunggah sendiri semua muatannya dan terus melakukan semua ini tanpa sesiapa pun yang menguruskannya.’ Mereka menjawab, ‘Ini tak mungkin berlaku.’ Abū Ḥanīfah membalas, ‘Kalau ia mustahil berlaku bagi satu kapal, maka adakah mungkin ia berlaku bagi seluruh dunia yang luas ini?’

Ibn Al-Qayyim (m. 1350) menggunakan contoh sama, iaitu kincir air yang berputar sendiri, dan mengeluarkan, menuai dan mengagihkan hasil tani tanpa sesiapa pun yang mengendalikannya:

Apa pandanganmu tentang kincir air yang berputar di tebing sungai dalam keadaan sempurna? Peralatannya disempurnakan, bahagian-bahagiannya diukur dengan baik, dan jelaslah yang tiada siapa yang mampu mencari sebarang kecacatan dalam bahagian-bahagiannya mahupun bentuknya. Ia terletak di taman yang hebat, yang ditanami semua jenis buah dan tanaman, dan mengairinya pada masa yang dikehendaki. Di dalam taman ini, semak-samunnya dikumpul dan penyenggaraannya terjamin bagi memastikan kesempurnaannya. Hasilnya hebat dan terjamin, dan semua keperluannya terjaga. Jadi, tiada yang tidak terurus dan tiada buah yang mereput. Kemudian, nilai semua hasil taman itu dibahagikan berasaskan keperluan, dibahagikan mengikut jenis dan diagihkan, dan pengagihan ini berlaku semacam ini sepanjang masa. Adakah anda fikir keadaan ini memerlukan pencipta atau petani atau pengurus? Atau adakah pengendalian kincir air dan taman itu berlaku tanpa seseorang atau penyenggara atau pengurus?Dalam hal ini, apakah yang difikirkan minda anda dan bagaimanakah cara anda menjelaskannya?

Secara logiknya, kita pasti tahu yang kapal ataupun kincir air itu tentunya digerakkan sesuatu. Ini juga selari dengan prinsip sains. Menurut Hukum Gerakan Pertama ahli fizik Sir Isaac Newton: “Semua objek kekal dalam keadaan rehat ataupun gerakan tetap dalam garisan lurus, melainkan keadaan itu diubah daya yang bertindak ke atasnya.” Dalam kata lain, semua benda di alam ini takkan bergerak ataupun berubah pergerakannya tanpa adanya daya luaran yang bertindak ke atasnya. Prinsip ini terpakai bagi segala sesuatu di alam ini, dan malahan ia juga terpakai pada seluruh alam semesta itu sendiri.

Mereka yang menafikan kewujudan Pencipta sebenarnya cuba mencabar prinsip asas bahawa alam ini mempunyai permulaannya. Mereka berhujah yang alam ini memang sudah sentiasa wujud dalam siri sebab-musabab yang tiada hentinya ataupun “regresi tak terhingga”, yakni ia tidak memerlukan “sebab pertama” bagi mewujudkannya. Hujah ini bukan sahaja bercanggah dengan intuisi – kerana pengalaman menunjukkan semua benda dalam hidup ini mempunyai permulaannya – malah umumnya, ilmu fizik moden dan kosmologi menerima hujah kosmologi. Teori “big bang” menyimpulkan yang alam semesta ini bermula daripada suatu ketunggalan kira-kira 12 hingga 14 bilion tahun yang lampau.

Baiklah, kalaulah kita menerima regresi tak terhingga sekalipun (sungguhpun ia tidak disokong bukti saintifik mahupun intuitif), itu masih tidak mampu menjelaskan betapa sebab yang melangkaui ruang dan masa diperlukan bagi menghasilkan dan mengekalkannya. Polymath dan ahli falsafah G.W. Leibniz (m. 1716) menegaskan yang siri tanpa had masih memerlukan sebab bagi mewujudkannya:

Katakan sebuah buku tentang unsur sentiasa wujud dari dahulu, iaitu senaskhah dihasilkan daripada naskhah lain. Jelaslah yang kalau pun kita dapat berhujah yang naskhah sedia ada dihasilkan daripada naskhah sebelumnya, kita takkan ketemu penjelasan yang lengkap, tak kiralah hingga ke buku keberapa sekalipun, kerana kita sentiasa akan tertanya-tanya kenapa buku-buku itu tersedia wujud, kenapa buku-buku itu ditulis, dan kenapa ia ditulis sebegitu. Hakikat yang terpakai pada buku-buku ini juga terpakai pada lain-lain keadaan di dunia ini, oleh sebab keadaan yang terhasil telah dihasilkan keadaan sebelumnya, sungguhpun ia akan mengikut hukum-hukum perubahan tertentu. Jadi, sejauh mana ke belakang sekalipun kita pergi bagi menerokai keadaan itu, kita takkan ketemu penjelasan lengkap [nisbah] mengapa dunia ini wujud, dan kenapa ia wujud sedemikian rupa... Berdasarkan ini maka kalau pun kita mengandaikan dunia ini abadi, kita takkan dapat menafikan punca segala sesuatu, Tuhan.

Begitu jugalah apabila ahli fizik Don Page memberi contoh seorang pelukis yang melukis bulatan; bulatan itu memanglah tiada permulaan mahupun pengakhiran, namun ia tetap memerlukan seorang pelukis bagi melukisnya. Jadi, biarpun dengan segala sifat terbatas dan tidak terbatasnya, alam semesta ini pastinya dicipta Pencipta yang memulakan rantaian sebab-musababnya.

Bagaimanapun, hujah kosmologi hanyalah salah satu hujah dalam wacana mengenai kewujudan. Quran melengkapkan diskusi ini dengan wacana teleologi yang lebih hebat dan menarik – yakni dunia ini direka bentuk.

Wacana Teleologi

Keseluruhan alam semesta ini, dari bintang-gemintang hinggalah ke dunia mikroskopik dan segala yang terletak antara keduanya dikawal hukum-hukum yang bersifat universal dan semula jadi. Hukum-hukum itulah yang menghasilkan aturan. Hasilnya, banyak benda di alam ini mempamerkan tujuan tertentu. Mata kita dicipta bagi melihat. Telinga kita dicipta bagi mendengar. Peparu kita dicipta bagi bernafas. Pepohon dicipta bagi menghasilkan buah-buahan dan udara bersih. Air dicipta bagi menampung kehidupan, dan lain-lain lagi. Dalam kehidupan ini, kita menyaksikan kewujudan begitu banyak tujuan/matlamat di serata alam. Jadi, adalah logik apabila kita menyimpulkan yang alam semesta ini sendiri dicipta dengan tujuan tersendiri.

Ya, rentak bahasa teleologi memang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam sains kehidupan. Pakar biologi dan pakar perubatan bercakap tentang “peranan” dan “fungsi” pelbagai organ (siapa pula yang menentukan peranan dan fungsinya?), selain “kod” dan “maklumat” genetik (siapa yang mengekod dan mengisi maklumat ke dalamnya?). Bahkan, Charles Darwin sendiri, iaitu orang yang dianggap jaguh falsafah ateisme tidak mampu mengutarakan idea-idea saintifiknya tanpa seringkali menggunakan bahasa reka bentuk dan tujuan. Kebolehan mengenal pasti teleologi alam semesta ini memang selari dengan sifat semula jadi dan intuisi kita.

Maka, Quran sentiasa mengisyaratkan pada tanda-tanda (āyāt) di alam ini yang menunjukkan reka bentuk agung dan kuasa Pencipta. Kita disarankan pula berfikir mendalam (tafakkur) mengenai semua tanda ini bagi mengetahui tujuan kita diwujudkan dan juga menguatkan keimanan kita.

Allah berfirman:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.’

Maka, tidak seperti yang disangka sesetengah orang, keimanan sejati bukanlah terhasil dengan mengabaikan pertimbangan akal. Pemisahan yang dikatakan wujud antara agama dan sains adalah suatu kepalsuan. Sebaliknya, bagi mendekati Tuhan dan nilai-nilai Islam, pertimbangan akal melengkapi hati yang beriman. Salah seorang Muslim zaman awal, Abu Al-‘Alā, pernah berkata, “Sesudah Islam, seorang hamba Allah tidak diberi sesuatu yang lebih baik, melainkan akal yang waras.” 

Berdasarkan ini, maka Quran secara terang-terangan menyantuni pertimbangan akal (al-’aql) para pembacanya, terutamanya kemampuan mereka merenungi teleologi kewujudan.

Allah berfirman:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat bagi manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit, lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (pada kuasa Allah) terapung-apung antara langit dan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.

Allah berfirman:

Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi. Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya adalah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan. Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya adalah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran). Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, bagi menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal bagi memahamiNya.

Allah berfirman:

Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.

Allah berfirman:

Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.

Kita dapat menyaksikan tanda kewujudan Tuhan dalam setiap perkara: matahari, bulan, bintang, planet, siang dan malam, gunung-ganang, lautan dalam, angin, awan memutih, hujan, setiap tumbuhan dan haiwan, semua jenis buah dan makanan dan minuman, keajaiban genom manusia, sifat manusiawi seperti cinta, bijaksana dan kecantikan, dan banyak lagi, hinggakan tidak terkira banyaknya. Makin kita mengkaji tanda-tanda ini dan berfikir mendalam mengenainya, makin kukuhlah iman kita.

Allah berfirman:

Kami akan perlihatkan pada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas pada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata pada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

Tindakan mengetengahkan tanda-tanda kekuasaan Tuhan di alam ini adalah kaedah rasional yang paling utama dan berkuasa bagi mengesahkan kewujudan Pencipta. Ibn Taymiyyah menulis, “Mengakui kewujudan Pencipta melalui tanda-tanda adalah suatu kewajipan kerana ia diwahyukan dalam Quran dan Allah menjadikannya sebahagian naluri para hambaNya. Walaupun hujah-hujah deduktif barangkali betul, ia tiada gunanya.” Sekalipun hujah-hujah falsafah yang rumit tidak semestinya salah, ia tidak begitu ampuh. Ini kerana kebanyakan orang tidak terlatih dalam istilah dan kaedah penghujahan falsafah. Dalam perenggan yang sama, Ibn Taymiyyah membidas hujah-hujah Ibn Sīnā (m 1037), Al-Rāzī (m. 1210) dan mereka yang mengajukan hujah-hujah falsafah semata-mata bagi membuktikan kewujudan Tuhan. Ini kerana menurutnya, hujah-hujah itu lemah ataupun tidak berkesan.

Dalam hal ini, para Imām besar selalu disoal mengapa mereka beriman pada Pencipta, dan mereka menjawab dengan menerangkan mengenai tanda-tanda kewujudan Tuhan.

Imām Mālik (m. 795) pernah ditanya Khalifah Hārūn Rashīd mengenai kewujudan Pencipta, dan beliau memintanya supaya mencari bukti dalam kepelbagaian bahasa, suara dan melodi makhluk ciptaanNya.

Apabila ditanya tentang kewujudan Pencipta pula, Imām Al-Shāfi’ī (m. 820) menjawab, “Dedaun semak beri hanya ada satu rasa. Ulat memakannya dan menghasilkan sutera. Lebah memakannya dan menghasilkan madu. Kambing, unta dan lembu memakannya dan menghasilkan anak. Rusa memakannya dan menghasilkan kesturi. Tetapi semuanya berasal daripada benda yang sama.” Keajaiban dedaun rimbunan ini dan juga lain-lain keajaiban yang dihasilkannya menunjukkan ia dicipta bagi tujuan ini.

Imām Aḥmad (m. 855) pula ditanya tentang kewujudan Pencipta, dan beliau menjawab, “Bayangkan sebuah kubu yang licin dan tidak dapat ditembusi, dan tanpa pintu dan jalan keluar. Bahagian luarnya seperti perak putih dan bahagian dalamnya seperti emas tulen. Ia dibina sedemikian rupa dan tiba-tiba, dindingnya retak dan keluarlah seekor binatang yang mendengar dan melihat dengan bentuk yang cantik dan suara yang sedap.” Beliau sebenarnya merujuk pada keajaiban yang dapat disaksikan apabila anak ayam menerobos keluar dari telur.

Kemampuan menyaksikan bukti kewujudan Tuhan dalam tanda-tanda kekuasaanNya di alam ini tidak memerlukan latihan falsafah ataupun ilmu khusus bagi memahami dan meyakininya. Seperti yang kita semua sudah fahami, kebolehan mengenal pasti tanda-tanda itu memang sifat semula jadi dan intuisi kita. Dalam sebuah kisah terkenal, seorang Badwi – anggota kabilah nomad yang biasanya buta huruf – ditanya mengenai kewujudan Pencipta. Dia menjawab, “Segala puji-pujian bagi Allah! Tahi unta membuktikan kewujudan unta, dan bekas tapak kaki membuktikan kewujudan si pejalan. Langit yang mengangkat bintang, daratan yang mempunyai laluan, dan samudera yang berombak? Tidakkah semua itu membuktikan kewujudan Yang Maha Pengasih, Yang Maha Mengetahui?” 

Bahkan, hujah teleologi yang mudah ini dipaparkan dalam sajak nukilan Ibn Mu’taz (m. 908):

Aneh sungguh bagaimana Tuhan diingkari,

Dan aneh pula pertikaian pihak yang mempertikai (jāḥid),

Dalam segala sesuatu ada tandanya,

Bagi menunjukkan Dialah Yang Tunggal (Wāḥid).

Selepas menyebut tentang cerita-cerita ini dalam takwilnya, Ibn Kathīr (m. 1373) menyambung:

Sungai-sungai yang mengalir dari kawasan ke kawasan dengan manfaat, dan apa yang telah Allah hasilkan daripada bumi termasuk pelbagai haiwan dan tumbuhan beraneka rasa, bau, bentuk dan warna, dan penyatuan antara tanah dan air; semua ini membuktikan kewujudan Pencipta dan kehebatan kuasaNya, kebijaksanaanNya dan belas kasihanNya pada makhlukNya, sifat pengasihNya, layanan baikNya dan sifat pemurahNya pada makhlukNya. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiada Tuhan sepertiNya. Saya bergantung dan berharap padaNya. Ayat-ayat Quran yang mengisyaratkan perkara ini cukup banyak.

Mungkin ada sesetengah orang yang bersetuju yang alam ini sememangnya direka bentuk. Tetapi mereka menyoal pula, “Kenapa perlu ada hanya satu Pencipta? Kenapa tidak boleh ada banyak Tuhan?” Jawapan pada soalan ini adalah fakta yang menunjukkan hukum alam bersifat sengaja, konsisten dan bersepadu dari segi tujuannya.

Allah berfirman:

Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu pada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.

Hakikatnya, semua daya di alam ini saling melengkapi ke arah matlamat yang sama: penciptaan dunia dan menampung kehidupan. Kita dapat menyimpulkan yang sudah tentu ini semua ditentukan kuasa agung yang tunggal. Tiada bukti yang menunjukkan yang satu Tuhan mencipta graviti, yang lain mencipta elektromagnetisme, dan lain-lain Tuhan mengawal hukum-hukum alam lain bagi mencapai matlamat yang sama. Kalaulah alam ini dicipta banyak Tuhan, sudah tentulah ia mengakibatkan fenomena-fenomena yang sembarangan dan malahan saling bersaing. Barangkali kepercayaan seperti itu boleh diterima masyarakat dahulukala. Ini kerana bagi mereka, alam semula jadi seolah-olah tidak mempunyai sebarang aturan.

Pengesahan Saintifik

Dengan kemajuan hebat sains, kita memandang mudah kebolehan kita mengenal pasti konsistensi dan sifat universal hukum-hukum alam. Bahkan, sains takkan mampu berkembang tanpa mengandaikan corak-corak sekata di alam ini. Misalnya, hukum graviti terpakai dalam cara yang sama pada sebarang objek yang mempunyai jisim, tidak kiralah lokasinya, sama ada di Bumi atau di angkasa lepas. Yang ironinya, sains moden secara tersirat bergantung pada premis monoteisme.

Ahli fizik seperti Paul Davies mengatakan yang hukum-hukum alam memerlukan penjelasan yang munasabah. Adalah sesuatu yang tidak rasional – dan tidak saintifik – bagi mengandaikan yang hukum-hukum alam terbentuk tanpa sebabnya:

Penjelasan terbaik bagi kecerdasan rasional kosmos dijumpai dalam hukum fizik, iaitu hukum asas bagi alam berfungsi. Hukum graviti dan elektromagnetisme, hukum yang mengawal dunia dari dalam atom, hukum gerakan – semuanya diterangkan dalam bentuk hubungan matematikal. Tetapi dari mana datangnya hukum-hukum ini? Dan mengapa mereka mengambil bentuk tertentu?... Selama bertahun-tahun, saya sering bertanya pada rakan-rakan kerja saya mengapa hukum-hukum fizik sebegitu. Jawapan yang mereka berikan berbeza-beza, termasuk ‘itu bukan soalan saintifik’ dan ‘tiada siapa tahu’. Jawapan sukaramai adalah, ‘Tiada sebab – memang begitulah hakikatnya.’ Anggapan yang hukum-hukum itu wujud tanpa sebab amatlah anti-rasional. Lagipun, intipati penjelasan saintifik mengenai beberapa fenomena adalah dunia ini diatur secara logik dan keadaan semua benda dan perkara ada sebabnya. Jika seseorang menelususi sebab-sebab itu ke asas realiti – hukum-hukum fizik – hanya bagi mendapat sebabnya, lalu meninggalkan kita, maka itu sememangnya mempersendakan sains.

Dengan menelusuri siri penjelasan kenapa semua benda berada dalam keadaan begitu begini, kita dapat menyimpulkan yang alam semesta ini direka bentuk bagi menampung kehidupan. Para saintis merujuk pada keadaan ini sebagai alam semesta yang terhasil rapi ataupun prinsip antropik. Ini bermaksud hukum-hukum alam dicipta dengan ukuran yang amat tepat bagi memungkinkan kewujudan alam semesta dan bagi menampung kehidupan. Menurut ahli fizik dan ahli falsafah, Robin Collins, “Kalaulah kekuatan letusan awal big bang turun ataupun naik hanya sekadar satu bahagian dalam 10⁶⁰, maka sudah tentu alam semesta akan hancur berkecai ataupun mengembang terlalu pantas, hinggakan bintang tidak dapat terbentuk. Pendek kata, kehidupan takkan wujud.” Kebarangkalian bahawa kekuatan letusan ini berlaku secara kebetulan adalah seperti menembak ke arah sasaran yang hanya sebesar seinci sejauh dua puluh bilion tahun cahaya dan kemudiannya peluru itu berjaya menghentam sasaran.

Collins menerangkan lagi perkara ini dengan mengkaji enam kes yang membuktikan kerapian yang wujud di alam semesta:

  1. Pemalar kosmologi.
  2. Daya nuklear dan elektromagnetik yang kuat.
  3. Penghasilan karbon di dalam bintang.
  4. Perbezaan jisim antara proton dan neutron.
  5. Daya nuklear yang lemah.
  6. Graviti.

Hakikatnya, semua daya dan fenomena ini begitu seimbang, lantas memungkinkan kewujudan alam semesta yang indah ini. Memang tidak masuk akal bagi mengandaikan – tanpa bukti kukuh – yang semua hukum-hukum semula jadi ini, dan dengan keajaiban yang dihasilkannya muncul tanpa sebab mahupun tujuan.

Dalam komuniti sains, ramai juga yang menjadi pengkritik dan pewaham idea mengenai alam semesta yang tercipta rapi. Bagaimanapun, bukti yang banyak di alam ini dan hujah yang rasional lagi munasabah bagi menyokong kewujudan Tuhan tidak dapat dinafikan. Bahkan, Antony Flew, seorang ahli falsafah ateis yang menentang kepercayaan pada Tuhan selama lebih lima puluh tahun menyimpulkan yang alam semesta yang kompleks ini dan kewujudan kehidupan pastinya disumbangkan kepintaran bukan manusiawi. Beliau menyimpulkan perkara ini sesudah mengkaji bukti-bukti yang baru timbul berkenaan kerapian alam ini. Menurutnya, kepercayaan pada Tuhan bukanlah sesuatu yang dapat dianggap sebagai tahyul mahupun awang-awangan:

Apa pun kekuatan ataupun kelemahan hujah kerapian alam ini dalam konteks percubaan bagi membangunkan teologi semula jadi (berbanding teologi yang diwahyukan), kita mesti mengakui adalah munasabah bagi menganggap mereka yang beriman – sama ada betul atau salah – mempunyai banyak bukti bagi menyokong penerimaan mereka pada ajaran salah satu agama wahyu terbesar - Judaisme, Kristian dan Islam – bagi melihat hujah kerapian alam sebagai kesahan bagi kepercayaan mereka.

Maka, mungkin perkara yang paling mengarut adalah dogma tidak berasas bahawa kejadian alam semesta ini adalah suatu kebetulan yang tiada matlamatnya.

Allah berfirman:

Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan peredaran zaman". Padahal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

Al-Ṭabarī mengulas ayat ini, “[Ayat ini] bermaksud mereka tidak mempunyai ilmu yang pasti kerana mereka sekadar mengandaikannya tanpa sebarang wahyu yang sampai kepada mereka daripada Allah mahupun sebarang dalil yang dapat disahkan.”

Dalam kata lain, golongan anti-teisme sendiri berpegang pada pendirian yang tidak berteraskan bukti dan logik. Sebenarnya, kebanyakan momentum gerakan mereka terhasil kerana mereka melakukan salah nyata pada hujah teisme (falasi alih hujah) ataupun mengalih perhatian pada gelagat yang tidak rasional dan hipokrasi sesetengah penganut (falasi alih tumpuan). Hakikatnya, adalah mustahil bagi membuktikan yang Tuhan tidak wujud. Bahkan, Richard Dawkins, iaitu salah seorang ateis dan pengkritik paling lantang agama mengakui yang dia sendiri tidak sepenuhnya pasti yang Tuhan – dan alam akhirat – tidak wujud.

Makanya, penafian kepercayaan pada Tuhan – ataupun sekurang-kurangnya pada kuasa dan tujuan yang lebih besar – hanya akan dianuti sebilangan kecil manusia. Ini kerana kepercayaan pada Tuhan memang mendarah daging dalam diri kita dan takkan dapat dipadamkan sepenuhnya. Kalau pun kepercayaan pada agama merosot pada masa tertentu, ia pastinya bangkit kembali.

Tuhan di Alam Ghaib

Akhir sekali, hujah yang diperalatkan bagi menentang kewujudan Tuhan adalah Tuhan tidak dapat dilihat dan ditanggapi. Patutkah kita mempercayai sesuatu yang tidak dapat dilihat?  Jawapannya adalah sebagai kuasa Yang Maha Agung, Tuhan wujud di sebalik hijab kosmik, iaitu di al-ghayb. Namun demikian, walaupun kita tidak dapat melihat Tuhan secara langsung, kita mampu menyimpulkan kewujudannya berasaskan tanda-tanda ciptaanNya di dunia ini.

Hujah oleh ahli falsafah “kematian Tuhan” bahawa jika Tuhan tidak dapat dilihat maka ia tidak patut diimani bukanlah perkara baru. Bahkan, hujah seperti ini sudah pun wujud pada zaman Rasulullah ﷺ.

Allah berfirman:

Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: "Mengapa tidak diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?" Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya.

Sebetulnya, hujah penyembah berhala di Mekah itu bukannya soalan yang ikhlas jujur, tetapi hanyalah alasan bagi tidak beriman. Tiada siapa pun dapat mendakwa bahawa apabila sesuatu tidak dapat dilihat, maka itu membuktikan ia tidak wujud. Hakikatnya, terdapat banyak benda yang tidak dapat dilihat. Namun, kita meyakini kewujudannya kerana kita dapat mengesahkan kewujudannya menerusi tanda ataupun kesannya. Contohnya, kita tidak dapat melihat angin tetapi kita dapat melihat tiupan angin pada rumput dan pohonan rendang. Kita juga tidak dapat melihat gelombang radio tetapi kita dapat memanfaatkan hasil siarannya.

Sebenarnya, sains tidak mampu “membuktikan” mahupun “menolak” kewujudan Tuhan dengan menggunakan pendekatan yang langsung dan konvensional, seperti dengan menggunakan ujikaji makmal. Sains hanya mengkaji alam fizikal yang dapat diukur. Sebaliknya, Tuhan wujud di balik alam fizikal dan tidak dapat diukur. Mereka yang menghalakan teleskop ke langit dan tidak mahu beriman padaNya semata-mata kerana tidak dapat melihat Tuhan sebagai lelaki yang bersemayam di awan “sememangnya langsung tidak memahami kebesaran Tuhan.”

Cuba kita fikirkan tentang dunia mikroorganisma yang hidup di dalam piring petri ketika ia dikaji saintis. Organisma itu teramat kecil, hinggakan saintis terpaksa menggunakan alat berkuasa tinggi bagi melihatnya. Adakah organisma itu pula mampu melihat saintis yang sedang mengkaji mereka? Dapatkah mereka mengukur saintis itu? Perbezaan teramat besar antara dua dunia tersebut tidak memungkinkan mikroorganisma memahami realiti yang jauh melangkaui dunia mereka.

Jadi, hubungan kita dengan Tuhan adalah seperti mikroorganisma yang dikaji saintis itu, namun kewujudan fana kita lebih teramat kerdil lagi berbanding keagungan Tuhan yang tiada batasnya. Ya, kita mampu menyedari kewujudan Tuhan menerusi tanda-tandaNya, tetapi kita takkan mampu menanggapi Tuhan secara keseluruhannya. Hakikat ketuhanan terlalu besar bagi dilihat secara langsung mahupun diukur dengan alat duniawi. Kalaulah hijab kosmik dibuka, keagunganNya akan menghancurkan kita semua.

Rasulullah ﷺ bersabda:

Hijab Allah itu cahaya. Sekiranya Dia membuka hijab itu, maka Keagungan wajahNya nescaya akan menelan tiap-tiap orang yang menelannya dengan pandangannya.

Jadi, Tuhan tidak bercakap secara terus dengan manusia, tetapi melalui wahyu yang diturunkan kepada para nabi.

Allah berfirman:

Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat), lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana.

Ayat-ayat yang diturunkan kepada para rasul – sama ada Ibrahim, Musa, Isa ataupun Muhammad (selawat dan salam ke atas mereka semua) – berjaya membimbing dunia dan terus-menerus melakar sejarah. Ia memberi ketenangan dan penduan kepada berjuta-juta manusia seantero dunia. Sungguhpun ia bergerak dari balik alam ghaib, tangan Tuhan yang memandu kehidupan manusia dapat kita saksikan.

Kesimpulan

Hujah-hujah kewujudan Tuhan di dalam Quran dan Sunnah memang jelas dan mudah difahami, dan ia disokong logik dan pertimbangan akal. Apabila hati dan minda berpadu bagi memikirkan fakta kewujudan dan mesej yang disampaikan para rasul, maka iman bertambah kukuh. Kita tidak memerlukan latihan khusus ataupun falsafah bagi benar-benar menghayati kepercayaan pada Tuhan. Segala bukti dan hujah dapat difahami semua, tidak kiralah tahap pendidikan mereka. Itulah manifestasi kebijaksanaan dan sifat pengasih Pencipta, iaitu Tuhan yang mencipta dunia agar Dia dikenali sebagai wadah bagi menikmati kehidupan bahagia yang abadi di akhirat nanti. Bagaimanapun, jalan kerohanian memerlukan usaha berterusan dan penuh kesabaran bagi mendapatkan hakikat kebenaran, bagi menjawab soalan-soalan kewujudan paling penting dan bagi membuang segala kesangsian.

Bagaimanapun, bukan semua orang akan menerima hujah-hujah ini. Mereka akan menolak logik ini ataupun mengutarakan hujah mereka tentang alam semesta yang tidak bertuhan. Tambahan pula, terdapat lain-lain halangan yang membuatkan masyarakat melarikan diri dari agama, khususnya Islam: hipokrasi sesetengah penganut dan trauma yang disebabkan mereka, ataupun lain-lain keraguan. Hakikatnya, pertama-tama sekali, ilmu ketuhanan adalah cahaya yang Tuhan hamparkan dalam hati, dan hujah segudang pun takkan mampu menyinari hati orang yang tidak mampu menanggapinya. Sebagai penganut Islam, kita berperanan menjadi suri teladan yang mencerminkan Islam dan berdakwah dengan kesantunan, kasih sayang dan kelembutan, selain menawarkan muhibah kepada semua dan mendoakan hidayah bagi mereka yang memerlukannya.

Kejayaan datangnya dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui.

[1] Barrett, Justin L. Cognitive Science, Religion, and Theology: From Human Minds to Divine Minds. (West Conshohocken, PA: Templeton Press, 2011), 11.

[2] Sūrah al-‘Arāf 7:172; Abdel Haleem, M. A. The Qur’an: English translation and parallel Arabic text. (Oxford: Oxford University Press, 2010), 174.

[3] al-Ṭabarī. Jāmiʻ al-Bayān ‘an Ta’wīl al-Qur’ān. Bayrūt: Mu’assasat al-Risālah, 2000), 10:561, ayat 7:172.

[4] Hamer, Dean H. The God Gene: How Faith Is Hardwired into Our Genes. (New York: Doubleday, 2004), 6.

[5] Sūrah al-Rūm 30:30; Abdel Haleem, The Qur’an, 408.

[6] Sūrah Luqmān 31:25; Abdel Haleem, The Qur’an, 414.

[7] Sūrah al-Zukhruf 43:87; Abdel Haleem, The Qur’an, 496.

[8] Sūrah al-‘Ankabūt 29:65; Abdel Haleem, The Qur’an, 404.

[9] Sūrah al-An’ām 6:63-64; Abdel Haleem, The Qur’an, 136.

[10] Sūrah al-Rūm 30:33-34; Abdel Haleem, The Qur’an, 409.

[11] Sūrah al-Zumar 39:8; Abdel Haleem, The Qur’an, 460.

[12] al-Ghazzālī, ʻAbd al-Ḥalīm. al-Munqidh min al-Ḍalāl. al-Qāhirah: Dār al-Kutub al-Ḥadīthah, [1972]), 111.

[13] al-Ghazzālī, al-Munqidh min al-Ḍalāl, 182.

[14] ʻIyāḍ, [al-Qāḍī] Abū al-Faḍl. al-Ilmāʻ ilā Maʻrifat Uṣūl. al-Qāhirah: Dār at-Turāt̲h, [1970]), 217.

[15]  Ibn Rajab, and Muḥammad N. Ajmaī. Bayān Faḍl ʻilm al-Salaf ʻalá ʻilm al-Khalaf. (Bayrūt, Lubnān: Dār al-Bashāʼir al-Islāmīyah, 1995), 58.

[16] Sūrah al-Mā’idah 5:15-16; Abdel Haleem, The Qur’an, 111.

[17] Sūrah al-Ḥadīd 57:28; Abdel Haleem, The Qur’an, 542.

[18] Sūrah al-Ra’d 13:28; Abdel Haleem, The Qur’an, 253.

[19] Sūrah al-Naḥl 16:97; Abdel Haleem, The Qur’an, 279.

[20] Sūrah al-Fajr 89:27-30; Abdel Haleem, The Qur’an, 595.

[21] Sūrah al-Ḍuḥa 93:5; Abdel Haleem, The Qur’an, 597.

[22] Muslim, Ibn H. Ṣaḥīḥ Muslim. ([Bayrūt]: Dār Iḥyā’ al-Kutub al-‘Arabīyah, [1955]), 2:730 #1054.

[23] Muslim, Ṣaḥīḥ Muslim, 1:62 #34.

[24]  al-Bukhārī, Muḥammad I. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Bayrūt: Dār Ṭawq al-Najjāh, [2002]), 8:95. #6446.

[25] al-Ṭabarānī, Sulaymān ibn Aḥmad, and Ḥamdī ʻAbd al-Majīd Salafī. al-Mu’jam al-Kabīr. (al-Qāhirah: Maktabat Ibn Taymīyah, 1994), 2:154 #1643; declared authentic (ṣaḥiḥ) by Al-Albānī in Ṣaḥīh al-Jāmi’ al-Ṣaghīr wa Ziyādatihi ([Dimashq]: al-Maktab al-Islāmī, 1969), 2:1289 #7816.

[26] al-Tirmidhī, Ibn ʻĪsá. Sunan al-Tirmidhī. (Bayrūt: Dār al-Ġarb al-Islāmī, 1998), 4:152 #2346; dianggap (ḥasan) oleh Al-Tirmidhī dalam ulasannya.

[27] Ibn ‘Asākir. Tārīkh Dimashq. (Bayrūt: Dār al-Fikr, 1995), 6:303.

[28] al-Bukhārī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, 7:114 #5643.

[29] al-Ghazzālī, Al-Munqidh min al-Ḍalāl, 185-186.

[30] Barrett, Justin L. Why Would Anyone Believe in God? (Walnut Creek, CA: AltaMira Press, 2004), 66.

[31] al-Bukhārī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, 2:94 #1358.

[32] Ibn Taymīyah, Taqī al-Dīn. Majmū’ al-Fatāwà. (al-Madīnah al-Munawwarah: Majmaʻ al-Malik Fahd li-Ṭibāʻat al-Muṣḥaf al-Sharīf, 1995), 16:328.

[33] Barrett, Cognitive Science, Religion, and Theology, 49.

[34] Sūrah al-Rūm 30:8; Abdel Haleem, The Qur’an, 406

[35] Sūrah al-Ṭūr 52:35-36; Abdel Haleem, The Qur’an, 526.

[36] Ibn Ḥajar. Fatḥ al-Bārī bi-Sharḥ al-Bukhārī. (Bayrūt, Lubnān: Dār al-Ma’rifah, 1959), 8:603.

[37] Hacınebioğlu, İsamail L. Does God Exist? : Logical Foundations of the Cosmological Argument. (Istanbul: Insan, 2008), 188.

[38] al-Bukhārī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, 6:140 #4854.

[39] Ibn Kathīr, Ismāʻīl ibn ʻUmar. Tafsīr al-Qurān al-‘Aẓīm. (Bayrūt: Dār al-Kutub al-ʻIlmīyah, 1998), 7:406, verse 52:35.

[40] Ibn Abī al-‘Izz, and Aḥmad al-Ṭaḥāwī. Sharḥ al-‘Aqīdah al-Ṭaḥāwīyah. (Bayrūt: Muʼassasat al-Risālah, 1997), 1:36.

[41] Ibn al-Qayyim. Miftāḥ Dār al-Sa’ādah wa Manshūr Wilāyat al-‘Ilm wa al-Idārah. (Bayrūt, Lubnān : Dār al-Kutub al-ʻIlmīyah, 2002), 1:214.

[42] “Newton’s Laws of Motion.” National Aeronautics and Space Administration (NASA). Accessed 23 December 2016. www.grc.nasa.gov/www/k-12/airplane/newton.html.

[43] “Big Bang Cosmology.” National Aeronautics and Space Administration (NASA). Diakses pada 23 December 2016. map.gsfc.nasa.gov/universe/bb_theory.html.

[44] Leibniz, Gottfried W, Roger Ariew, dan Daniel Garber. Philosophical Essays. (Indianapolis: Hackett Publishing Company, 1989), 149-150.

[45] Overman, Dean L. A Case for the Existence of God. (Lanham, Md: Rowman & Littlefield, 2009), 40.

[46] Hanby, Michael. No God, No Science?: Theology, Cosmology, Biology. (Malden, MA: Wiley-Blackwell, 2013), 212.

[47] Sūrah ‘Āli ‘Imrān 3:190-191; Abdel Haleem, The Qur’an, 76.

[48] Sacks, Jonathan. The Great Partnership: Science, Religion, and the Search for Meaning. (New York: Schocken Books, 2011), 1.

[49] Ibn Abī Shaybah. Al-Muṣannaf. (Riyādh: Maktabat al-Rushd Nāshirūn, 2006), 5:266 #25942.

[50] Sūrah al-Baqarah 2:164; Abdel Haleem, The Qur’an, 26.

[51] Sūrah al-Rūm 30:20-24; Abdel Haleem, The Qur’an, 407.

[52] Sūrah al-R’ad 13:4; Abdel Haleem, The Qur’an, 250.

[53] Sūrah al-Naḥl 16:12; Abdel Haleem, The Qur’an, 269.

[54] Sūrah Fuṣṣilat 41:53; Abdel Haleem, The Qur’an, 483.

[55] Ibn Taymiyyah, Majmū’ al-Fatāwà, 1:48.

[56] Ibn Kathīr. Tafsīr al-Qurān al-‘Aẓīm, 106.

[57] Ibid., 106 - 107.

[58] Ibid., 107.

[59] Ibid., 106.

[60] Ibid., 107.

[61] Ibid., 1:107.

[62] Sūrah al-Anbiyā’ 21:22; Abdel Haleem, The Qur’an, 324.

[63] Overman, A case for the existence of God, 42.

[64] Murray, Michael J (ed.). Reason for the Hope Within. (Grand Rapids, Michigan: W.B. Eerdmans, 1999), 49.

[65] Manson, Neil A. God and Design: The Teleological Argument and Modern Science. (London: Routledge, 2003), 179-190.

[66] Wood, W J. God. (Durham: Acumen, 2011), 29.

[67] Flew, Antony. God & Philosophy. (New York: Prometheus Books, 2005), 11.

[68] Sūrah al-Jāthiyah 45:24; Abdel Haleem, The Qur’an, 502.

[69] al-Ṭabarī, Jāmiʻ al-Bayān, 22:80.

[70] Bingham, John. “Richard Dawkins: I can’t be sure God does not exist.” The Telegraph. Diakses pada 23 Disember 2016. http://www.telegraph.co.uk/news/religion/9102740/Richard-Dawkins-I-cant-be-sure-God-does-not-exist.html.

[71] Sūrah al-Furqān 25:21; Abdel Haleem, The Qur’an, 363.

[72] Sūrat al-Anām 6:91; Abdel Haleem, The Qur’an, 140.

[73] Muslim, Ṣaḥīḥ Muslim, 1:161 #179.

[74] Sūrah al-Shūrā 42:51; Abdel Haleem, The Qur’an, 489.

[75] Youssef Chouhoud, “Modern Pathways to Doubt in Islam.” Yaqeen Institute for Islamic Research. Diakses pada 23 Disember 2016. www.yaqeeninstitute.org/publications/modern-pathways-to-doubt-in-islam/

Penafian: Pandangan, pendapat, penemuan, serta kesimpulan yang dinyatakan dalam kertas dan artikel ini adalah hak milik penulis. Selain itu, Yaqeen tidak menyokong mana-mana pandangan peribadi pengarang di mana-mana platform. Pihak kami adalah pelbagai di semua bidang, ini membolehkan dialog berterusan dan memperkaya yang membantu kami menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi.

Hak cipta © 2018. Yaqeen Institute for Islamic Research

Disclaimer: The views, opinions, findings, and conclusions expressed in these papers and articles are strictly those of the authors. Furthermore, Yaqeen does not endorse any of the personal views of the authors on any platform. Our team is diverse on all fronts, allowing for constant, enriching dialogue that helps us produce high-quality research.

Authors