Bagaimana Rasulullah ﷺ Mengatasi Permusuhan dan Penghinaan
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Menidakkan Rasulullah ﷺ adalah sama seperti mempersoalkan keseluruh mesej yang dibawa baginda. Pada masa itu, orang-orang Mekah memanggilnya dengan pelbagai nama seorang penyair, ahli silap mata, atau seorang yang gila. Hari ini, baginda dihina pula dengan label-label lain. Tetapi mungkin penghinaan yang paling mencolok, yang direka untuk melemahkan asas yang sedia kuat dan penyebaran mesej baginda, adalah bahawa baginda telah mengalahkan musuh-musuhnya menggunakan keganasan hanya untuk memerintah mereka dengan kekejaman. Gambaran kehidupan, karier ketenteraan, dan hadis-hadis baginda Rasulullah ﷺ menjadi asas kepada kebanyakan pertimbangan tentang misinya. Islam secara keseluruhannya, melalui gambaran ini, dilihat sebagai sama ada agama damai atau agama perang, bergantung kepada tafsiran yang diturunkan oleh penyampai utusan dan utusannya. Kritikan-kritikan moden ke atas tindakan-tindakan Rasulullah ﷺ adalah bertujuan untuk mempersoalkan kesopanan Islam dalam pertembungan rekaan antara dua tamadun yang digunakan oleh kedua-dua kumpulan Islamofobik dan juga kumpulan ekstremis. Michael Bonner menyatakan, "Kebanyakan hujah-hujah moden berbincang dari sudut historiografi, kebangkitan Islam dan asal-usul jihad secara umumnya bermula pada abad kesembilan belas dan awal abad ke-20 di kalangan pakar akademik Eropah dalam kajian Timur, sering dirujuk sebagai orientalis." Dia tutur menyatakan bahawa motivasi hujah-hujah ini tidak dapat dipisahkan daripada "penglibatan mereka dalam projek penjajahan."
Dengan menggambarkan Rasulullah ﷺ sebagai orang pastinya para pengikutnya juga diperlakukan sebagai sebuah badan politik yang ganas yang akan menggunakan apa sahaja cara yang diperlukan untuk mencapai dominasi global. Apa yang tidak membawa kotroversi adalah bahawa kononnya Nabi Muhammad ﷺ berjaya mencapai kuasa yang hebat selepas bertahun-tahun melakukan penindasan. Michael Hart, yang terkenal sebagai orang yang paling berpengaruh dalam bidang sejarah, menulis,
Saya memilih Muhammad untuk memimpin senarai orang-orang yang paling berpengaruh di dunia adalah mengejutkan bagi beberapa pembaca dan mungkin dipersoalkan oleh orang lain, tetapi dia adalah satu-satunya lelaki dalam sejarah yang sangat berjaya di peringkat agama dan sekular.
Persoalannya sama ada baginda mengorbankan prinsipnya dalam usaha mencapai kejayaan itu memerlukan pandangan dan kajian yang mendalam tentang konsistensinya, atau kekurangannya, dalam konteks politik yang pelbagai.
“Akhlaknya adalah Quran”
Inilah yang dinyatakan ‘Â’isha (ra). Rasulullah ﷺ mengamalkan segala sesuatu yang disampaikannya kepada umatnya. Rasulullah ﷺ adalah manifestasi wahyu; semua ayat berkenaan kelembutan, akhlak dan keindahan tergambar dalam setiap perbuatannya. Apabila Allah SWT mengatakan, “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik” [Fussilat (41): 34], kita belajar cara menangani semua jenis kejahatan, khususnya yang dilakukan musuh kita. “Kejahatan” bersifat relatif – begitu jugalah reaksi padanya. Jadi, setiap keadaan yang dialami Rasulullah ﷺ memerlukan tindak balas berbeza. Sifat istiqamah baginda yang sentiasa menggunakan pendekatan berhikmah membuatkan baginda menonjol dan dihormati. Puak fobia-Islam menuduh Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang menulis Quran, dan mereka menuduh lagi bahawa apabila kuasa baginda bertambah, unsur tolak-ansur dalam Quran pun memudar. Orang Islam pula berhujah yang Nabi Muhammad ﷺ menggambarkan isi kandungan Quran, iaitu kata-kata Allah SWT. Kedua-dua akhlak baginda dan ayat-ayat Quran mempamerkan kelembutan yang serupa. Ayat-ayat mengenai peperangan hanya diturunkan selepas hijrah ke Madinah berlaku. Ini kerana peperangan tersebut tidak berlaku sehinggalah Nabi Muhammad ﷺ menjadi ketua negara. Tetapi kita juga perlu sedar yang kebanyakan ayat penting mengenai tolak-ansur, seperti ayat, “Tiada paksaan dalam agama” [al-Baqara (2): 256], juga diturunkan selepas peristiwa Hijrah.
Hikmah yang tersembunyi
“Jika kita tak pernah merasai betapa sejuknya musim dingin, maka kemungkinan besar kita takkan menghargai kehangatan musim panas.”
Apabila kita menghayati betapa Nabi Muhammad ﷺ melayan musuh-musuhnya dengan baik, bertindak balas secara berhikmah pada puluhan tahun kekasaran, dan bagaimana baginda menangani penghinaan dan kecederaan, kita pastinya menyedari beberapa perkara. Salah satunya adalah bagaimana fobia-Islam dan yang berkaitan dengannya menawarkan hikmah atau rahmat yang tersembunyi. Perhatikan... tuduhan demi tuduhan pada Nabi Muhammad ﷺ, kononnya baginda menggunakan keganasan bagi memaksakan pengislaman masyarakat atau kononnya baginda suka memperalatkan keadaan; semua ini mendorong kita menemui semula akhlak baginda.
Apabila seseorang yang bersikap adil membaca biografi Nabi Muhammad ﷺ, dia pastinya mendapati yang mana satu gambaran yang tidak adil mengenai baginda; yang mana satu kebiasaan baginda; dan yang mana satu adalah kekecualian. Bahkan, apabila dia terus membaca, dia sedar yang “kekecualian” itu bukanlah kelemahan baginda, tetapi adalah dimensi lain yang menonjolkan kemuliaan dan belas kasihan baginda. Inilah yang gagal difahami ramai.
Dalam halaman-halaman seterusnya, anda akan dibawa menerokai kemuliaan baginda, lantas membolehkan anda memahami bagaiman baginda melangkaui segala maklumat yang bersifat manipulatif dan dangkal. Malah, Allah SWT menggambarkan baginda sebagai, “melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” [al-Anbiyâ’ (21): 107], dan “sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia” [al-Qalam (68): 4]. Kami mengumpulkan 70 kejadian di mana Nabi Muhammad ﷺ menangani permusuhan dan penghinaan secara berhikmah. Sebelum kita menjawab tuduhan yang diasaskan pada tiga ataupun empat kejadian yang diperkudakan mereka yang mahu menggambarkan baginda sebagai petualang ganas, kita perlu terlebih dahulu menerangkan tentang puluhan kejadian yang menonjolkan cara baginda berurusan, sama ada dari segi politik ataupun sebaliknya. Setiap kejadian dipetik dari sumber asal tetapi rujukan pada matan asal diberikan sebagai bahan bagi mereka yang ingin mendapatkan lebih banyak manfaat daripada kejadian-kejadian itu.
Matlamat utama kita adalah bagi membentuk asas bagi memahami bagaimana Nabi Muhammad ﷺ sentiasa mempamerkan maruah dan kemuliaan, sekalipun baginda dihina dan diserang. Hanya dengan latar inilah maka kejadian-kejadian yang seolah kekecualian pada sifat ini dapat dikaji setepatnya. Matlamat lain karya ini adalah bagi mendorong umat Nabi Muhammad ﷺ bagi menonjolkan belas kasihan dan segala sifat baik tatkala berdepan penghinaan, sebagaimana yang dilakukan Nabi Muhammad ﷺ. Yang pastinya, semua kekejaman dan prasangka yang dialami baginda jauh lebih dahsyat daripada yang dialami umat baginda pada hari ini. Ya, tentunya kita tidak sanggup melihat baginda dihina. Namun, baginda tentunya berasa lebih sedih lagi kalau baginda menyaksikan kita tidak mengikut Sunnahnya bagi berdepan penghinaan.
Dekad Sukar di Mekah
Sebaik sahaja Nabi Muhammad ﷺ berdakwah secara terbuka, para pengikutnya mendapati mereka yang memeluk Islam berdepan penyeksaan dan malahan kematian. Mereka yang tergolong sebagai bangsawan Mekah, seperti Abu Bakar (ra) dipukul hingga pengsan di jalanan, manakala hamba seperti Bilâl b. Rabah (ra) dan Suhayb b. Sinân (ra) dirantai dan dijemur di bawah bahang mentari padang pasir. Syahid pertama, Sumayya b. Khayyât (ra) terbunuh apabila lembing menusuk pinggulnya, manakala anaknya, ‘Ammâr b. Yâsir (ra) diseksa dengan api – sepertimana ramai yang lain – agar mereka keluar dari Islam. Khabbâb b. al-Aratt (ra) pula dipaksa baring di atas batu arang yang sedang terbakar, hinggakan bau dagingnya dapat dihidu, dan makin lama, kekejaman makin menjadi-jadi.
Nabi Muhammad ﷺ juga mengalami kezaliman yang dahsyat di tangan kaum kafir Quraysh. Mereka memburuk-burukkan baginda, menceraikan anak-anaknya dan memulaukan kaum kerabatnya selama tiga tahun. Dari segi kekasaran fizikal pula, ‘Uqba b. Abi Mu‘ayt pernah mencekiknya dari belakang ketika baginda bersolat di khalayak ramai. Abu Jahal pula mengarahkan agar usus unta dicampakkan ke atas baginda semasa baginda bersujud, manakala ‘Utayba b. Abi Lahab meludahinya, dan ramai lagi memukul baginda hingga pengsan.
Semasa era kekejaman ini, kita dapat memerhatikan beberapa perkara. Jelaslah yang biarpun baginda sentiasa dianiayai kafir Quraysh, Nabi Muhammad ﷺ melaksanakan dasar ketabahan dan respon berhikmah. Provokasi kafir Quraysh kian buruk apabila mereka sedar mereka gagal menghalang baginda daripada terus berdakwah dan malahan baginda memiliki para pengikut yang bersemangat dan sentiasa menerima baginda. Bahkan, sungguhpun kafir Quraysh terus-menerus menakut-nakutkan masyarakat mengenai Islam, para pengikut baginda makin bertambah. Salah seorang bapa saudara baginda, Abu Lahab mula menghina baginda sejurus selepas baginda berdakwah pada kaum kerabatnya sendiri dari Bukit Safa berdekatan Kaabah, yakni tempat yang sering digunakan bagi menyampaikan sesuatu pada orang ramai. Ekoran kejadian inilah maka ejekan pada orang Islam menjadi kebiasaan, terutamanya apabila mereka bersolat di Kaabah.
Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah pada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani, Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan solat), Dan (melihat) gerak-gerimu dalam kalangan orang-orang yang sujud. Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [ash-Shu‘arâ’ (26): 214-220].
Kafir Quraysh – yang menganggap orang Islam sebagai penjenayah kerana meninggalkan agama nenek moyang mereka - melaksanakan tindakan tersusun bagi menghalang sesiapa pun daripada mendengar dakwah Nabi Muhammad ﷺ. Dasar ini terpakai bagi kedua-dua orang tempatan dan juga orang luar. Ini kerana ramai orang dari seluruh Semenanjung Arab yang selalu mengunjungi Mekah bagi tujuan pemujaan dan perdagangan mula berkenalan dengan baginda dan mesej Islam. Waleed b. al-Mugheera, salah seorang elitis Mekah dan usahawan berpengaruh memulakan kempen memburuk-burukkan baginda di majlis para pemimpin kabilah. Waktu itu, dia merancang menuduh Nabi Muhammad ﷺ sebagai ahli sihir. Ini sebagai amaran pada orang ramai agar kononnya tidak terpengaruh dengan kata-kata baginda yang sungguh mengesankan, iaitu apabila baginda membaca Quran. Pelbagai lagi propaganda disebar luaskan, termasuklah kononnya Nabi Muhammad ﷺ seorang pendusta, gila, dirasuk, dan malahan seorang penyajak yang menggoda dan memperalatkan orang supaya mengikutnya. Semua ini dicatatkan dalam Quran.
Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Quran sambil berkata: Sebenarnya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh orang gila. [al-Qalam (68): 51] Berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu: Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang terang nyata. [Yunus (10): 2]
Baginda tertekan melihat derita yang dialami para pengikutnya dan ditambah pula dengan hakikat yang baginda tidak mampu melindungi mereka. Baginda makin sedih apabila baginda tidak mampu meyakinkan masyarakatnya – yang mana ramai yang sebenarnya terdiri daripada kaum kerabatnya sendiri. Bagaimanapun, strategi ini memang disengajakan: bagi terus berdakwah pada masyarakat, dan memilih bagi menumpukan pada akhlak dan pertimbangan akal berbanding penggunaan kekerasan yang tentunya mengundang lebih banyak kesengsaraan. Kalau ikutkan, berdasarkan kebiasaan dalam masyarakat yang berpuak-puak, hanya satu provokasi sahaja sudah cukup sebagai alasan bagi melancarkan peperangan. Namun, sesuatu yang tidak pernah disaksikan sebelum itu telah berlaku. Semua peringkat, dari peringkat individu dan kumpulan mempamerkan sifat tabah, keazaman dan ketahanan diri yang hanya mampu dihayati dengan kerohanian dan akhlak yang bersifat pandang ke depan; unsur berpandangan jauh inilah yang menjadi asas strategi kepimpinan demi reformasi yang ketika itu sedang dibina dengan rapi oleh Nabi Muhammad ﷺ di Mekah. Pada masa itu pula, baginda dan para pengikutnya belum diberikan keizinan Ilahi bagi mengangkat senjata – sekalipun bagi mempertahankan diri. Ini kerana waktu itu, orang Islam hanyalah golongan minoriti yang tinggal di kota yang memandang jelik mereka. Jadi, sebarang peperangan tentunya menghapuskan umat Islam yang kecil jumlahnya, dan bahkan memusnahkan peluang bagi memantapkan komuniti Muslim yang baru bertapak ini. Selain itu, disebabkan kewujudan sistem kabilah pada masa itu, adalah sukar bagi kafir Quraysh melancarkan perang pada orang Islam. Ini kerana Nabi Muhammad ﷺ dan para pengikutnya berasal daripada beberapa kabilah, dan sesetengah pula berasal daripada kabilah yang paling elit dan berpengaruh – dan makanya, mereka dilindungi. Kalaulah peperangan berlaku, ia akan mengakibatkan peperangan besar-besaran yang melibatkan banyak kabilah, termasuklah antara mereka yang mempunyai pakatan dan malahan sesama keluarga. Sallabi menyatakan, “Berdasarkan hakikat itu, Islam tersebar ke segenap kabilah Quraysh tanpa sebarang tindak balas keterlaluan yang berpunca daripada kesetiaan kabilah.”
Nabi Muhammad ﷺ dan para Sahabatnya kemudiannya berhijrah dari kekejaman itu ke Madinah. Namun, penghijrahan baginda meninggalkan teladan dalam bentuk kemaafan dan berurusan dengan musuh secara bermaruah. Berikut adalah sekadar beberapa contoh yang dipetik daripada kehidupan insan mulia ini:
Biar Para Malaikat Menanganinya
Sungguhpun Quran mengatakan yang penghinaan kafir Quraysh menyesakkan dada Nabi Muhammad ﷺ dengan kesakitan, baginda tidak pernah membalasnya. Bahkan, baginda memilih bagi tidak bertindak balas langsung, dengan harapan suatu hari nanti, akhlaknya itu akan menembusi kalbu kasar mereka, susulan kata-kata Allah SWT: “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan padamu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib” [Fussilat (41): 34]. Dalam satu kejadian, Nabi Muhammad ﷺ tersenyum apabila salah seorang Sahabatnya yang paling mulia, Abu Bakar (ra), menahan diri daripada membalas orang yang menghinanya. Tetapi apabila Abu Bakar (ra) kemudiannya menjawab, baginda marah dan meninggalkan tempat itu. Baginda kemudiannya menjelaskan, “Satu malaikat ada denganmu, menjawab bagi pihakmu. Tetapi apabila kamu membalas padanya dengan sebahagian kata-kata yang diucapkannya padamu, satu syaitan tiba, dan saya tak mahu duduk dengan syaitan.” Jadi, Nabi Muhammad ﷺ mengajar kita bahawa apabila seseorang membalas orang yang menghinanya, maka mereka sebenarnya membenarkan syaitan mempengaruhinya. Salah satu prinsip kerohanian Islam adalah tidak membenarkan perasaan dan tindakan kita dipengaruhi syaitan, hinggakan keputusan kita didorong sesuatu selain suruhan dan larangan Allah SWT. Bagi membantu kita bertenang ketika sedang marah, Nabi Muhammad ﷺ mengajar beberapa kaedah, termasuk memohon perlindungan daripada Allah SWT, menukar kedudukan fizikal kita bagi beralih kepada kedudukan yang bersifat lebih pasif, mengambik wuduk dan sebagainya. Dalam keadaan marah, kita cenderung membalas dengan cara yang angkuh dan bersifat syaitaniah. Ini tidak mendatangkan sebarang manfaat, kecuali hanya memuaskan ego sendiri. Memang benar marah bertempat adalah perlu, tetapi ia tidak boleh diluahkan apabila kita tidak tenang. Jadi, Nabi Muhammad ﷺ mengatasi segala cubaan musuh bagi mengapi-apikannya bagi bersikap kasar, celupar dan daripada melakukan sebarang tindakan yang tidak layak baginya sebagai nabi.
Penghinaan yang Tersasar
Arwâ b. Harb (juga dikenali sebagai Um Jameel, iaitu isteri Abu Lahab) akan mengekori Nabi Muhammad ﷺ dengan tujuan mengasari dan memalukan baginda, dan menghina baginda, “Mudhammam (yang dikeji) sudah kami nafikan, dan agamanya kami benci, dan suruhannya kami tolak (مذمم أبينا، ودينه قلينا، وأمره عصينا)!” Nabi Muhammad ﷺ tidak menjawab tetapi beroleh ketenteraman dengan bersabda pada para Sahabatnya, “Tidakkah kamu lihat bagaimana Allah mengalih saya daripada cacian dan penghinaan kaum Quraysh? Mereka menghina (dengan mengatakan) Mudhammam, dan mereka menyumpah Mudhammam, sedangkan saya adalah Muhammad (yang Terpuji)!” Dalam suasana penuh cabaran itu, baginda terus menenangkan keadaan dan menonjolkan sifat optimis. Jadi, kita juga patut sedar yang segala kartun dan lukisan yang bertujuan menghina Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya langsung tidak menggambarkan Nabi Muhammad ﷺ yang kita cintai.
Berdoa supaya Mereka Diberikan Petunjuk dan Mengenalpasti Potensi
‘Amr b. Hishâm (Abu Jahal) adalah musuh baginda yang paling ketat – dialah firaun kaumnya. Sekalipun Abu Jahal banyak mengasari baginda secara fizikal dan emosi, selain mematahkan tulang para Sahabat dan memimpin angkatan perang pertama menentang baginda, namun baginda sentiasa berharap Abu Jahal diberikan petunjuk. Baginda seringkali berdoa di Mekah, “Ya.. Allah.. muliakanlah islam dengan salah seorang dari dua Umar, yaitu Umar bin Khatab atau Amru bin Hisyam.” Keesokan paginya, ‘Umar b. al-Khattâb memeluk Islam.. Biarpun Abu Jahal kejam umpama firaun kaumnya, Nabi Muhammad ﷺ tetap ikhlas berdoa untuknya. Baginda juga memiliki ketajaman akal bagi mengetahui yang Abu Jahal tetap memiliki ciri-ciri kepimpinan yang berpotensi dimanfaatkan demi kebaikan.
Melepaskan Mereka daripada Hukuman Ilahi
Semasa kafir Quraysh bertambah zalim, Nabi Muhammad ﷺ berdoa, “Ya Allah, hantarlah bertahun-tahun [kemarau] ke atas mereka seperti tujuh tahun [kemarau semasa zaman] Yusuf.” Doa baginda dimakbulkan. Kemarau melanda kafir Quraysh sebagaimana kemarau yang melanda ketika zaman Nabi Yusuf AS. Kemarau itu memusnahkan pelbagai bentuk kehidupan dan memaksa kafir Quraysh memakan kulit dan bangkai, hinggakan mereka berkhayal melihat asap. Abu Sufyân mendatangi Nabi Muhammad ﷺ dan berkata, “Wahai Muhammad, kamu menyuruh manusia taat pada Allah dan mengekalkan hubungan baik dengan kaum kerabat mereka. Anggota kabilah kamu sedang dirundung kematian, jadi, tolong doa pada Allah untuk mereka.” Akhirnya, Nabi Muhammad ﷺ diwahyukan ayat-ayat dari Surah ad-Dukhân (Asap), lalu baginda berdoa untuk mereka. Awan terus muncul dan hujan turun dengan lebatnya. Seterusnya, baginda berdoa lagi apabila mereka merungut tentang hujan yang dianggap terlalu lebat. Namun, apabila sahaja dahaga mereka sudah dipuaskan dan mereka berasa selamat, mereka kembali menolak Islam.
Mempamerkan Belas Kasihan pada Hari Paling Sedih buat Baginda
‘Â’isha (ra) meriwayatkan yang beliau pernah bertanya pada Nabi Muhammad ﷺ, “Wahai Rasulullah, apakah engkau pernah mengalami suatu hari yang lebih pedih dari hari perang Uhud? Rasulullah ﷺ menjawab:
Aku sering mendapatkan (sesuatu yang menyakitkan) dari kaummu. Dan yang paling menyakitkan adalah peristiwa hari Aqabah, ketika aku sedang mengajak Ibnu Abdi Yalil bin Abdu Kulal masuk Islam namun ia tidak menyambut ajakan yang aku inginkan. Aku pun segera beranjak pergi dengan hati sedih dan tidak sadar diri kecuali setelah tiba di daerah Qarnu Tsa`alib. Aku lalu menengadahkan kepalaku ke arah langit, tiba-tiba tampaklah segumpal awan menaungiku. Aku pun menatapnya, ternyata Jibril berada di sana dan berseru kepadaku kemudian berkata: Sesungguhnya Allah telah mendengar ucapan kaummu dan jawapan mereka terhadapmu. Dan Allah telah mengutus malaikat gunung kepadamu agar kamu dapat memerintahkan kepadanya apa yang kamu inginkan atas mereka. Lalu malaikat gunung berseru kepadaku serta mengucapkan salam dan berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar ucapan kaummu kepadamu dan aku adalah malaikat gunung yang telah diutus Tuhanmu kepadamu agar kamu dapat memerintahkan kepadaku sesuai dengan perintahmu dan dengan apa yang kamu inginkan. Jika kamu menginginkan, aku dapat menimpahkan mereka dengan dua gunung itu. Rasulullah ﷺ lalu menjawab: Tidak, bahkan aku berharap semoga Allah melahirkan dari keturunan mereka orang-orang yang akan menyembah Allah semata serta tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apapun.”
Dalam riwayat lain, Nabi Muhammad ﷺ meluangkan sepuluh hari di Tâ’if sesudah bercakap dengan para pemimpin di situ. Baginda berdakwah pada penduduk tempatan, hinggalah terdapat gerombolan yang menghalau baginda. Mereka menyusun dua barisan dan memaksa baginda melalui antara dua barisan itu sambil mereka memaki dan melontar batu pada baginda, hinggakan darah mengalir menuruni kaki mulia baginda, manakala kepala Zayd b. Haritha’s terluka.
Menyimpan Lebih Harapan pada Kabilah daripada Pemimpin
Semasa Tufayl b. Amr ad-Dawsi (ra) pertama kali mengunjungi Mekah, beliau bimbang disihir Nabi Muhammad ﷺ. Bahkan, dia menyumbat kapas ke dalam telinganya semasa bertawaf di Kaabah. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, beliau memeluk Islam. Namun, apabila beliau berdakwah pada kaumnya, mereka menolak dakwahnya dan meminggirkannya. Abu Hurayra (ra) meriwayatkan bahawa Tufayl b. ‘Amr (ra) kemudiannya kembali kepada Nabi Muhammad ﷺ dan berkata, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan berpaling. Doalah semoga Allah mencelakakan mereka.” Baginda berdoa, “Ya Allah, berilah hidayah kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka [sebagai orang Islam]” Hampir sepuluh tahun kemudian, Tufayl b. ‘Amr (ra) berhijrah ke Madinah dengan lapan puluh keluarga yang telah pun memeluk Islam.
Tetap Amanah Walaupun pada Para Penzalim
Sebenarnya, ketika Nabi Muhammad ﷺ berhijrah ke Madinah, baginda masih lagi menyimpan banyak harta milik para penzalim yang sebelumnya diamanahkan kepadanya. Namun, sifat amanah baginda kekal terpelihara, biarpun golongan itulah yang menzaliminya dan para Sahabatnya. ‘Â’isha (ra) berkata, “Baginda mengarahkan ‘Ali (ra) bagi tinggal di Mekah agar dapat memulangkan semua harta yang diamanahkan kepada Rasulullah ﷺ untuk kaumnya. Tiada siapa di Mekah (termasuk musuhnya!) yang mempunyai harta yang ditakutinya [hilang] kecuali dia mengamanahkannya kepada Rasulullah ﷺ, berikutan kejujuran dan sifat amanahnya yang diketahui [semua]. Jadi, ‘Ali (ra) tinggal buat sementara waktu selama tiga hari tiga malam bagi menghantar semua harta yang pernah diamanahkan orang lain kepada Rasulullah ﷺ, dan kemudian pergi kepada baginda sesudah menyelesaikan tugasan itu.”
Kewibawaan Walau dalam Keadaan Terdesak
Surâqa b. Mâlik (ra) adalah salah seorang pemburu habuan yang memburu Nabi Muhammad ﷺ semasa baginda berhijrah ke Madinah. Apabila Surâqa berjaya menjejaki mereka, Abu Bakar (ra) mulai menangis kerana membimbangi keselamatan Nabi Muhammad ﷺ, manakala baginda berdoa, “Ya Allah, cukupkan (perlindungan) bagi kami dari kejahatannya dengan apa sahaja cara yang Kamu kehendaki.” Kemudian, kaki kuda Surâqa terus terjerlus ke dalam tanah hingga ke paras perut kuda itu. Surâqa melompat turun, lalu berkata, “Wahai Muhammad, saya pasti ini perbuatanmu, jadi mintalah agar Allah menyelamatkanku. Demi Allah, saya akan sembunyikan dari pengetahuan orang lain yang mencari kamu berdua. Ini dia bekas anak panah saya, ambillah darinya satu anak panah, kerana kamu akan melalui tempat unta dan kambing saya di tempat sekian sekian, ambillah apa-apa yang kamu perlu daripadanya. Lalu Rasulullah ﷺ menjawab: “Kami tidak memerlukannya,” dan berdoa hingga Surâqa bebas dan kembali ke pangkuan kaumnya.
Amalan Mulia Diteruskan di Madinah
Nabi Muhammad ﷺ giat berusaha agar pengikut daripada lain-lain kabilah melindunginya dan para Sahabatnya daripada kekejaman. Penduduk Yathrib (Madinah) bersetuju, dan mereka berjumpa baginda secara rahsia semasa musim haji. Semasa perjumpaan itulah mereka berbaiah pada baginda dan malahan mencadangkan agar mereka menyerang penduduk Mekah pada waktu malam. Nabi Muhammad ﷺ menolak dan mengatakan tindakan itu tidak selaras dengan mesej yang disampaikannya. Keengganan baginda mengangkat senjata melawan pemerintah Mekah mengecewakan mereka, termasuklah pengikut baginda yang paling setia. Khabbâb b. al-Aratt, iaitu salah seorang Sahabat yang paling teruk diseksa berkata,
“Kami mengadu pada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda sedang berbantalkan kain selimut baginda di bawah naungan Kaabah: “Tidakkah tuan memohon pertolongan buat kami? Tidakkah tuan berdoa memohon kepada Allah untuk kami?” Baginda bersabda: “Ada seorang laki-laki dari ummat sebelum kalian (ditangkap), maka digalikan lubang untuknya dan dia diletakkan di dalamnya, lalu diambil gergaji, kemudian diletakkan gergaji itu di kepalanya lalu dia dibelah menjadi dua bahagian namun hal itu tidak menghalanginya dari agamanya. Dan ada yang disisir kulitnya dengan besi hingga tinggal tulangnya, namun hal itu tidak menghalanginya dari agamanya. Demi Allah, sungguh urusan (Islam) ini akan sempurna hingga ada seorang yang mengenderai kuda berjalan dari Sana’a menuju Hadramaut dan tidak ada yang ditakutinya melainkan Allah atau (tidak ada) kekhuatiran kepada serigala atas kambingnya. Akan tetapi kalian sangat tergesa-gesa.”
Perhatikan bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah menjanjikan sebarang habuan kebendaan kepada mereka yang menyokongnya. Baginda hanya menjanjikan ganjaran pada hari akhirat kelak. Kesetiaan yang diperolehinya daripada beberapa orang pengikut yang tidak menikmati sebarang manfaat duniawi ekoran mengikutinya cukuplah kuat, hinggakan mereka dikenali sebagai sosok yang takkan pernah meninggalkan medan perang. Nabi Muhammad ﷺ meninggalkan kezaliman di Mekah dan dijemput memimpin kota Madinah. Dalam sekelip mata, status baginda diangkat daripada pelarian menjadi gabenor. Seterusnya, baginda merangka strategi yang bersesuaian dengan keadaan baru itu.
Peristiwa Hijrah merupakan titik penting yang merobah hidup Nabi Muhammad ﷺ dan ia juga menyediakan landasan baru buat gerakan Islam. Islam kini termanifestasi juga dalam bentuk politik, yakni dengan penubuhan negara Islam di Madinah. Kepentingan peristiwa Hijrah tergambar dengan pengwujudan kalendar Islam. Sebagai nabi dan ketua negara di Madinah, Nabi Muhammad ﷺ berpeluang melaksanakan mesej dan tadbir urus Ilahi. Baginda mencapai matlamat ini dengan mengasaskan kepimpinannya di Madinah, menawan Mekah dan mengukuhkan pemerintahan Islam di seluruh Tanah Arab, iaitu melalui wadah diplomatik dan ketenteraan. Nabi Muhammad ﷺ datang ke Madinah sebagai penimbangtara dan hakim bagi seluruh komuniti yang merangkumi Islam dan bukan Islam.
Sungguhpun ketika dia Mekah, Nabi Muhammad ﷺ dan Sahabatnya dizalimi, namun baginda langsung tidak pernah menjalankan dasar berteraskan dendam dan penolakan tolak-ansur. Sebaliknya, baginda melaksanakan sistem yang bertunjangkan belas kasihan.
Enggan Mengejek-ejek
Abdullâh b. Ubayy (juga dikenali sebagai Ibnu Salool) adalah ketua golongan munafik di Madinah. Dia tanpa henti berkomplot bagi memperkecilkan kuasa dan pengaruh Nabi Muhammad ﷺ. Tidak lama selepas Nabi Muhammad ﷺ tiba di Madinah, baginda mengendarai keldainya melewati sekumpulan orang, yang mana Ibnu Salool adalah salah seorang daripadanya. Baginda mengajak mereka memeluk Islam. Ibnu Salool menjawab dengan biadab, “Tinggallah di rumah kamu. Jika seseorang ingin mendengar mesej kamu, mereka akan datang kepadamu.” Dalam riwayat lain, Ibnu Salool berkata, “Pergilah, bau keldaimu mengganggu kami.” Orang Islam naik angin mendengar penghinaan ini, tetapi baginda melarang mereka membalas. Kemudian, baginda bersabda pada Sa‘d ibn ‘Ubâda (ra), “Kamu dengar apa yang Abu Hubâb kata?” – Abu Hubâb adalah nama julukan Ibnu Salool. Sa‘d (ra) meminta Rasulullah ﷺ memaafkannya dan menjelaskan, “Tuhan menghantar tuan tatkala mereka sedang mempersiapkan mahkota dengan permata baginya menjadi raja Madinah, tetapi Allah mentakdirkan sebaliknya, dan dengan demikian, dia meluap dengan iri hati.” Baginda kemudiannya memaafkannya dan terus memaafkannya atas banyak lagi kejadian lain yang berlaku selepas itu.
Allah SWT Sukakan Kelembutan
Di Madinah, sekumpulan Yahudi mendatangi Nabi Muhammad ﷺ dan berkata, “As-Sâmu ‘alayk (kematian ke atas kamu).” Baginda menjawab, “Dan ke atas kamu,” tetapi ‘Â’isha (ra) berasa perlu menambah, “Kematian ke atas kamu, berserta sumpahan Allah dan kemarahanNya!” Rasulullah ﷺ berkata, “Wahai ‘Â’isha, bersikap lembutlah! Sesungguhnya Allah Maha Lembut dan sukakan kelembutan dalam setiap perkara. Hati-hati agar tidak kasar dan bercakap kasar.” ‘Â’isha berkata, “Tidakkah tuan dengar apa yang mereka kata?” Baginda menjawab, “Tidakkah kamu mendengar jawapan saya (pada mereka)? Saya sudah memulangkan kata-kata mereka kepada mereka, namun doa saya pada mereka akan dikabulkan, manakala doa mereka pada saya takkan dikabulkan.” Mengagumkan! Waktu itu, baginda sudah pun mempunyai kuasa sebagai ketua negara. Tetapi baginda tetap tidak bertindak balas atau mengulangi kembali perkataan-perkataan yang sama. Bahkan, baginda tidak membenarkan isterinya membalas kasar pada mereka yang menghinanya.
Kekasaran hanya Menambahkan Lagi Kesantunannya
Zayd b. Su‘na (ra) pernah menjadi paderi besar Yahudi di Madinah. Ketika Allah SWT ingin memberi hidayah kepadanya, Zayd terfikir bagi menguji Nabi Muhammad ﷺ dengan meminjamkan lapan puluh mithqâl (350 gram) emas bagi suatu tempoh yang ditetapkan. Beberapa hari sebelum pinjaman itu sepatutnya dibayar, Zayd menarik jubah Nabi Muhammad ﷺ dengan penuh ammarah di hadapan para Sahabat yang paling kanan, lalu berkata, “Wahai Muhammad, kenapa kamu tidak membayar hutangmu? Demi Allah, saya kenal benar keluargamu! Kamu semua memang dikenali sebagai orang yang suka menangguhkan pembayaran hutang! Nabi Muhammad ﷺ bersabda pada ‘Umar yang mengancam membunuh Zayd atas kebiabapannya “Wahai ‘Umar, kita tidak memerlukan ini... pergi bersamanya, lunaskan hutangnya, dan berikan kepadanya tambahan dua puluh sâ‘ (32 kg) kurma kerana kamu menakut-nakutkannya.” Disebabkan reaksi baginda itulah maka Zayd b. Su‘na memeluk Islam. Zayd menjelaskan pada ‘Umar, “Apabila saya melihat wajah Muhammad, saya dapat mengenal pasti semua tanda kenabian – kecuali dua yang belum saya lihat: tolak-ansurnya bagi menangani kemarahan, dan bahawa kekerasan yang makin teruk hanya menambahkan kesabarannya. Saya sudah menguji semua ini, jadi ketahuilah, wahai ‘Umar, saya menerima Allah sebagai Tuhan [saya], Islam sebagai agama [saya], Muhammad sebagai nabi [saya], dan separuh kekayaan saya – saya memiliki kekayaan besar – adalah untuk ummah Muhammad ﷺ.”
Peninjau Kafir Quraysh
Dalam perjalanan ke Badar, orang Islam berjaya menangkap seorang peninjau perang kafir Quraysh dan membawanya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Beberapa orang Sahabat mulai mengasari peninjau itu semasa mereka menyoal-siasatnya bagi mendapatkan maklumat penting. Apabila baginda menyedarinya, baginda cepat-cepat menyudahi solatnya dan berkata, “Kamu memukulnya apabila dia jujur denganmu, dan kamu membiarkannya apabila dia menipu padamu?” Walaupun peninjau itu adalah dari angkatan musuh dan seksaan mungkin dapat memaksanya mendedahkan maklumat mengenai kelemahan musuh, baginda tetap menegahnya. Jadi, apabila Imâm Mâlik (moga Allah SWT mengasihaniya) ditanya, “Bolehkah tahanan diseksa sekiranya tindakan itu membolehkan kita mendapatkan maklumat mengenai kelemahan musuh?”, beliau menjawab, “Kita tidak pernah mendengar tentang ini [dalam tradisi kita].”
Tepati Janji
Sebelum Perang Badar, Hudhayfa b. al-Yamân (ra) mendatangi Nabi Muhammad ﷺ dengan suatu dilema. Sebelumnya, kafir Quraysh membebaskannya dan ayahnya dengan syarat beliau tidak menentang kafir Quraysh di samping Nabi Muhammad ﷺ. Biarpun tentera Islam bakal berhadapan musuh yang tiga kali ganda lebih ramai, baginda berkata, “Maka pergilah [ke Madinah]. Kami akan menepati janji kami pada mereka, dan kami akan memohon bantuan daripada Allah bagi berdepan mereka.” Ya, walau dalam keadaan amat terdesak sekalipun, akhlak kenabiannya tidak mengizinkan baginda mengorbankan prinsipnya.
Saya Takkan Mencacatinya, Takut-takut Nanti Allah Mencacati Saya
Sesudah Perang Badar, orang Islam mendapati salah seorang yang berjaya ditangkap adalah Suhayl b. Amr – pemimpin kafir Quraysh yang juga penentang kuat Islam. ‘Umar (ra) sudah pun siap-siaga membalas dendam. Beliau memohon izin mematahkan gigi depan Suhayl “agar dia tak lagi mampu berhujah menentang Rasulullah ﷺ.” Bagaimanapun, Nabi Muhammad ﷺ berkata, “Saya takkan Mmencacatinya, takut-takut nanti Allah mencacati saya – sekalipun saya seorang Nabi.” Di sini sekali lagi terpamer keindahan Islam. Lebih seribu tahun sebelum kewujudan mana-mana konvensyen atau piagam antarabangsa, Nabi Muhammad ﷺ yang penuh belas kasihan menetapkan yang tahanan perang perlu dilayan secara berperikemanusiaan. Ini berlaku 1,300 tahun sebelum Konvensyen Geneva mentakrifkan layanan berperikemanusiaan pada tahanan perang. Cuba bandingkan tradisi ini dengan pelbagai seksaan fizikal dan psikologi yang dilakukan di penjara pada hari ini. Tambahan lagi, Nabi Muhammad ﷺ juga mengetengahkan satu perkara penting, iaitu tiada siapa pun – termasuklah seorang nabi – yang terlepas akan pertanggungjawaban sekiranya beliau menyeksa mereka yang berada di bawah jagaannya.
Naluri Belas Kasihan
Sungguhpun ‘Umar (ra) mendesak baginda agar menghukum bunuh tahanan perang Badar, dan sebelum wahyu membetulkan keputusan baginda bagi melepaskan para penjenayah perang itu turun, baginda sebenarnya cenderung bagi melepaskan mereka – dengan keyakinan inilah keputusan demi kebaikan semua. Bahkan, sesudah Perang Badar, baginda mengingatkan para Sahabatnya, “Layani tahanan dengan baik.” Inilah pendirian baginda, biarpun sebenarnya tahanan-tahanan perang itu memang berniat membunuhnya dan malahan mahu meraikan kematian baginda dengan arak di samping mayat baginda.
Memberi Makan kepada Tahanan
Allah SWT berkata, “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.” [al-Insân (76): 8]. Di sini, Allah SWT memberitahu orang Islam bahawa memberi makan tahanan adalah cara mendekatkan diri kepadaNya, dan makanan yang diberikan mestilah makanan yang disukai – bukannya makanan yang rendah mutunya atau makanan yang diberikan sesudah diri sendiri kekenyangan. Kita diberitahu Nabi Muhammad ﷺ bahawa seorang wanita yang mengurung seekor kucing tanpa memberinya makan akan dimasukkan ke dalam neraka. Ibn ‘Abbâs (ra) berkata, “Pada Hari Badar, Rasulullah ﷺ mengarahkan kami memuliakan tahanan, jadi kami mendahulukan mereka pada waktu makan.”. Zurâra b. ‘Umar (juga dikenali sebagai Abu ‘Azeez) adalah saudara lelaki Mus‘ab b. ‘Umayr yang ditangkap semasa Perang Badar. Katanya, “Mereka selalu memberikan roti kepada saya, sedangkan mereka hanya makan kurma, disebabkan amanah yang diberikan Rasulullah ﷺ.” Tidak hairanlah apabila Abu ‘Azeez sentiasa ingat pada layanan baik ini, dan ia pastinya mempengaruhi keputusannya bagi memeluk Islam di kemudian hari.
Memberi Pakaian kepada Tahanan
Dalam bab bertajuk “Memberi Pakaian kepada Tahanan”, Imam al-Bukhâri meriwayatkan dalam Sahih-nya daripada Jâbir b. ‘Abdillâh (ra) berkata, “Pada Hari Badar, tahanan-tahanan dibawa, dan antara tahanan yang dibawa adalah al-‘Abbâs (ra) yang tidak berpakaian. Nabi Muhammad ﷺ menyuruh agar dicarikan baju untuknya, dan mereka menjumpai baju milik ‘Abdullâh b. Ubayy (yang juga tinggi) yang padan dengannya, jadi Nabi Muhammad ﷺ memakaikan baju itu padanya.” Bahkan, Nabi Muhammad ﷺ pernah menghantar seseorang ke Mekah bagi membeli sejenis jubah khusus bagi tahanan dari Hawâzin.
Kelonggaran dari Segi Wang Tebusan
Bahkan dari segi wang tebusan, Nabi Muhammad ﷺ mengambil kira kedudukan ekonomi tahanan. Bagi tahanan kaya seperti Abu Wadâ‘a dan Zurâra b. ‘Umar, baginda menetapkan mereka membayar keseluruhan 4,000 dirham. Tetapi bagi tahanan yang tidak berkemampuan pula, mereka hanya perlu membayar 40 uqiyya (1,600 dirham). Bahkan, ada yang dibebaskan tanpa perlu membayar sedirham pun – seperti al-Muttalib b. Hantab, Abu ‘Izza (penyajak), Abu al-‘Âs b. ar-Rabee‘ dan Sayfi b. Abi Rifâ‘a.
Menambahkan Peluang bagi Dibebaskan
‘Ibn ‘Abbâs (ra) berkata, “Ada antara tahanan perang Badar yang tiada [wang] bagi menebus diri mereka, jadi Rasulullah ﷺ mengumumkan yang tebusan mereka akan mengajar [cara membaca] kanak-kanak [golongan] Ansâr.” Kalaulah baginda berdendam mahupun inginkan harta, sudah tentu baginda takkan menawarkan begitu banyak peluang bagi para penjenayah perang itu pulang ke pangkuan keluarga dan membetulkan pegangan mereka. Tambahan pula, amalan membebaskan tahanan yang bersetuju mengajar orang lain membaca adalah amalan yang julung kali diterapkan pada tahanan perang. Luar biasa! Ini menonjolkan penekanan baginda dan dakwahnya pada pendidikan sebagai cahaya dan wadah kemajuan.
Memperkenalkan Pertukaran Tahanan
Atas beberapa sebab, orang Arab jarang-jarang bertukar tahanan. Tetapi Nabi Muhammad ﷺ menjadikan amalan ini sebagai norma. Contohnya, pihak Muslim menukarkan ‘Amr b. Abi Sufyân dengan Sa‘d b. an-Nu‘mân b. Akâl walaupun Sa’d bukanlah tahanan perang, malah sebenarnya insan tidak bersalah yang tidak semena-mena diculik al-‘Abbâs ketika mengerjakan umrah di Mekah. Bahkan, Nabi Muhammad ﷺ menggantikan amalan mencacatkan tahanan (bagi menghalang pergolakan yang berterusan) dengan amalan pertukaran tahanan yang semestinya jauh lebih berperikemanusiaan.
Pastikan Keluarga yang Ditahan Masih dapat Bersama
Bahkan, Nabi Muhammad ﷺ begitu menitikberatkan ketenteraman jiwa para tahanan. Jadi, baginda memang biasa memberikan arahan terperinci mengenai cara melayan ibu bapa dan anak-anak yang ditahan secara berperikemanusiaan, antaranya dengan menahan mereka secara bersama. Abu Ayoob (ra) meriwayatkan yang dia mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesiapa yang memisahkan antara ibu dan anaknya, Allah akan memisahkannya dengan orang yang disayanginya pada Hari Kiamat.” Abu Usayd (‘Abdullâh b. Thâbit) al-Ansâri (ra) pernah membawa tawanan dari Bahrain dan membariskan mereka. Rasulullah ﷺ berdiri bagi melihat mereka, dan baginda ketemu seorang wanita yang menangis. Baginda bertanya, “Apa yang membuatkanmu menangis?” Jawab wanita itu, “Anak saya dijual di Bani ‘Abs.” Rasulullah ﷺ bersabda pada Abu Usayd, “Kamu mesti berangkat dan bawa anak itu [ke sini]” Abu Usayd bergegas, lalu mendapatkan kembali anak perempuan itu bagi disatukan kembali dengan ibunya.
Pertolongan Tidak Pernah Dilupakan
Sesudah Perang Badar, Nabi Muhammad ﷺ bersabda, “Kalau al-Mut’am b. ‘Adi masih hidup, dan bercakap pada saya berkenaan lelaki-lelaki jahat ini, saya akan membebaskan mereka [semua] deminya!” Sebenarnya, Ibnu ‘Adi bukanlah seorang Muslim. Namun, dia bukan sahaja membantu memusnahkan komplot kafir Quraysh bagi memulaukan Bani Hâshim, malah melindungi Nabi Muhammad ﷺ sekembalinya baginda dari Tâ’if. Nabi Muhammad ﷺ mempamerkan kesetiaan dan rasa terima kasih pada sesiapa pun yang pernah menolongnya ketika baginda memerlukan, tidak kiralah sama ada mereka menerima dakwahnya ataupun tidak.
Mengelak Peperangan dengan Bani Qaynuqâ‘
Sekembalinya baginda ke Madinah sesudah Perang Badar, Bani Qaynuqâ‘ mengancam baginda dan para Sahabatnya dengan berkata, “Jangan terpedaya dengan kemenanganmu ke atas golongan amatur yang tidak mempunyai pengalaman perang. Kalau kamu berperang dengan kami, kamu akan tahu kamilah pahlawan hebat, dan kamu tidak pernah berdepan orang seperti kami.” Inilah antara tindakan melampau terakhir selepas dua tahun lamanya mereka mencemuh Allah SWT dan RasulNya, dan mengapi-apikan permusuhan dengan orang Islam. Bahkan, ada riwayat mengatakan seorang tukang daripada Banu Qaynuqâ’ menanggalkan pakaian seorang wanita Islam di pasar dan dia dibunuh seorang Muslim yang terdengar jeritan wanita itu. Banu Qaynuqâ’ kemudiannya berkumpul dan membunuh lelaki itu bagi membalas dendam. Apabila Nabi Muhammad ﷺ akhirnya memutuskan bagi memerangi mereka, ‘Abdullâh b. Ubayy menahan baginda dengan memegang baju besi baginda. Dia mendesak baginda membatalkan rancangannya itu. Nabi Muhammad ﷺ begitu marah dan menyuruh Ibnu Ubayy melepaskannya, tetapi Ibnu Ubayy enggan. Dia terus merayu dengan mengatakan Bani Qaynuqâ’ adalah sekutunya, dan dia risaukan keselamatannya tanpa Bani Qaynuqâ’. Akhir sekali, Nabi Muhammad ﷺ bersabda, “Saya sudah melepaskan mereka untukmu,” dan membenarkan keseluruhan Bani Qaynuqâ’ meninggalkan Madinah tanpa diapa-apakan. Mereka juga dibenarkan membawa bersama segala harta mereka, kecuali senjata.
Mereka Tidak Tahu
Dalam Perang Uhud, askar kafir Quraysh – 3,000 orang berbanding hanya 700 tentera Islam – berjaya menyerang hendap Nabi Muhammad ﷺ. Gigi depan baginda patah, badannya cedera dan darah mengalir dari bahagian yang mana topi besinya menembusi wajahnya. Bagaimanapun, walaupun sekali lagi cedera akibat perbuatan jahat kafir Quraysh, baginda masih bertabah dan menuturkan kata-kata berikut seraya menyeka darah di wajahnya, “Ya Allah, ampunkan kaumku, kerana mereka tidak tahu.” Dalam riwayat lain, baginda bersabda, “Bagaimana sesuatu kaum akan berjaya selepas mereka mencederakan Nabi mereka dan membasahinya dengan darah apabila dia mengajak mereka kepada Allah?” Namun, baginda kemudiannya mendiamkan diri buat seketika sebelum merayu pada Allah SWT dengan doa keampunan. Sungguhpun mengalami mudarat demi mudarat semasa Perang Uhud, selain mengalami dan menyaksikan seksaan sadis oleh kafir Quraysh selama bertahun lamanya, Nabi Muhammad ﷺ mengekalkan budi baiknya. Para Sahabatnya mendatanginya dan berkata, “Laknat ke atas kaum kuffar.” Baginda menjawab, “Saya tidak dihantar sebagai seorang yang melaknat. Sebaliknya, saya dihantar sebagai rahmat.” Ya, memang benar Quran menyebut yang orang Yahudi yang jahat ditempelak para nabi mereka dan malahan Nabi Muhammad ﷺ menempelak sesetengah tindakan dan pada mulanya memohon agar Allah SWT melaknat para penzalim, namun lazimnya, baginda memohon keampunan bagi mereka yang menganiayainya dan para pengikutnya.
Mengampunkan Pengkhianatan
Sekembalinya mereka dari Uhud, ramai Sahabat – yang emosi mereka sedang membahang ekoran bencana yang baru menimpa mereka – mahu agar ‘Abdullâh b. Ubayy b. Salool dihukum bunuh. Mana tidaknya, dia meninggalkan medan perang sejurus sebelum peperangan bermula, lantas membawa bersamanya sepertiga tentera Islam sambil berkata, “Dia mematuhi mereka [yang ingin berarak keluar] dan tidak endah padaku [yang mahu bertempur di dalam Madinah]. Mengapa kita perlu mati?” Nabi Muhammad ﷺ tidak menghukum bunuh Ibnu Salool atas pengkhianatannya – kerana dibimbangi akan tersebar khabar angin bahawa baginda membunuh pengikutnya sendiri, dan dengan harapan agar ada antara golongan munafik yang bertaubat.
Allah SWT Memaklumkannya Mengenai Cubaan Membunuhnya
Suatu malam ketika dia duduk di Kaabah dengan Safwân b. Umayya, ‘Umayr bergundah-gulana tentang mereka yang terbunuh mahupun ditangkap tentera Islam di Badar. ‘Umayr bersumpah bahawa kalau bukan disebabkan hutang menimbun dan tanggungan yang ramai, dia pastinya sudah pergi ke Madinah bagi membunuh Nabi Muhammad ﷺ. Susulan kata-katanya itu, Safwân b. Umayya berikrar membayar kesemua hutangnya dan menjaga keluarganya. Maka, selepas mengasah dan menyaluti pedangnya dengan racun, ‘Umayr pun bertolak ke Madinah. ‘Umar (ra) dan para Sahabat memang meragui nawaitunya. Tetapi Nabi Muhammad ﷺ mengarahkan agar ‘Umayr dibenarkan masuk. Apabila dia mendakwa dia kononnya ingin mendapatkan kembali saudaranya yang ditahan pihak Islam, Nabi Muhammad ﷺ menyuruhnya bercakap benar dan mengatakan yang pedang yang dibawa ‘Umayr menunjukkan dia mempunyai niat lain. ‘Umayr tetap berdalih, lalu baginda memberitahunya segala butir perbualan rahsianya dengan Safwân. Baginda kemudiannya memberitahunya yang Allah SWT akan menghalangnya daripada membunuh baginda. ‘Umayr kemudiannya bersaksi bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah pesuruh Allah SWT. Ini kerana dia tahu tidak mungkin ada orang lain yang memberitahu baginda tentang perbualan itu, kecuali Allah SWT.
Memaafkan Tukang Sihir
Labeed b. al-A‘sam adalah khadam Nabi Muhammad ﷺ. Dia dibayar anggota kabilahnya bagi menyihir Nabi Muhammad ﷺ. Selama enam bulan lamanya Nabi Muhammad ﷺ berasa lemah dan mindanya longlai akibat sihir tersebut (tetapi sihir itu hanya mengganggu urusan dunianya dan bukan ibadahnya). Sejurus selepas diketahui yang dalangnya adalah Labeed b. al- A‘sam, keizinan dipohon daripada Nabi Muhammad ﷺ bagi menghukum bunuh Labeed b. al- A‘sam. Tetapi baginda menjawab, “Tidak. Bagi saya, Allah sudah menyembuhkan saya. Dan saya tidak mahu mengenakan kejahatan seperti ini ke atas orang lain.”
Wanita yang Dirahmati
Sesudah Perang Bani al-Mustaliq, Juwayria b. al-Hârith (ra), iaitu anak perempuan ketua Bani al-Mustaliq dibeli dan dibebaskan daripada Thâbit b. Qays (ra) oleh Nabi Muhammad ﷺ. Baginda kemudiannya mengahwininya dan hasilnya, orang Islam membebaskan seratus orang anggota Bani al-Mustaliq – kesemuanya kemudiannya memeluk Islam. Para Sahabat berkata, “Mereka [kini] adalah ipar Rasulullah ﷺ!” Jelaslah yang baginda tahu yang tindakannya mengahwini wanita bangsawan ini akan mendorong para Sahabatnya bagi membebaskan lain-lain anggota Bani al-Mustaliq, dan malahan Juwayria (ra) juga menyedari hakikat ini. Disebabkan itulah ‘Â’isha (ra) sering memujinya dan berkata, “Saya tidak tahu mana-mana wanita lain yang membawa rahmat lebih besar kepada kaumnya melainkan beliau (Juwayria).”
Percubaan Merampas Kuasa
Semasa Perang Bani al-Mustaliq, ‘Abdullâh b. Ubayy berikrar, “Kalau kita pulang ke Madinah, yang terpuji dalam kalangan kita [merujuk pada dirinya] akan menghalau yang terkeji [merujuk pada Nabi Muhammad ﷺ]” [al-Munâfiqoon (63): 8] Perkara ini sampai ke telinga Nabi Muhammad ﷺ dan ‘Umar (ra) berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, izinkan saya memenggal leher munafik ini.” Baginda bersabda, “Biarkan dia; orang tidak harus berkata Muhammad membunuh sahabatnya sendiri.” Sebenarnya, anak ‘Abdullâh b. Ubayy sendiri mengetahui tentang penghinaan bapanya, lalu berkata pada Nabi Muhammad ﷺ, “Saya dengar tuan ingin membunuh ayah saya atas apa yang tuan ketahui tentang dia [menghina Nabi Muhammad ﷺ]. Jika tuan ingin meneruskannya, maka arahkan saya dan saya akan membawa kepalanya kepada tuan (kerana saya mungkin takkan sanggup melihat pembunuh ayah saya).” Nabi Muhammad ﷺ bersabda, “Sebaliknya, mari kita berlembut dengannya, dan bersahabat dengan baik dengannya selagi mana dia bersama kita.”
“Biar Mereka Menyejukkan Diri”
Banu Quraydha memungkiri janji pakatannya dengan Nabi Muhammad ﷺ dengan berkonspirasi membawa masuk kafir Quraysh dan Ghatafân bagi menghapuskan umat Islam. Sesudah sebulan lamanya pihak musuh mengepung Madinah – yang mana orang Islam terperangkap dan kebuluran di dalam kubu parit mereka, Allah SWT mentakdirkan para pengkomplot mulai mencurigai satu sama lain dan semangat mereka bagi meneruskan kepungan juga luntur. Sungguhpun komuniti yang baru dibinanya hampir-hampir musnah, Nabi Muhammad ﷺ tidak membalas pengkhianatan ini dengan penuh dendam. Sesudah tentera Islam sampai di tempat tinggal Bani Quraydha’s, baginda bukan sahaja membenarkan kabilah pengkhianat itu memilih sekutu mereka (Sa‘d b. Mu‘âdh) bagi menentukan nasib mereka, malah baginda berkata pada para Sahabatnya tatkala melihat tahanan daripada Bani Quraydha menunggu di tengah panas, “Jangan bebankan lagi atas mereka [selain] kepanasan matahari dan juga kepanasan baju besi mereka. Berikan mereka tempat berteduh dan minuman, agar mereka dapat menyejukkan diri.”
Jangan Mempedulikan Cercaan Mereka
Allah SWT mahu menamatkan amalan mengambil anak angkat dan kemudiannya mem-bin-kan nama anak itu dengan nama si ayah angkat. Bagaimanapun, amalan ini begitu sebati dalam budaya Arab, hinggakan hanya orang seperti Nabi Muhammad ﷺ yang mampu mencabarnya. Ini kerana baginda maksum. Atas sebab inilah Allah SWT memerintahkan agar Nabi Muhammad ﷺ memanggil anak angkatnya sebagai Zayd b. Hâritha dan bukannya Zayd b. Muhammad. Namun, bagi mengukuhkan ketetapan bahawa susur galur keturunan anak angkat perlu dikekalkan, Allah SWT kemudiannya memerintahkan baginda mengahwini isteri Zayd sesudah Zayd menceraikannya. Malangnya, puak munafik memperalatkan peristiwa ini bagi menuduh Nabi Muhammad ﷺ sebagai tidak berakhlak dan sanggup mengahwini menantu sendiri, dan menuduh baginda seorang hipokrit yang melarang orang lain mengahwini isteri anak sendiri, namun dia sendiri melakukannya. Ini bukanlah penghinaan yang boleh dipandang ringan, tetapi merupakan satu lagi percubaan bagi menghasut penduduk Madinah bagi menggulingkan Nabi Muhammad ﷺ sebagai ketua negara. Bagaimanapun, Nabi Muhammad ﷺ tidak menghukum mereka. Sebaliknya, baginda tidak ambil pusing dan menyerahkannya kepada Allah SWT, sebagaimana perintah Allah SWT, “Dan janganlah engkau menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan janganlah engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara keadaanmu) dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).” [al-Ahzâb (33): 48] Kita perlu sedar yang ketika itu, kedudukan Nabi Muhammad ﷺ sudah pun kukuh kerana peristiwa ini berlaku empat hingga lima tahun selepas Hijrah. Jadi, kalaulah baginda ingin menghukum para pemfitnah itu, memang cukup mudah baginya berbuat demikian. Tetapi sebagaimana yang dilakukan baginda di Mekah, Allah SWT mengarahkan baginda agar tidak mempedulikan mereka.
“Tidakkah kamu suka kalau Allah mengampunkan kamu?”
Mistah adalah antara orang yang secara tidak sedar memfitnah ‘Â’isha (ra). Sesudah Perang Bani al-Mustaliq, ‘Abdullâh b. Ubayy mula menyebarkan fitnah bahawa isteri baginda itu berzina. Sesudah sebulan lamanya komuniti Muslim dicemari syak wasangka dan rasa tidak senang, Allah SWT akhirnya mewahyukan Surah an-Noor bagi mendedahkan dalang di sebalik fitnah itu. Tetapi pada masa itu, sesetengah orang Islam telah pun mempercayai dan menyebarkan berita itu. Salah seorang daripadanya adalah Mistah (ra). Akhir sekali, Nabi Muhammad ﷺ bukan sahaja memaafkan lelaki yang memfitnah isterinya, tetapi baginda juga menegur Abu Bakar (ra) – ayah ‘Â’isha (ra) – kerana memulaukan Mistah (ra), terutamanya kerana Mistah (ra) mempunyai hubungan persaudaraan dengan Abu Bakar (ra) dan sering menerima bantuan daripadanya. ‘Â’isha (ra) berkata, “Abu Bakar berikrar bahawa dia takkan lagi memberi wang kepada Mistah, tetapi Allah SWT kemudiannya mewahyukan, “Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dalam kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” [an-Noor (24): 22] Sehabis mendengar ayat itu, Abu Bakar (ra) berkata, “Ya, demi Allah, ya Tuhan kami! Kami mengharapkan keampunanMu.’ Kemudian, Abu Bakar meneruskan amalannya memberikan gaji kepada Mistah.”
Diserbu di Lembah Hudaybiya
Apabila Nabi Muhammad ﷺ dan 1,400 Sahabatnya tiba dengan memakai ihram di pinggir Mekah bagi mengerjakan umrah, tersebar pula berita di Mekah kononnya orang Islam datang bagi menghapuskan kafir Quraysh. Anas b. Mâlik (ra) berkata,
“Lapan puluh orang menyerbu rombongan Nabi Muhammad ﷺ dari pergunungan Tan‘eem. Mereka bersenjata dan sememangnya ingin menyerang hendap Nabi Muhammad ﷺ dan para Sahabatnya. Bagaimanapun, Nabi Muhammad ﷺ berjaya menangkap mereka, lalu membebaskan mereka [mereka dilepaskan tanpa perlu membayar wang tebusan], dan berikutan peristiwa ini, Allah SWT mewahyukan, “Dan Dialah yang telah menahan tangan mereka (yang musyrik) daripada melakukan perkara yang buruk terhadap kamu dan tangan kamu daripada berbuat demikian kepada mereka di kawasan Mekah, sesudah Dia menjadikan kamu dapat menewaskan mereka.”[al-Fath (48): 24].
Dalam ayat ini, Allah SWT mengurniakan dua perkara kepada umat Islam berkaitan kejadian itu. Pertama, mereka menyedari mereka akan diserang dan kedua, Allah SWT mengilhamkan Nabi Muhammad ﷺ bagi memaafkan dan membebaskan para penyerang itu.
Melayani Duta Biadab dengan Baik
Semasa beliau belum memeluk Islam, ‘Urwa b. Mas‘ud (ra), mewakili pihak kafir Quraysh dalam Perjanjian Hudaybiya. Ketika rundingan berlaku, dia berlaku biadab pada Nabi Muhammad ﷺ dengan cuba menarik janggut baginda, biarpun ketika itu para Sahabat mengancamnya dengan senjata mereka. Dia juga menghina baginda dengan mengatakan baginda bukan tandingan pihak Quraysh, “Dan aku tak fikir kau mampu [mengalahkan mereka]. Dan jika perang meletus, demi Allah, kau tiada sesiapa melainkan mereka yang tidak bermaruah yang tentunya akan lari meninggalkan kau.” Namun, sungguhpun berdepan kelancangan seperti itu, selain hakikat bahawa ‘Urwa b. Mas‘ud adalah salah seorang pemimpin Bani Thaqeef – yang menyerang baginda di Tâ’if – Nabi Muhammad ﷺ tetap melayaninya sebagai tetamu selama dia berada di situ.
Mendambakan Keamanan
Orang seterusnya yang dihantar kafir Quraysh bagi memuktamadkan Perjanjian Hudaybiya adalah Suhayl b. ‘Amr. Sebelum pun dia tampil dengan pelbagai tuntutan berat sebelah, Suhayl b. ‘Amr dengan biadab membantah perjanjian itu dimuktamadkan sebagai perjanjian antara kafir Quraysh dan “Pesuruh Allah”. Katanya, “Jika kami percaya kamu Pesuruh Allah, dah tentu kami takkan menentang kamu,” dan berkeras agar gelaran Nabi Muhammad ﷺ sebagai “Pesuruh Allah” dipadamkan. Ali b. Abi Tâlib (ra) enggan memadamnya, namun Nabi Muhammad ﷺ menuruti kehendak kebudak-budakan Suhayl b. ‘Amr. Baginda tidak mahu sifat tinggi diri menghalangnya daripada berdamai dengan kafir Quraysh, lebih-lebih lagi apabila baginda mahu mengelakkan pertumpahan darah di bumi suci Mekah. Atas sebab itu jugalah baginda bersetuju menghantar balik Abu Jandal (ra), iaitu anak lelaki dan tahanan Suhyal b. ‘Amr ke Mekah. Ini semua dilakukan demi kebaikan semua pihak. Ini dilakukan semata-mata atas dasar belas kasihan dan ketakwaan, dan bukannya kerana gentar. Hakikatnya, sebelum itu, baginda berkata pada Budayl b. Warqâ’, iaitu duta pertama kafir Quraysh di Hudaybiya, “Kamu bukan datang bagi berperang. Kami datang bagi [mengerjakan] umrah, walaupun kami tahu Quraysh sudah pun letih berperang.” Imam az-Zuhri, salah seorang perawi hadis ini berkata, “Nabi Muhammad ﷺ melakukannya kerana baginda mengisytiharkan [sebaik sahaja tiba di al-Hudaybiya], “Mereka takkan menawarkan sebarang usul yang mengagungkan kesucian Allah, melainkan saya akan menerimanya daripada mereka.”
“Ini semua hak kamu”
Apabila Bani Thaqeef menculik dua orang Islam sejurus sebelum Perang Khaybar, Nabi Muhammad ﷺ berjaya menangkap seorang lelaki daripada Bani ‘Uqayl (sekutu Bani Thaqeef) bagi tujuan menukarkannya dengan dua orang Islam itu. Lelaki yang ditangkap itu terus-menerus berkata, “Wahai Muhammad, atas dasar apa kamu menahanku?... Wahai Muhammad, saya seorang Islam... Wahai Muhammad, saya lapar – berikan makanan, dan saya dahaga – berikan minuman.” Walaupun dia terus-menerus memanggil seorang ketua negara dengan nama pertamanya sahaja (Muhammad) dan asyik mengacau Nabi Muhammad ﷺ setiap kali baginda meninggalkannya, Nabi Muhammad ﷺ menjawab soalan-soalannya dengan penuh rendah diri, dan berkenaan permintaannya, baginda menjawab, “Ini semua hak kamu”. Begitulah luasnya belas kasihan baginda, sifat berperikemanusiaannya pada musuhnya dan betapa baginda memahami kesusahan yang dialami mereka.
Ibu Sahabat Baginda
Ibu Abu Hurayra berhijrah ke Madinah dengan Abu Hurayra tanpa terlebih dahulu memeluk Islam. Ini kerana Abu Hurayra berkata, “Semasa ibu saya masih kafir, saya sering mengajaknya memeluk Islam. Suatu hari, semasa saya mengajaknya memeluk Islam, dia mengatakan sesuatu tentang Nabi Muhammad ﷺ yang tidak sanggup saya dengari. Saya pergi kepada Nabi Muhammad ﷺ sambil menangis dan berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, saya mengajak ibu saya memeluk Islam dan dia [sentiasa] menolak. Hari ini, semasa saya berdakwah padanya, dia menuturkan kata-kata tentang tuan yang tidak sanggup saya dengari, jadi berdoalah pada Allah agar Dia memberi hidayah kepada ibu Abu Hurayra.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Ya Allah, berikanlah hidayah kepada ibu Abu Hurayra!” Saya berjalan keluar dan berasa yakin kerana doa Nabi Muhammad ﷺ. Setibanya saya di pintu rumah, saya dapati ia berkunci. Ibu saya mendengar bunyi tapak kaki saya; dia berkata, “Tunggu di situ, wahai Abu Hurayra”, dan saya dapat dengar air mengalir. Dia membersihkan dirinya, memakai baju, dan cepat-cepat memakai selubung kepalanya. Dia kemudiannya membuka pintu, dan berkata, “Wahai Abu Hurayra, aku naik saksi tiada yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku naik saksi Muhammad adalah hambaNya dan PesuruhNya.” Saya pergi kepada Rasulullah ﷺ sambil menangis gembira. Saya berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, bergembiralah! Allah sudah menjawab doa tuan dan memberi hidayah kepada ibu Abu Hurayra.’ Nabi Muhammad ﷺ memuji Allah SWT, mengagungkanNya, dan menuturkan kata-kata baik. Saya berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, doalah pada Allah agar saya dan ibu saya dicintai hamba-hambaNya yang beriman, dan agar mereka juga dicintai kamu.” Rasulullah ﷺ berdoa, “Ya Allah, jadikanlah hambaMu yang kerdil ini dan ibunya dicintai hamba-hambaMu yang beriman, dan jadikanlah hamba-hambaMu yang beriman dicintai mereka.” Semenjak itu, tiada satu pun orang beriman yang wujud yang mendengar tentang saya, dan tidak pun melihat saya, melainkan dia mencintai saya.” Kita perlu menginsafi hakikat bahawa walaupun Nabi Muhammad ﷺ tahu tentang penghinaan ibu Abu Hurayra padanya, baginda tidak mengambil sebarang tindakan padanya. Sebaliknya, baginda berdoa untuknya. Disebabkan Abu Hurayra (ra) tiba lewat ke Madinah, peristiwa ini sebenarnya berlaku dalam tiga tahun terakhir sebelum kewafatan baginda, yang mana pada masa itu, kuasa dan kedudukan baginda di Madinah memang begitu kukuh.
“Siapa yang Akan Melindungimu Daripadaku?”
Sekembalinya Nabi Muhammad ﷺ dan para Sahabatnya dari Perang Dhât ar-Riqâ‘ yang berlaku pada tahun ketujuh Hijriyyah, mereka mencari tempat berteduh di sebuah lembah. Baginda kemudiannya berkhemah di bawah sebatang pohon dan menggantung pedang baginda di situ. Seluruh angkatan tentera tidur buat beberapa lama dan kemudian, mereka terdengar baginda memanggil. Jâbir b. ‘Abdillâh (ra) berkata, “Kami pergi kepada baginda, dan duduk bersamanya adalah seorang lelaki Badwi (al-Hâkim menambah: bernama al-Ghawrath b. al-Hârith).” Rasulullah ﷺ berkata, “Orang ini menghunuskan pedangnya semasa saya sedang tidur, dan saya terjaga, lalu mendapati sebilah pedang di tangannya.” Dia berkata pada saya, ‘Adakah kau takut padaku?’ Saya membalas, ‘Tidak.’ Dia berkata, ‘Siapa yang akan melindungimu daripadaku?’ Saya menjawab, ‘Allah,’ tiga kali, dan kemudian dia menyimpan pedangnya. Sekarang dia di sini, duduk.” Jâbir (ra) menambah, “Dan Rasulullah ﷺ tidak menghukumnya.” Dalam riwayat lain, pedang itu jatuh dari tangannya, lalu Rasulullah ﷺ mengambilnya dan bertanya, “Siapa yang akan melindungimu [daripada saya]?” Dia menjawab, “Jadilah yang lebih baik [pemenang].” Sabda Nabi Muhammad ﷺ, “Adakah kamu [kini] akan bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah melainkan Allah?” Dia membalas, “Saya berjanji saya takkan menentang tuan mahupun bergabung dengan mereka yang menentang tuan.” Sesudah itu, Rasulullah ﷺ melepaskannya, dan lelaki itu kemudiannya kembali pada kaumnya dan berkata, “Saya datang kepada kamu daripada kaum yang terbaik.” Implikasi kejadian ini adalah Nabi Muhammad ﷺ memaafkannya dan melepaskannya tanpa memaksanya memeluk Islam.
Tahanan Berkuasa
Thumâma b. Uthâl (ra) adalah pemimpin Bani Haneefa yang telah membunuh beberapa orang Sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Bahkan, dia pernah merancang membunuh baginda. Sungguhpun Nabi Muhammad ﷺ membenarkan Thumâma dihukum bunuh ekoran segala jenayah pembunuhan yang sudah dilakukannya, layanan baginda pada Thumâma sebagai tahanan adalah isyarat jelas yang baginda tetap memanjatkan harapan yang Thumâma akan memeluk Islam dan diampunkan Allah SWT . Sesudah ditangkap dan diikat di salah sebatang tiang di dalam Masjid Nabawi, Thumâma dilayan dengan amat baik oleh Nabi Muhammad ﷺ – hinggakan susu daripada unta Nabi Muhammad ﷺ diberikan kepadanya. Saban hari, Nabi Muhammad ﷺ dengan sabar meminta Thumâma memeluk Islam sebelum akhirnya mengarahkan para Sahabatnya agar membebaskannya. Tetapi sesudah itu, Thumâma pergi ke taman yang dipenuhi pepohon kurma berdekatan Masjid Nabawi, mandi dan kemudiannya memasuki masjid bagi berkata, “Saya naik saksi tiada yang berhak disembah melainkan Allah, dan saya naik saksi Muhammad adalah PesuruhNya! Wahai Muhammad, saya bersumpah dengan nama Allah tiada wajah yang lebih dibenci di muka bumi ini daripada wajah tuan, tetapi kini wajah tuan yang paling saya cintai. Demi Allah, tiada agama yang lebih saya benci daripada agama tuan, tetapi kini ia agama yang paling saya cintai. Demi Allah, tiada kota yang lebih saya benci daripada kota tuan ini, tetapi kini ia kota yang paling saya cintai.”
Menyelamatkan Kafir Quraysh Sekali Lagi
Sesudah Thumâma memeluk Islam, beliau kembali kepada kaumnya, iaitu Bani al-Yamâma Tidak lama kemudian, mereka pula memeluk Islam. Sejurus selepas memeluk Islam, mereka memulaukan kafir Quraysh dan berhenti menghantar bijirin yang amat diperlukan kafir Quraysh. Sekatan seperti itu sudah tentu amat berkesan bagi melemahkan pihak kafir Quraysh secara total, namun Nabi Muhammad ﷺ masuk campur bagi pihak mereka – walaupun kafir Quraysh memang sedang berperang dengan orang Islam – kerana baginda bimbang akan nasib mereka yang tidak bersalah. Dengan demikian, Bani al-Yamâma meneruskan perdagangan dengan Mekah seperti biasa, lantas menyelamatkan masyarakat kota itu yang sebelumnya memulaukan Nabi Muhammad ﷺ selama bertahun lamanya.
“Adakah Kamu Memeriksa Hatinya?”
Semasa bulan Ramadan pada tahun ketujuh Hijriyyah, Nabi Muhammad ﷺ menghantar satu batalion tentera Islam bagi berperang dengan kaum Ghâlib. Dari Usamah bin Zaid bin Haritsah Radhiyallahu ‘anhuma beliau berkata, “Rasulullah ﷺ mengutus kami dalam sebuah pasukan perang untuk menyerang orang-orang kafir Marga Huraqah, iaitu daripada suku Juhainah. Kami menyerang mereka pada waktu pagi dan kami mengalahkan mereka. Saya dan seorang sahabat Ansar mengejar seorang anggota Bani Huraqah yang melarikan diri. Ketika kami mengepungnya, tiba-tiba dia mengucapkan ‘Laa Ilaaha Illa Allah’ (Tiada yang berhak disembah selain Allah). Sahabat Ansar itu pun menahan dirinya. Tetapi saya menusuk orang tersebut dengan tombak saya sampai saya menewaskannya.” Usamah bin Zaid melanjutkan ceritanya, “Ketika kami tiba di Madinah, berita tersebut sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maka baginda bertanya pada saya, ‘Wahai Usamah, adakah kamu tetap membunuhnya setelah dia mengucapkan Laa Ilaaha Illa Allah?’ Saya menjawab, “Wahai Rasulullah, dia mengucapkannya sekadar untuk melindungi dirinya.”
Namun beliau ﷺ tetap bertanya, “Adakah kamu tetap membunuhnya setelah dia mengucapkan Laa Ilaaha Illa Allah?”
Usamah berkata, “Baginda masih terus mengulang-ulang pertanyaan itu, sehingga saya berharap alangkah bagusnya kalau saya belum lagi memeluk Islam (penyesalan kerana membunuh orang itu).” Dalam riwayat oleh al-A‘mash, Nabi Muhammad ﷺ menegur Usamah dengan bersabda, “Adakah kamu memeriksa hatinya?” Bagi baginda, isu sama ada lelaki itu hanya memeluk Islam bagi menyelamatkan dirinya tidak relevan. Baginda juga tetap menegur tindakan itu, sekalipun tindakan membunuh orang itu dilakukan Usamah b. Zayd (ra), iaitu anak Zayd b. Hâritha (ra) yang merupakan anak angkat Nabi Muhammad ﷺ. Bagi Nabi Muhammad ﷺ, semua itu tidak penting kerana baginda adalah pesuruh Allah SWT. Baginda amat bersangka baik dari segi menilai keikhlasan orang lain.
Pedang Allah SWT
Inilah gelaran bagi Khalid b. Waleed (ra), perancang ketenteraan bijak yang mengepalai serbuan dari belakang semasa Perang Uhud, hingga akhirnya ramai tentera Islam terkorban. Tetapi sesudah empat tahun memerhatikan ketahanan tentera Islam di medan perang, belian kian yakin terdapat kuasa ghaib yang membantu umat Islam. Pada tahun ketujuh Hijriyyah, Nabi Muhammad ﷺ mengahwini Maymuna b. al-Hârith (ra) – ibu saudara Khâlid – selepas mengerjakan umrah di Mekah. Baginda kemudiannya mengutus surat kepada Khâlid bagi mengajaknya memeluk Islam. Ramai menyangka ini hanyalah perangkap bagi membunuh jeneral terhandal pihak kafir Quraysh. Tetapi Khâlid menidakkan anggapan itu kerana dia tahu yang kejujuran Nabi Muhammad ﷺ tiada tolok bandingnya. Apabila Khâlid pergi ke Madinah beberapa bulan selepas itu bagi memeluk Islam, Nabi Muhammad ﷺ menerimanya dengan “senyuman berseri-seri” dan berkata, “Segala puji bagi Allah, Tuhan yang telah memberi petunjuk untukmu kepada Islam. Sesungguhnya, saya lihat kamu adalah seorang yang mempunyai akal fikiran yang pintar, dan berharap bahawa Allah menunjukmu kepada Islam untuk membawa kebaikan kepada Islam.” Khalid menjawab, “Wahai Rasulullah ﷺ, saya masih teringat apa yang saya lakukan menentang Islam dan saya membersihkan diri daripadanya, mintalah supaya Allah mengampunkan saya.” Rasulullah ﷺ berdoa, “Ya Allah ya Tuhanku, ampunkan Khalid, apa yang pernah dilakukan bagi menentang Allah dan RasulNya.”
Islam Melupakan yang Lepas-lepas
‘Amr b. al-‘Âs (ra) adalah seorang lagi komander tentera yang telah lama menentang Islam. Tetapi beliau kemudiannya pergi ke Madinah bersama Khâlid b. al-Waleed (ra) bagi berjumpa Nabi Muhammad ﷺ. Ibnu Shumâsa al-Mahri menyatakan yang ketika dia menziarahi ‘Amr b. al-‘Âs (ra) semasa ‘Amr sedang sakit tenat, ‘Amr memalingkan wajahnya ke dinding dan menangis begitu lama. Anaknya berkata, “Wahai ayah! Bukankah Nabi Muhammad ﷺ memberikan khabar gembira tentang itu dan ini...?” Dia memalingkan pula wajahnya [pada mereka] dan berkata, “Perkara terbaik sebagai tempat kita bergantung adalah penyaksian bahawa tiada yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah. Aku telah melalui tiga fasa [dalam kehidupanku]. Aku [pertama sekali] mendapati tiada orang yang lebih aku benci daripada Rasulullah ﷺ dan dalam jiwaku, keinginan yang paling kuat adalah bagi mengalahkannya dan membunuhnya. Kalaulah aku mati dalam keadaan itu, tentunya aku menjadi penghuni neraka. Apabila Allah SWT menanam rasa cinta pada Islam dalam kalbuku, aku mendatangi Nabi Muhammad ﷺ dan berkata, “Hulurkan tangan kanan tuan supaya saya dapat bersumpah setia pada tuan.” Tetapi apabila baginda menghulurkan tangannya, aku menarik pula tanganku. Nabi Muhammad ﷺ bertanya, “Apa berlaku, wahai ‘Amr?” Aku membalas, “Saya ingin meletakkan beberapa syarat.” Baginda bertanya, “Apa syarat-syarat yang ingin kamu ajukan?” Aku membalas, “Iaitu supaya saya diberikan keampunan.” Baginda bersabda, “Tidakkah kamu tahu yang Islam memadam segala yang lepas, dan bahawa penghijrahan memadam segala yang datang sebelumnya, dan bahawa Haji memadamkan segala yang lepas?” Sejak itu, tiada yang lebih aku sayangi daripada Rasulullah ﷺ, dan tiada yang lebih agung daripadanya di mataku. Aku malahan tidak sanggup melihat wajahnya secara berdepan kerana begitu segan dengannya, dan jika aku diminta menjelaskan ciri-ciri fizikalnya, aku takkan [mampu] menjelaskannya kerana aku tak pernah mengamatinya sepenuhnya.”
Allah SWT Mencintai Mereka yang Bertindak Secara Adil
Semasa perjanjian damai yang dimuktamadkan dengan Perjanjian al-Hudaybiya, Qutayla b. ‘Abdil‘Uzzâ mengunjungi ‘Asmâ’ b. Abi Bakr (ra) di Madinah. Asmâ’ says, “Ibu saya datang kepada saya, berharap [sokongan kewangan] ketika zaman Nabi Muhammad ﷺ, jadi saya bertanya pada Nabi Muhammad ﷺ, “Patutkah saya mengekalkan hubungan dengannya?” Baginda menjawab, “Ya.”. Walaupun ini seolah perkara biasa, tetapi kita perlu sedar bahawa dengan mengizinkannya, Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya memgizinkan seorang wanita bukan Islam daripada pihak musuh bagi tinggal di rumah dua insan yang amat penting bagi negara Islam Madinah. Ini kerana ‘Asmâ’ (ra) adalah anak Abu Bakr as-Siddeeq (ra) dan juga isteri az-Zubayr b. al-‘Awwâm (ra). Mungkin inilah sebabnya ‘Asmâ’ pada mulanya teragak-agak bagi membenarkan ibunya memasuki rumahnya, takut-takut ibunya itu membunuh salah seorang personaliti tersbut ataupun mendapat maklumat sensitif negara. Ibn ‘Uyayna, salah seorang perawi hadis ini berkata ekoran kejadian inilah Allah SWT mewahyukan, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil pada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”[al-Mumtahana (60): 8].
Berarak ke Mekah: Penaklukan yang Tiada Taranya
Sebelum membincangkan Penawanan Mekah, dan bagi memahami ruang lingkupnya, kita perlu terlebih dahulu menanggapinya dari perspektif Nabi Muhammad ﷺ. Bayangkan... pada masa itu, baginda berarak dengan kekuatan tentera seramai 10,000 orang. Baginda berarak dengan sepenuh kekuatan bagi menggulingkan kafir Quraysh dari kota suci itu. Insafi juga hakikat bahawa golongan kafir Quraysh-lah yang pernah menzalimi baginda dengan pelbagai bentuk kekejaman selama tiga belas tahun di Mekah. Merekalah dalang yang membunuh para Sahabatnya, mengakibatkan kewafatan isteri baginda, Saidatina Khadijah (ra); menyerang anak-anaknya, menghalaunya dari tanahairnya sendiri, mencederakannya di Uhud, mengepungnya bagi menghancurkan umat Islam semasa Perang Ahzâb, dan mereka jugalah yang menandatangani Perjanjian al-Hudaybiya yang kemudiannya dicabuli. Kini, selepas lebih 20 tahun dihambur segala macam penganiayaan, Nabi Muhammad ﷺ berjaya berarak ke Mekah pada waktu yang tidak disangka-sangka kafir Quraysh. Ya, kini, mereka tidak lagi berdaya dan nasib mereka bergantung sepenuhnya pada budi bicara Rasulullah ﷺ.
Rakan Abu Jahal
Ketika Nabi Muhammad ﷺ mendatangi ayah saudaranya yang sedang nazak, Abu Tâlib, ‘Abdullâh b. Abi Umayya juga berada di situ bersama Abu Jahal. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ seikhlasnya merayu pada Abu Tâlib agar memeluk Islam, ‘Abdullâh b. Abi Umayya menghalang Abu Tâlib daripada memeluk Islam hinggalah ke nafasnya yang terakhir. Tahun berkenaan dikenali sebagai tahun paling sukar dalam hidup Nabi Muhammad ﷺ: Tahun Duka. Kedukaan ini bukanlah hanya disebabkan baginda kehilangan ayah saudara yang disayanginya itu; yang paling lama menjaganya dan penyokong terkuatnya; tetapi kedukaan baginda tambah pedih kerana baginda tahu yang baginda takkan mungkin dapat bertemu kembali dengan Abu Tâlib pada hari akhirat kelak. Sepuluh tahun kemudian, sejurus sebelum umat Islam berarak memasuki Mekah, ‘Abdullâh b. Abi Umayya mendatangi kem umat Islam dan berhajat memeluk Islam di tangan Nabi Muhammad ﷺ. Bagaimanapun, Nabi Muhammad ﷺ terus-menerus enggan berjumpa dengannya. Dengan pertolongan saudara perempuan tirinya, Ummu Salama (ra) yang juga merupakan isteri Nabi Muhammad ﷺ, dia meneruskan usahanya meminta belas kasihan daripada Nabi Muhammad ﷺ, dan malahan mengingatkan baginda bahawa dia mempunyai hubungan kekeluargaan dengan baginda (ipar), dan bahawa baginda pernah memaafkan orang lain yang melakukan jenayah yang lebih dahsyat daripada yang dilakukannya. Akhirnya, Nabi Muhammad ﷺ mengatakan padanya perkara sama yang dinyatakan Nabi Yusuf AS pada abang-abangnya yang mendalangi kedukaan sama yang dialaminya apabila baginda dipisahkan daripada ayahnya sendiri: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu).”[Yoosuf (12): 92].
“Sesiapa yang Memasuki Rumah Abu Sufyân…”
Abu Sufyân b. Harb bukanlah musuh biasa. Dia musuh Nabi Muhammad ﷺ yang paling ketat selama dua dekad. Dialah juga salah seorang yang bertemu di Dâr an-Nadwa bagi merancang pembunuhan Nabi Muhammad ﷺ sebelum baginda berhijrah ke Madinah. Sejak kekalahan kafir Quraysh di Perang Badar, dia berikrar bagi mengepalai penentangan pada Nabi Muhammad ﷺ. Bahkan, suatu malam, dia menyerang Madinah dan sempat membunuh dua lelaki Ansâr sebelum melarikan diri. Sesudah mengetuai angkatan perang kafir Quraysh di Uhud, dia berkata pada orang Islam, “Dalam kalangan yang mati, kamu akan menemui mayat yang dicacatkan. Aku tak pernah mengarahkannya, namun aku tak mempedulikannya!” Kedua-dua insiden itu dan juga pengepungan Madinah (dengan tujuan membunuh semua orang, tidak terkecuali wanita dan kanak-kanak) bukanlah amalan biasa dalam kalangan orang Arab. Ini sekaligus menggambarkan kebenciannya pada umat Islam. Berdasarkan hakikat ini, bagaimana pula Rasulullah ﷺ melayaninya apabila kemenangan berpihak pada Islam? Sesudah mendapat tahu yang tentera Islam berjaya mendatangi Mekah dengan cukup mudah, Abu Sufyân seolah lumpuh dan tidak mampu berfikir. Dia tahu – dengan sebenar-benar keyakinan – bahawa kepalanya pasti sedang diburu. Bagaimanapun, al-‘Abbâs (ra) masuk campur bagi pihaknya dan keesokan harinya, dia dan ‘Abdullâh b. Abi Umayya memeluk Islam. Nabi Muhammad ﷺ memaafkannya atas segala yang pernah dilakukannya, memastikan keselamatannya dan malahan berjanji bahawa mana-mana penduduk Mekah yang memasuki rumahnya akan selamat! Fakta bahawa perasaan lelaki ini – lelaki yang menjadi punca begitu banyak duka lara yang dialami Nabi Muhammad ﷺ – turut sama dipertimbangkan sememangnya menggambarkan ketulusan hati Rasulullah ﷺ.
“Hari Ini adalah Hari Belas Kasihan”
Abu Sufyân (ra) – kini seorang Islam – pergi ke Mekah dan menggalakkan para penduduk Mekah menyerah diri, selain meyakinkan mereka yang sesiapa yang memasuki rumahnya takkan diapa-apakan. Umat Islam kemudiannya memasuki Mekah dengan dipimpin Nabi Muhammad ﷺ, yang mana baginda menundukkan kepalanya bagi merendahkan diri di hadapan Allah SWT, hinggakan janggutnya hampir-hampir mencecah pelananya. Rasulullah ﷺ mendapat tahu yang sesetengah orang berkata, “Wahai Abu Sufyân, hari ini adalah hari penyembelihan [kaummu]. Hari ni, Kaabah bukan tempat berlindung.” Baginda mengumumkan, “Sebaliknya, hari ini adalah hari Allah akan mengagungkan Kaabah, dan hari yang mana Kaabah akan diselubungi.” Dalam riwayat lain: “Hari ini adalah hari belas kasihan. Hari ini, Allah akan memuliakan Quraysh.” Selepas berjaya menawan kota Mekah, semua orang mendatangi Nabi Muhammad ﷺ di Kaabah, dan dia bertanya pada mereka dengan lembut, “Wahai penduduk Quraysh, apakah yang kamu fikir saya akan lakukan padamu?” Mereka menjawab, “Hanya yang baik-baik, [wahai] saudara mulia, anak saudara mulia.” Dalam keadaan yang masih penuh debaran itu, baginda mengumumkan, “Saya cuma akan katakan pada kamu apa yang Yusuf katakan pada abang-abangnya, “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu).”[Yoosuf (12): 92]. Pergilah, kerana kamu bebas.”. Nabi Muhammad ﷺ berjaya tampil sebagai insan terbilang, sekaligus mengabadikan sifat belas kasihan dalam salah satu peristiwa paling menakjubkan dalam sejarah manusia.
Bahkan, golongan Ansâr mengagumi kebaikan yang dipamerkan Nabi Muhammad ﷺ, hinggakan ada yang berkata, “Insan ini digerakkan harapan tingginya bagi [pulang] ke kotanya, dan oleh belas kasihannya pada kaum kerabatnya.” Abu Hurayra (ra) berkata, “Dan kemudian, wahyu diturunkan, dan ketika baginda sedang menerima wahyu, ia tidak disembunyikan daripada kami. Semasa ia sedang diturunkan, tiada seorang pun dalam kalangan kami yang berani memandang wajah Rasulullah ﷺ sehinggalah wahyu selesai diturunkan. Sesudah wahyu diturunkan, Rasulullah ﷺ berkata, “Wahai orang Ansâr!” Mereka membalas, “Kami sedia berkhidmat, wahai Rasulullah ﷺ.” Baginda bersabda, “Kamu berkata lelaki ini [merujuk pada dirinya] digerakkan harapan tingginya bagi [pulang] ke kotanya?" Jawab mereka, “Ya, ini yang berlaku.” Sabda baginda, “Tidak! Saya hamba Allah, dan saya PesuruhNya; saya berhijrah kepada Allah dan kepada kamu. Kehidupan [saya] adalah denganmu dan kematian [saya] adalah denganmu.” Mereka berpaling padanya sambil menangis, dan berkata, “Demi Allah, kami hanya berkata demikian kerana kami amat bersifat melindungi/mempertahankan Allah dan PesuruhNya.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Benar, Allah dan PesuruhNya mempercayaimu, dan memaafkanmu.” Sebelumnya, belas kasihan Rasulullah ﷺ pada kafir Quraysh memang menakjubkan ramai orang, termasuk bagi golongan Ansâr. Baginda cukup faham bahawa amat sukar bagi mereka memahami tindakannya memaafkan kafir Quraysh. Makanya, baginda berkata, “…dan memaafkanmu.”
Bebas Masuk
‘Uthmân b. Talha (ra) seringkali menghalang Nabi Muhammad ﷺ daripada memasuki Kaabah, lebih-lebih lagi kerana dia berasal daripada Bani ‘Abd ad-Dâr – kabilah Quraysh yang cukup megah kerana merekalah penjaga kunci Kaabah. Dia mencemuh Nabi Muhammad ﷺ dan berusaha menghapuskan mesej Islam. Dengan keyakinan pada janji Allah SWT, baginda berkata pada ‘Uthmân b. Talha yang suatu hari nanti, kunci Kaabah akan berada di tangan baginda. Ibn Jurayj mengatakan semasa Penawanan Mekah, Nabi Muhammad ﷺ mengambil kunci Kaabah daripada ‘Uthmân b. Talha. Baginda memasuki Kaabah, lalu keluar sambil membaca, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya memulangkan amanah kepada pemilik yang sebenarnya.”[an-Nisâ’ (4): 58]. Sungguhpun ‘Uthmân b. Talha bersikap kejam pada umat Islam, Rasulullah ﷺ kemudiannya memanggilnya, memaafkannya dan memulangkan kunci Kaabah kepadanya.
Lelaki yang Berubah
Suhayl b. ‘Amr (ra) kini seorang warga tua yang sudah tewas. Kegagalannya itu memaksanya meminta anaknya, ‘Abdullâh – salah seorang daripada sebilangan besar anaknya yang kini menganggotai pasukan tentera Islam – bagi mendapatkan suaka baginya semasa Penawanan Mekah berlangsung. Nabi Muhammad ﷺ tanpa teragak-agak menjamin keselamatannya dan seterusnya mengatakan yang seorang yang bermaruah dan bijak seperti Suhayl sepatutnya menyedari kebaikan Islam. Tidak lama kemudian, Suhayl memeluk Islam, dan dia seterusnya dikenali sebagai seorang yang kuat beribadah. Bahkan, ketika berita bahawa Nabi Muhammad ﷺ sedang nazak diketahui penduduk Mekah, dia yang dahulunya menentang Islam berkata, “Wahai kaum Quraysh! Janganlah menjadi yang terakhir memeluk Islam dan yang pertama murtad! Agama ini akan tersebar ke mana-mana tempat yang disinari matahari dan rembulan, dari tempat ia terbit ke tempat ia terbenam.” Begitulah kehebatan layanan indah Rasulullah ﷺ, yang mana ia berjaya merobah ramai orang ke arah kebaikan yang tak terbayangkan. Perwatakan halusnya, kehebatan tolak-ansurnya dan kemampuannya melupakan perkara yang lepas selamanya melonjakkan diri baginda mengatasi segala pemimpin lain yang datang sebelum mahupun selepasnya, yang mana mereka akan memburu pimpinan kawasan yang ditakluk itu, lalu membalas dendam bagi meluahkan kebencian, bagi menundukkan lawan dan bagi melampiaskan dendam kesumat.
Mulanya Bermegah Akhirnya Tunduk
Safwân b. Umayya (ra) pernah memusuhi Islam sejak zaman awal Islam. Dia membantu ayahnya, Umayya b. Khalaf bagi menyeksa Bilâl b. Rabâh (ra), menyertai semua peperangan antara kafir Quraysh dan pihak Islam, menghantar ‘Umayr b. Wahb bagi membunuh Nabi Muhammad ﷺ, dan membekalkan senjata kepada Bani Bakr bagi menyerang Bani Khuzâ‘a (sekutu umat Islam), yang mana ini sekaligus mencabuli Perjanjian Hudaybiya. Jadi, bolehlah dikatakan tindakan Safwân itu menjadi punca utama Nabi Muhammad ﷺ memutuskan bagi berarak ke Mekah. Ekoran itu, berbanding kebanyakan penduduk Mekah yang menyerah diri secara aman, Safwân bertempur seketika dengan tentera Islam sebelum melarikan diri. Dia kemudiannya berasa kecewa dan terpinggir. Jadi, ‘Umayr b. Wahb – kini seorang Islam – meminta Nabi Muhammad ﷺ memaafkan Safwân atas segala jenayahnya dan mengizinkannya bagi kembali ke Mekah. Baginda bukan hanya bersetuju, malah memberikan serbannya kepada ‘Umayr sebagai jaminan bahawa keselamatan Safwân dijamin. Apabila Safwân mendatanginya, Nabi Muhammad ﷺ dengan ikhlas memberikannya empat bulan bagi betul-betul mempertimbangkan keputusannya memeluk Islam. Pada masa itu jugalah Nabi Muhammad ﷺ memberikan banyak hadiah kepadanya bagi melembutkan hatinya pada Islam. Akhir sekali, jiwanya tertawan dengan kedermawanan Rasulullah ﷺ dan dia memeluk Islam, lalu berkata, “Demi Tuhan, Nabi Muhammad ﷺ memberikan hadiah kepadaku hingga ke tahap dialah orang yang paling aku benci. Tetapi dia terus dan terus memberi, hinggakan dia menjadi orang yang paling aku sayangi.”
Orang yang Mencacati Mayat Ayah Saudara Baginda
Hind b. ‘Utba adalah isteri Abu Sufyân dan anak Utba b. Rabee‘a, iaitu bangsawan kafir Quraysh yang merupakan musuh ketat Nabi Muhammad ﷺ. Hind juga penuh kebencian menghitam dan secara peribadi berkempen menentang Islam dan para penganutnya. Bahkan, dialah yang mengupah Wahshi bagi membunuh Hamza b. ‘Abdul Muttalib, iaitu ayah saudara Nabi Muhammad ﷺ. Hind menjanjikan habuan besar buat Wahshi sekiranya Wahshi berjaya membalas dendam atas kematian ayahnya yang terbunuh di Badar. Banyak riwayat awal mengatakan dia memotong telinga dan hidung Hamza dan memakainya sebagai rantai, dan ada pula yang mengatakan dia memotong hati Hamza dan cuba memakannya. Apabila Nabi Muhammad ﷺ menemui mayat ayah saudaranya selepas Perang Uhud, baginda menangis kesedihan. Baginda yang tidak pernah menangis seperti itu kemudiannya mengucapkan selamat tinggal pada ayah saudaranya dengan berkata, “Moga Allah mengasihanimu, wahai ayah saudara. Sesungguhnya, pakcik sentiasa menjaga hubungan persaudaraan, dan sentiasa bergegas melakukan kebaikan.” Lima tahun kemudian, semasa Penawanan Mekah, Hind membantah apabila kafir Quraysh memutuskan bagi menyerah diri. Tetapi dia kemudiannya sedar bantahannya tidak berguna, dan jelaslah yang Nabi Muhammad ﷺ menerima bantuan Ilahi. Jadi, dengan berselubung, dia pergi bersama lain-lain wanita kepada Nabi Muhammad ﷺ bagi bersumpah setia. Apabila dia mendedahkan identiti sebenarnya, Nabi Muhammad ﷺ menjawab dengan baik, “Selamat datang, wahai Hind.” Tersentuh dengan kebaikan Nabi Muhammad ﷺ, dia mengisytiharkan, “Demi Allah, tiada keluarga yang paling ingin saya musnahkan selain keluarga tuan, tetapi kini tiada keluarga yang paling ingin saya muliakan selain keluarga tuan.”
Pembunuh Upahan
Wahshi b. Harb adalah hamba dari Ethiopia yang dimiliki Jubayr b. Mut‘im. Dengan ketangkasannya sebagai pelontar lembing yang handal, dia dijanjikan kebebasan dengan syarat dia membunuh Hamza b. ‘Abdil-Muttalib (ra) di Uhud. Dia kemudiannya berjaya melakukannya, lantas memuaskan hati kafir Quraysh yang berdendam dengan Hamza kerana saudara-mara mereka dibunuh Hamza di Badar. Ibnu Mas‘ud (ra) berkata, “Kami tidak pernah melihat Rasulullah ﷺ menangis sepertimana baginda menangisi Hamza.” Semasa Penawanan Mekah, Wahshi melarikan diri. Ini kerana dia tahu apabila seseorang membunuh anggota keluarga pihak pemerintah, maka hukuman bunuhlah yang menanti. Bagaimanapun, Nabi Muhammad ﷺ bukanlah seperti para pemerintah lain. Kata Wahshi, “Saya terdengar seburuk mana sekalipun jenayah seseorang padanya, Nabi Muhammad ﷺ sentiasa memaafkannya.” Ini mendorongnya kembali ke Mekah, memeluk Islam dan kemudiannya menyaksikan sendiri bagaimana Rasulullah ﷺ memaafkan musuhnya. Wahshi seakan tidak percaya dia dapat menyaksikan peristiwa itu. Dia sentiasa terkenangkannya dan berkata, “Allah memuliakan Hamza b. ‘Abdil-Muttalib dan at-Tufayl b. an-Nu‘mân [dengan syahid] di tanganku, dan tidak menghinaku di tangan mereka [dengan mati sebagai kafir].”.
Jaminan Keselamatan
‘Abdullâh b. Sa‘d (juga dikenali sebagai Ibn Abi as-Sarh) adalah seorang yang nyawanya barangkali layak dikorbankan semasa Penawanan Mekah. Mana tidaknya, dialah sosok yang cuba memalsukan Quran (selepas dilantik menjadi pencatat wahyu). Dia melarikan diri dari Madinah, keluar dari Islam dan menyebarkan khabar angin kononnya “Muhammad cakap mengarut.” Semasa Penawanan Mekah, dia mencuri masuk rumah ‘Uthmân (ra) dan merayu agar ‘Uthmân (ra) membantunya. ‘Uthmân (ra) banyak kali cuba menimbulkan belas kasihan Nabi Muhammad ﷺ pada ‘Abdullâh b. Sa‘d atau sekadar meminta Nabi Muhammad ﷺ menganggapnya pertolongan peribadi padanya (ibu ‘Abdullâh b. Sa‘d adalah ibu susuan ‘Uthmân). Baginda akhirnya bersetuju. Selepas itu, apabila Nabi Muhammad ﷺ disoal para Sahabatnya mengapa mereka tidak membunuh saja lelaki itu, baginda bersabda, “Tidak layak bagi seorang Nabi menjadi seseorang yang menggunakan pengkhianatan mata.” Semenjak itu, setiap kali ‘Abdullâh b. Sa‘d ternampak Rasulullah ﷺ, dia akan melarikan diri. ‘Uthmân mendatangi Rasulullah ﷺ dan berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, biarlah ibu bapa saya jadi tebusan. Kalaulah tuan melihat bagaimana Ibn Abi as-Sarh melarikan diri setiap kali melihat tuan.” Nabi Muhammad ﷺ mengukir senyuman dan bersabda, “Bukankah saya menerima sumpah setianya dan menjamin keselamatannya?” ‘Uthmân menjawab, “Ya, Rasulullah ﷺ, tetapi dia teringatkan jenayahnya pada Islam.” Nabi Muhammad ﷺ menjawab, “Islam memadam segala yang datang sebelumnya.”. Uthmân (ra) memberitahu ‘Abdullâh b. Sa‘d tentang jawapan baginda itu dan selepas itu, dia mendatangi dan menyapa Rasulullah ﷺ dalam kalangan orang ramai. Dia muncul cemerlang dalam agama dan tidak pernah berpaling lagi.
Menyembuhkan Jiwa yang Bersifat Perkauman
Abu Mahdhura adalah seorang pemuda kuffar yang benci melihat seorang lelaki berkulit hitam menaiki Kaabah dan melaungkan adhân dari bumbung Kaabah semasa Penawanan Mekah. Dia dan kawan-kawannya mula mengejek Bilâl (ra) dan mengajuknya. Nabi Muhammad ﷺ mendengar suara merdunya dan memanggilnya. Abu Mahdhura dibawa mendatangi Nabi Muhammad ﷺ dan dia memang menyangka dia akan dihukum bunuh kerana memperlekehkan Islam. Tetapi sebaliknya, Nabi Muhammad ﷺ mengusap dada dan kepala pemuda itu. Abu Mahdhura berkata, “Demi Allah, hati saya kemudiannya sarat dengan kepercayaan dan keyakinaan bahawa baginda memang pesuruh Allah.” Dia memeluk Islam dan diajar setiap butir adhân. Dia kemudiannya dilantik bagi berperanan sebagai muazzin di Mekah apabila para Sahabat kembali ke Madinah. Sesetengah riwayat mengatakan tugas mulia bagi melaungkan adhân di Kaabah kekal dengan Abu Mahdhura dan keturunannya selama banyak generasi lamanya.
Sentuhan Belas Kasihan
Selepas Penawanan Mekah, terdapat juga orang yang masih kekal dengan pendirian mereka. Fadâla b. ‘Umayr adalah salah seorang yang menyemai kebencian dan menanti saat bagi membalas dendam. Dia bersumpah membunuh Nabi Muhammad ﷺ, sungguhpun di depan orang, dia mengatakan dia sudah memeluk Islam. Suatu hari, ketika Nabi Muhammad ﷺ sedang bertawaf, Fadâla menyembunyikan pedang di bawah pakaiannya dan mengekori baginda. Lama-kelamaan, dia berada dalam jarak menyerang sambil berfikir tentang kejahatan yang bakal dilakukannya itu. Dengan tiba-tiba, Nabi Muhammad ﷺ berpaling dan mendapati dirinya berdepan dengan Fadâla. “Apa yang kamu katakan pada dirimu sendiri?” soal baginda. “Tiada apa-apa – saya hanya memuji Allah,” balas Fadâla. Nabi Muhammad ﷺ hanya tersenyum dan berkata, “Mohonlah keampunan Allah,” seraya meletakkan tangannya pada dada Fadalâ, lantas menyalurkan ketenangan kepadanya. Fadâla berkata, “Demi Allah, dari saat baginda ﷺ mengangkat tangannya dari dada saya, tiada yang lebih saya sayangi dalam kalangan ciptaan Allah melainkan baginda.” Inilah individu yang cuba membunuh di tempat paling suci yang berada di bawah kawalan penuh Nabi Muhammad ﷺ. Namun, dia tidak dihukum. Sebaliknya, dia dianugerahi pula dengan doa penuh kasih oleh Nabi Muhammad ﷺ.
Orang yang Menzalimi Anaknya
Habbâr ibn Al-Aswad adalah orang yang menyakiti Nabi Muhammad ﷺ secara peribadi. Semasa anak perempuan Rasulullah ﷺ, Zaynab (ra) sedang berhijrah dari Mekah ke Madinah, Habbâr dapat mengejarnya dan dan terus-menerus mencucuk unta Zaynab dengan lembing, hinggakan Zaynab (ra) tercampak ke tanah. Akibatnya, Zaynab (ra) mengalami keguguran, ditambah pula dengan kecederaan parah yang merosakkan kesihatannya dan menjadi salah satu punca kematiannya beberapa tahun kemudian. Ia sememangnya peristiwa yang amat perit bagi Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana baginda bukan sahaja kehilangan cucu pertamanya yang masih dalam kandungan, tetapi juga kehilangan anaknya. Bagaimanapun, apabila Habbâr merayu agar dibebaskan semasa Penawanan Mekah, Nabi Muhammad ﷺ memaafkannya, meskipun baginda sebenarnya memiliki kuasa dan alasan kukuh bagi menghukumnya.
Anak Lelaki Abu Lahab
‘Utba dan adiknya, ‘Utayba adalah dua orang anak lelaki Abu Lahab yang dipaksa ayah mereka agar menceraikan anak Nabi Muhammad ﷺ. Abu Lahab melakukannya hanya kerana membenci Rasulullah ﷺ dan agama baru yang dibawanya. Semasa Penawanan Mekah, Nabi Muhammad ﷺ bertanya pada al-‘Abbâs mengenai ‘Utba dan seorang lagi saudara lelakinya, Mi‘tab. Apabila diberitahu yang mereka sudah melarikan diri dari Mekah, baginda menyuruh al-‘Abbâs mengejar mereka dan membawa mereka pulang. Al-‘Abbâs ketemu dengan anak-anak saudaranya di ‘Arafa, lalu membawa mereka berjumpa Rasulullah ﷺ, yang mana baginda kemudiannya mengajak mereka memeluk Islam. Mereka bersetuju dan ‘Utba terbukti seorang pahlawan Islam yang hebat di Hunayn dan at-Tâ’if. Tentunya dia terpesona dengan kelembutan Nabi Muhammad ﷺ, yang mana dia pernah cuba mencalar maruah baginda dua puluh tahun sebelumnya.
Anak Lelaki Abu Jahal
‘Ikrima b. Abi Jahl (ra) bukan hanya musuh Islam ekoran kedudukan ayahnya sebagai firaun bagi kafir Quraysh. Dia malah digelar “Singa Quraysh” kerana kebengisannya, dan dialah yang mengepalai rusuk kiri kafir Quraysh semasa mereka memerangi umat Islam di Uhud. Dia juga terlibat dalam Perang al-Ahzâb, dan dia jugalah salah seorang yang bertempur dengan umat Islam semasa Penawanan Mekah, lalu kemudiannya mengalah dan melarikan diri. Selepas hampir mati di lautan, ‘Ikrima memenuhi sumpah yang dibuatnya pada Allah SWT kerana menyelamatkannya, iaitu dengan memohon kemaafan daripada Nabi Muhammad ﷺ. Isterinya, Ummu Hakeem (kini seorang Islam), memujuknya bagi memenuhi sumpahnya, dan mendapatkan jaminan keselamatan daripada Nabi Muhammad ﷺ. Setibanya dia di Mekah, berita tersebar bahawa “anak musuh Allah” sudah tiba. Nabi Muhammad ﷺ menjawab, “Sesungguhnya, ‘Ikrima sedang datang kepadamu sebagai penghijrah yang beriman, jadi pastikan kamu tidak menghina ayahnya, kerana menghina yang telah mati [hanya] menyedihkan yang masih hidup dan tidak sampai kepada yang mati.” Apabila ‘Ikrima tiba di samping Nabi Muhammad ﷺ, baginda bangkit bagi menerima, sekaligus mengalu-alukan kedatangan bekas musuhnya dengan penuh kasih sayang. ‘Ikrima seterusnya menjadi antara pembela Islam paling bersemangat, hinggalah tiba saatnya beliau syahid semasa Perang Yarmook.
Perubahan Nada
Ka‘b b. Zuhayr (ra) adalah penyajak Arab terkemuka yang menulis rangkap-rangkap sajak yang memperlekehkan Nabi Muhammad ﷺ. Di Tanah Arab, sajak-sajak seperti itu bukan hanya dianggap serangan pada Islam, tetapi juga adalah suatu senjata politik yang ampuh; penyajak merupakan pendakyah ketika berlaku konflik. Nabi Muhammad ﷺ mengarahkan Ka‘b dibunuh, tetapi dia bergegas merayu belas kasihan dan keampunan baginda tatkala dia menyaksikan Islam menjulang ke puncak kuasa. Dia melakukannya dengan menulis sajak yang kemudiannya menjadi lagenda. Sajaknya itu memuji kebangsawanan Nabi Muhammad ﷺ dan ia dihiasi bahasa indah dan tema padang pasir yang begitu menyentuh jiwa masyarakat Arab. Jiwa Nabi Muhammad ﷺ bukan sahaja tersentuh bagi memaafkannya, bahkan baginda juga meletakkan jubah Yamannya (burda) di atas bahu Ka‘b. Sajak bersejarah itu kemudiannya dinamakan burda sempena jubah tersebut.
Kesudahan yang Cukup Sempurna
Susulan Penawanan Mekah, Rasulullah ﷺ kemudiannya bertindak membebaskan Semenanjung Arab daripada undang-undang rimba yang diterapkan kabilah Arab feudal, selain siap-siaga mempertahankan diri daripada ancaman Empayar Byzantine. Semasa tempoh itu, baginda meneruskan legasi belas kasihan dan kemaafannya, sekaligus mewariskan suri teladan etika dan integriti yang terbaik dan yang tidak pernah disaksikan dunia.
Tewasnya Seorang Panglima Perang
Mâlik b. ‘Awf (ra) adalah pemimpin Hawâzin dan dengan memeterai suatu gabungan kuasa, dia menggembleng angkatan tentera Arab paling besar, yang mana ia jumlah yang tidak pernah disaksikan sebelum itu. Tujuannya hanya satu, iaitu bagi menghapuskan umat Islam sebelum kekuatan mereka bertambah. Tentera kuffar ini terdiri daripada 25,000 orang, dan mereka malah membawa bersama isteri, anak-anak, haiwan ternakan dan kekayaan mereka sebagai insentif dan bagi menguatkan semangat mereka. Inilah konfrontasi yang begitu dahsyat di Lembah Hunayn. Tentera Islam mengalami kekalahan teruk sebelum berkumpul semula bagi menyelamatkan Islam daripada terus lenyap. Sesudah perang berakhir, Mâlik b. ‘Awf adalah antara mereka yang menyelamatkan diri ke kubu Thaqeef (salah satu anggota gabungan kuffar) di Tâ’if. Dalam keadaan terdesak yang mana dia telah kehilangan segala-galanya, Rasulullah ﷺ masih berfikir tentangnya. Apabila baginda diberitahu yang Mâlik masih hidup dan sedang berlindung di kubu Thaqeef, baginda bersabda, “Beritahu Mâlik yang jika dia datang kepada saya sebagai seorang Islam, saya akan memulangkan keluarga dan hartanya, dan akan memberikan [juga] seratus ekor unta.”. Adakah ini tindakan biasa oleh seorang yang baru memenangi perang besar pada musuh yang baru ditewaskannya? Di mana-mana sekalipun, pihak tentera biasanya suka menzalimi, menghukum dan memalukan para pemimpin pihak musuh. Tetapi lain pula tindakan Rasulullah ﷺ. Baginda sebaliknya bersimpati dan memberikan hadiah yang begitu besar jumlahnya kepada musuhnya. Sesungguhnya, tindakan ini takkan mampu difahami kebanyakan pemimpin dunia, apatah lagi meneladaninya.
Lelaki dalam Yâ Seen
Sejurus selepas pengepungan Tâ’if, ‘Urwa b. Mas‘ood ath-Thaqafi mendatangi Nabi Muhammad ﷺ sebelum baginda tiba di Madinah dan meminta bagi memeluk Islam. Nabi Muhammad ﷺ bersetuju dan mencadangkan agar ‘Urwa tidak pulang ke pangkuan kaumnya, dengan sabda baginda, “Saya bimbang mereka akan membunuhmu [kerana memeluk Islam].” ‘Urwa tidak berfikit begitu dan berkata, “Mereka menghargai saya sepertimana mereka menghargai penglihatan mereka, dan malahan mereka takkan membangunkan saya semasa saya sedang tidur [jadi, mana mungkin mereka akan membunuh saya?].” Tetapi sebaik sahaja dia tiba dan mengumumkan keislamannya, dan kemudiannya melaungkan azan Subuh di atas bumbung rumahnya, dia dipanah dan lantas terbunuh. Dalam riwayat lain, Nabi Muhammad ﷺ bersabda, “‘Urwa adalah seperti lelaki dalam [Surah] Yâ Seen; dia mengajak kaumnya kepada Allah dan disebabkan itu, mereka membunuhnya.”.
Munafik di Tabook
Lima belas orang yang berpura-pura masuk Islam cuba membunuh Nabi Muhammad ﷺ ketika baginda dalam perjalanan pulang dari Tabook. Tiga daripada mereka dibunuh dan Hudhayfa (ra) diberitahu nama-nama yang terselamat seramai dua belas orang. Allah SWT menurunkan ayat-ayat yang mendedahkan jenayah mereka dan menyeru mereka agar bertaubat. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ memang mengenali mereka, baginda sebaliknya hanya bertindak memberi amaran tentang balasan di dunia dan di akhirat, dengan sabdanya, “Dalam ummahku, akan ada dua belas orang munafik dan mereka takkan masuk Syurga dan mereka takkan menghidu baunya, hinggalah unta melepasi mata jarum. Ulser pun sudah cukup [bagi menyeksa mereka]; sejenis api (terbakar) yang akan muncul di bahu mereka dan menembusi dada mereka.”.
Kematian Ibnu Salool
Sekembalinya dia dari Tabook, ‘Abdullâh b. Ubayy meninggal dunia pada tahun kesembilan Hijriyyah. Biarpun lelaki ini menyakiti Rasulullah ﷺ dan umat Islam secara langsung, baginda tetap mengafankannya dengan bajunya sendiri, bersolat jenazah dan bersabda, “Apabila kamu sudah selesai [mempersiapkan pengebumian], beritahu saya.” Baginda mendatangi jenazah sesudah ia diturunkan ke liang lahad. Kemudian, baginda mengarahkan agar jenazahnya dialih. Baginda kemudiannya meletakkan jenazah ‘Abdullâh b. Ubayy di atas lututnya dan menghembuskan nafas pada wajah ‘Abdullâh b. Ubayy. Kata ‘Umar (ra), “Apabila Rasulullah ﷺ bersolat jenazah untuknya, saya bergegas kepadanya dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, adakah kamu akan bersolat jenazah untuk Ibnu Ubayy biarpun dia pernah mengatakan itu dan ini pada hari sekian?’ Saya terus mengulangi kata-kata yang pernah diutarakan ‘Abdullâh b. Ubayy, tetapi Rasulullah ﷺ hanya tersenyum dan bersabda, “Berundur, wahai ‘Umar.’ Apabila saya keterlaluan [dari segi mendesak baginda], baginda bersabda, “Saya diberikan pilihan, jadi saya memilih [bagi mendoakan keampunan baginya]. Dan jika saya tahu yang [meminta lebih daripada] tujuh puluh [kali] akan mendatangkan keampunan kepadanya, saya akan buat lebih daripada itu.”. Imam al-Khattâbi (moga Allah SWT mengasihaninya) berkata, “Nabi Muhammad ﷺ melakukan demikian kerana sifat belas kasihannya yang hebat pada orang yang mempunyai sebarang kaitan dengan Islam dan bagi menenangkan jiwa anak ‘Abdullâh b. Ubayy, iaitu seorang lelaki warak, dan juga bagi memenangi jiwa kaumnya (al-Khazraj). Ini kerana dia (‘Abdullâh b. Ubayy) adalah pemimpin mereka.” Baginda juga terhutang budi pada Ibnu Salool kerana memberikan bajunya kepada ayah saudara baginda, al-‘Abbâs selepas Perang Badar, sungguhpun ia dilakukan atas niat lain.
Lelaki yang Mengarahkan Nabi Muhammad ﷺ Dilontar Batu di Tâ’if
‘Abd Yâlayl b. ‘Amr ath-Thaqafi adalah antara lelaki yang paling teruk menyakiti Rasulullah ﷺ. Dialah pemimpin Thaqeef dan dia jugalah yang mengarahkan agar Rasulullah ﷺ dilontar batu dan dihalau dari kota itu. Selama hampir sedekad, Thaqeef menentang kemunculan Islam di Tâ’if. Tidak cukup dengan itu, sesudah Penawanan Mekah (tahun kelapan Hijriyyah), mereka bersekutu dengan Hawâzin dalam Perang Hunayn. Kemudian, apabila duta mereka, ‘Urwa ibn Mas‘ud (ra) memeluk Islam, mereka membunuhnya – satu lagi peristiwa yang menghampakan Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi apabila pihak Byzantine melarikan diri dari Tabook, puak Thaqeef akhirnya menyedari kaum Muslimin merupakan kuasa terunggul di Semenanjung Arab. Mereka kemudiannya menghantar utusan ke Madinah dengan diketuai ‘Abd Yâlayl. Nabi Muhammad ﷺ menerima mereka dengan hati terbuka dan langsung tidak mengungkit segala kejahatan mereka. Baginda melayani mereka dengan baik, memberikan hadiah kepada mereka dan malahan sanggup mendengar segala tuntutan mereka sebagai syarat memeluk Islam, iaitu mereka mahu terus memakan ribâ, berzina, minum arak, tidak mahu bersolat dan tidak mahu memecahkan berhala al-Lât. Rasulullah ﷺ membincangkan isu-isu ini dengan mereka setiap malam selepas ishâ’, iaitu di dalam khemah yang didirikan untuk mereka di dalam Masjid Nabawi. Akhirnya, Islam melembutkan hati mereka dan Rasulullah ﷺ menawan mereka dengan kesantunannya, dan mereka menjadi antara pendokong kuat Islam – termasuk semasa perang murtad, yang mana ketika itu, pemberontakan menjadi-jadi.
Pemimpin Kristian
‘Adi b. Hâtim at-Tâ’i berasa dia mempunyai alasan kukuh bagi membenci Islam. Ini kerana dia ketua kabilah Tay’ (kabilah pesaing pada Quraysh) dan juga seorang Kristian. Dia juga sekutu kuasa besar Empayar Byzantium. Di samping itu, ayah Ka‘b b. Ashraf, seorang batu api peperangan yang dihukum bunuh Nabi Muhammad ﷺ juga adalah anggota kabilah Tay’. Tambahan pula, Tay’ pernah dikalahkan tentera Islam. ‘Adi (ra) berkata, “Semasa kemunculan Rasulullah ﷺ, saya membencinya yang mana saya tak pernah membenci sejauh itu.” Sesudah kaumnya dikalahkan dan dia pula berkeliaran sebagai pelarian, dia kecewa dengan hidupnya dan pergi ke Madinah bagi bertemu Nabi Muhammad ﷺ dalam keadaan lemah dan tidak bersenjata. Rasulullah ﷺ menerimanya dengan hati terbuka dan mengajaknya memeluk Islam. Baginda juga dengan sabar giat meyakinkannya akan kebenaran wahyu yang disampaikannya dan tentang ketentuan Allah SWT berkenaan perkara yang akan berlaku pada hari muka. Semudah itulah komander perang hebat itu memeluk Islam tanpa sejarah silamnya diungkit, dan tanpa mengungkit tentang peperangannya pada Islam dan kebenciannya pada Nabi Muhammad ﷺ.
Wanita yang Meracuni Nabi Muhammad ﷺ
Di akhir hayatnya, Rasulullah ﷺ dijemput seorang wanita dari Khaybar, Zaynab b. al-Harith, walhal tujuan jemputan itu hanyalah supaya dia dapat meracuni makanan baginda! Dia memasak bebiri dan meletakkan lebih banyak racun di bahagian bahu, yang mana itulah bahagian yang disukai Rasulullah ﷺ. Baginda memakannya dengan para Sahabatnya, sehinggalah turunnya wahyu yang menyedarkan baginda yang bebiri itu diracun. Apabila Zaynab disoal siasat, dia mengaku, “Saya mahu membunuh kamu.” Nabi Muhammad ﷺ bersabda, “Tetapi Allah takkan membenarkanmu memudaratkan saya.” Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah ﷺ, patutkah kami membunuhnya?” Baginda menjawab, “Tidak,” lalu memaafkannya. Anas (ra) berkata, “Akibat racun itu, saya mendapati terdapat tanda di [dalam mulut] Nabi Muhammad ﷺ [yang kekal hingga baginda wafat].”.
Utusan Musaylama
Bani Haneefa adalah kabilah yang kuat dan dengan reputasi hebat. Mulanya, mereka memeluk Islam, sebagaimana yang dilakukan orang lain di Tanah Arab. Namun, sekembalinya mereka ke kawasan mereka, mereka menuntut Nabi Muhammad ﷺ menghargai komitmen mereka, iaitu dengan memberikan kedudukan kepada mereka sesudah kewafatan baginda. Apabila baginda enggan, mereka murtad dan mengisytiharkan Musaylama al-Hanafi (juga dikenali sebagai Musaylama Si Pendusta) sebagai nabi mereka. Biarpun mereka begitu galak dengan tindakan khianat dan murtad mereka, Nabi Muhammad ﷺ mengekalkan prinsipnya dan bersabda pada utusan-utusan Musaylama, “Jika tidak kerana fakta bahawa para utusan tidak [seharusnya] dibunuh, maka saya sudah pun membunuh kamu berdua.” Tetapi yang sebaliknya berlaku pada utusan baginda. Bani Haneefa menangkap utusan Nabi Muhammad ﷺ, Habeeb b. Zayd (ra) dan mengerat badannya anggota demi anggota di hadapan keluarganya sendiri.
Tidak Dapat Dirosakkan
Sesetengah puak fobia-Islam berhujah bahawa “Perubahan gelagat dan ajaran Muhammad di Madinah tidak mudah dipercayai.”. Walaupun kenyataan ini lebih baik sedikit berbanding kenyataan orang lain bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang petualang yang berpura-pura baik di Mekah, pandangan bahawa baginda kemudiannya dirosakkan kuasa yang dimilikinya di Madinah sesungguhnya adalah pandangan yang penuh kelompangan.
Pertama sekali, ‘Â’isha (ra) yang tinggal bersama Nabi Muhammad ﷺ sehingga ke nafas baginda yang terakhir berkata, “Rasulullah ﷺ tidak pernah memukul sesiapa dengan tangannya, sama ada hamba mahupun wanita, kecuali ketika berjuang di jalan Allah. Baginda tidak pernah membalas dendam atas kezaliman yang dilakukan padanya, dan [hanya] akan menjalankan hukuman bagi mendapatkan keredan Allah SWT apabila ketetapan Allah SWT dilanggar.” Yang peliknya, riwayat-riwayat oleh ‘Â’isha (ra) selalu diperalatkan puak fobia-Islam bagi memburuk-burukkan Nabi Muhammad ﷺ, sedangkan ‘Â’isha (ra) terus hidup empat puluh tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad ﷺ dan sentiasa memuji akhlak dan kesantunan Rasulullah ﷺ.
Kedua, selain kuasa yang mampu merosakkan integriti, keadaan terdesak juga mampu mencabar integriti seseorang. Inilah sebabnya kumpulan pengganas seringkali muncul di celah-celah golongan minoriti yang tertindas. Apabila sekumpulan orang berasa terdesak dan kekurangan mereka begitu menghimpit, maka mereka kemungkinan akan berpaling pada taktik-taktik yang tidak beretika. Satu soalan penting... tidakkah Nabi Muhammad ﷺ menyaksikan dan mengalami sendiri peminggiran dan penindasan selama tiga belas tahun di Mekah (dan selama tahun-tahun pertama di Madinah)? Tetapi adakah baginda kemudiannya berpaling pada taktik-taktik yang tidak beretika? Tidak, malah baginda terus mendoakan musuh-musuhnya dan mengajak mereka berdamai, di samping menenangkan para pengikutnya yang tertanya-tanya bilakah segala taktik zalim kafir Quraysh akan berakhir.
Ketiga, walaupun kekuatan politik Nabi Muhammad ﷺ terus mengukuh sehinggalah kewafatannya, baginda malah mempamerkan sifat belas kasihan yang kian bertambah. Sebagai contoh, tidakkah belas kasihan baginda semasa Penawanan Mekah menginsafkan para pewaham yang jujur agar bertanya kenapakah kuasa yang dimiliki baginda tidak pula mendorongnya membalas dendam pada mereka yang memfitnahnya, menghalaunya, membunuh ahli keluarga dan pengikutnya, dan terus memeranginya selama lebih dua puluh tahun? Adakah seorang lelaki dengan dendam kesumat akan terus mempamerkan akhlak mulia dan menegah pembunuhan wanita, kanak-kanak, paderi, orang tua dan orang yang tidak memerangi Islam? Adakah seorang lelaki yang berdendam akan berhenti – semasa satu kempen ketenteraan – di samping mayat seorang wanita yang dibunuh dan mengisytiharkan, “Dia tidak sepatutnya diapa-apakan”?
Bagi mengukuhkan lagi hujah ini, elok juga jika kita mengamati mereka yang tidak memiliki pengaruh, namun hidup semasa zaman dan dalam masyarakat Nabi Muhammad ﷺ. Perhatikan bahawa kekasaran yang dilakukan puak paling lemah pun ditolak-ansur oleh Nabi Muhammad ﷺ. Tiada hujah lain yang mampu menerangkan mengapa baginda melayan mereka dengan baik (sedangkan baginda boleh saja menghapuskan mereka kerana mereka lemah). Jadi, mengapakah baginda masih bertolak-ansur? Ini kerana baginda memiliki akhlak mulia dan baginda berhasrat menyelamatkan sebanyak mungkin jiwa dari terus terperangkap di lembah kesesatan.
Ibu Segala Ekstremisme
Ketika mengagihkan rampasan perang, Dhul Khuwaysira menuduh Nabi Muhammad ﷺ mengagihkannya secara tidak adil. Katanya, “Besikap adillah, wahai Muhammad! Sesungguhnya pembahagian ini tidak adil dan tidak diniatkan tulus kerana Allah!” Mendengar kata-kata itu, wajah Nabi Muhammad ﷺ menampakkan kemarahan. Namun, baginda memilih bagi menjawab tuduhan tidak berasas itu dengan bersabda, “Siapa lagi yang mampu adil kalau Allah dan RasulNya (dianggap) tidak adil? Semoga Allah merahmati Musa; beliau telah disakiti lebih parah daripada ini dan beliau tetap sabar.” Dalam riwayat lain, “Kamu tidak mempercayai saya, sedangkan saya dipercayaiNya yang berada di atas langit?”
Orang yang Paling Baik Menunaikan Hutang
Abu Hurayra (ra) meriwayatkan, “Nabi ﷺ pernah berhutang seekor unta pada seorang lelaki Badwi, lalu lelaki itu datang dan menuntu hutangnya daripada baginda dengan kasar. Ini menaikkan kemarahan para Sahabat, dan mereka hampir saja mengasari lelaki itu, tetapi Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesiapa yang mempunyai hak, maka berhak berkata-kata.” Baginda kemudiannya berkata pada para Sahabatnya, “Belikan unta untuknya dan berikan kepadanya.” Kata para Sahabat, “Kami tidak menjumpai unta yang seusia tetapi menjumpai unta yang lebih besar.” Sabda baginda, “Beli dan berikan kepadanya, dan sesungguhnya, orang yang terbaik dalam kalangan kamu adalah orang yang paling baik menunaikan (hutang).”
Arab Badwi yang Menarik Pakaian Rasulullah ﷺ
Anas (ra) berkata, “Saya berjalan bersama Rasulullah ﷺ. Pada waktu itu, baginda memakai burdah (pakaian) Najrani yang tebal. Tiba-tiba datang seorang Badwi, lalu menarik pakaian Nabi Muhammad ﷺ dengan kuat. Saya nampak kulit leher baginda lebam akibat tarikan kuat yang dilakukan Badwi tersebut. Kemudian dia (Badwi) berkata, “Wahai Muhammad! Berikan kepadaku sebahagian daripada harta Allah yang berada di sisi anda.” Rasulullah ﷺ menoleh padanya dan tersenyum, lalu mengarahkan supaya sesuatu diberikan kepadanya.” Selama empat belas kurun, ulama Islam bukan hanya menyimpulkan tentang ciri-ciri akhlak dan tolak-ansur yang baik daripada peristiwa-peristiwa ini, tetapi juga menyimpulkannya sebagai garis panduan bagi para pemimpin yang datang sesudah Nabi Muhammad ﷺ: mereka perlu bertolak-ansur dengan rakyat, tabah menghadapi cabaran fizikal dan kewangan mereka, dan tidak ambil hati akan kekasaran mereka agar hati mereka tersentuh bagi mendekati Islam.
Belas Kasihan yang Disalah Tafsir
Sesetengah orang keliru kerana pada waktu-waktu tertentu, Nabi Muhammad ﷺ seolah-olah tidak bertolak-ansur dan tidak memaafkan. Walaupun analisis mengenai setiap “insiden ganas” ini penting, namun ia di luar skop kajian ini. Kita sudah pun menggambarkan betapa Nabi Muhammad ﷺ sememangnya cenderung pada kelembutan, kemaafan dan belas kasihan. Itu memang resmi Rasulullah ﷺ. Bagaimanapun, sifat belas kasihannya tidak pula menghalangnya daripada taat pada Allah SWT mahupun menghalangnya daripada melaksanakan keadilan yang ditetapkanNya. Komitmennya pada belas kasihan adalah cara baginya menghambakan diri pada Allah SWT, dan sebagai wadah bagi mendapatkan belas kasihan dan keredaanNya. Atas sebab itulah Nabi Muhammad ﷺ dan Abu Bakar (ra) menangis kerana takutkan Allah SWT: misalnya, apabila Dia menurunkan ayat sesudah Badar bagi menegur keputusan mereka bagi melepaskan tahanan perang atas dasar belas kasihan. Sudah tentu ini tidak boleh ditafsirkan sebagai bermakna yang Allah SWT tidak memiliki belas kasihan. Jauh sekali. Ini kerana Dialah yang Maha Mengasihani. Pada masa sama, ia tidak juga bermakna kuasaNya terhad ekoran sifat Maha MengasihaniNya. Dalam kata lain, Dia tahu yang belas kasihan tanpa had tidak selaras dengan lain-lain nilai murni, seperti keadilan, dan itu akhirnya tidak mendatangkan kebaikan kepada keseluruhan umat manusia. Dari sudut pandang itu, maka barulah kita faham mengapa Nabi Muhammad ﷺ mengizinkan pembunuhan sesetengah orang dan juga memerangi sesetengah yang lain. Namun hakikatnya, baginda barangkali sentiasa berharap yang tindakan seperti itu dapat dielakkan. Dalam banyak hal, kita sebagai manusia – sekalipun dengan niat baik – gagal mencari titik temu antara nilai-nilai yang bersaing. Inilah salah satu sebab mengapa Allah SWT menurunkan panduan lengkap bagi membantu kita mengawal dan meletakkan konteks pada nilai-nilai itu. Dalam Quran, Allah SWT berfirman, “Maka apabila hilang perasaan takut daripada hati Nabi Ibrahim dan sampai kepadanya berita yang menggembirakan itu, (mulailah) dia membantah (utusan-utusan) kami tentang (azab yang akan menimpa) kaum Nabi Lut. Sesungguhnya Nabi Ibrahim, penyabar, lembut hati (bertimbang rasa) lagi suka kembali kepada Allah dengan mengerjakan amal bakti.”[Hood (11): 74-75]. Di sini, Allah SWT memuji Nabi Ibrahim AS sebagai insan yang bersedih atas derita yang dialami manusia dan pada masa sama, baginda juga tunduk pada ketentuan Ilahi. Keseimbangan bersifat kenabian inilah yang Allah SWT ingin pupuk dalam diri Nabi Muhammad ﷺ melalui ayat-ayat tersebut. Allah SWT tidak mahu nabi terakhirNya menjadi kejam seperti orang lain, dan tidak pula mahu Rasulullah ﷺ menjadi pasif, hinggakan mereka yang kejam semakin berani dan terus-menerus mengambil kesempatan atas kelemahan yang wujud. Contohnya adalah hukuman bunuh ke atas Abu ‘Izza (seorang penyajak) sesudah Perang Uhud. Sebenarnya, pada tahun sebelumnya di Badar, baginda membebaskannya tanpa dia perlu membayar wang tebusan. Baginda mungkin ingin memaafkannya sekali lagi kerana memang Nabi Muhammad ﷺ pernah memaafkan orang lain berulang kali. Tetapi baginda akhirnya bersabda, “Demi Allah, kamu takkan berjalan mendada (iaitu bermegah) di Mekah [dan] berkata, “Dua kali aku menipu Muhammad” Tanpa sebarang rujukan (iaitu wahyu Ilahi) bagi mempertimbangkan segala nilai ini, maka dunia berbalah tentang sempadan belas kasihan dan keadilan. Sesetengah orang cenderung ke arah sesuatu yang bersifat utopia dan tidak praktikal. Menurut mereka, kekerasan langsung tidak boleh digunakan, yang mana jelaslah yang mereka menafikan hakikat bahawa sesetengah orang takkan pernah mempunyai “kesedaran beretika” seperti mereka dan akan sentiasa bertindak keterlaluan pada orang lain, melainkan mereka dihalang dengan kekerasan. Ada pula yang cenderung ke arah berlawanan, yang mana bagi mereka, kekerasan dan keganasan dihalalkan bagi mencapai maksud “murni” mereka. Kebanyakan orang pula cenderung mengambil pandangan tengah yang penuh kesamaran. Setiap pihak berhujah mengenai di manakah belas kasihan berakhir dan keadilan pula bermula. Mereka lupa bahawa syiling yang berkarat takkan dapat digilap dengan gosokan lembut, tetapi memerlukan sedikit “kekasaran” bagi menggilapnya. Begitu juga dengan analogi pembedahan pemotongan atau amputasi. Ya, ia memang perlu dielakkan tetapi kadangkala, ia perlu dilakukan bagi menyelamatkan nyawa. Jadi, adakalanya, belas kasihan melibatkan pengorbanan beberapa nyawa bagi menyelamatkan lebih ramai orang.
Melalui kajian ini, kami berharap terpadamlah segala tuduhan bahawa Nabi Muhammad ﷺ didorong kemegahan, kebencian ataupun dendam. Sebagaimana yang dijelaskan sejarawan Perancis, Louis Sedillot,
Tindakan menuduh Nabi Muhammad ﷺ sebagai zalim jelas-jelas tindakan yang memutar-belitkan fakta sejarah. Mereka lupa yang baginda giat berusaha membasmi amalan membalas dendam dalam kalangan masyarakat Arab, sekalipun dendam dipandang tinggi di Tanah Arab, sepertimana lawan pedang dipandang tinggi di Eropah. Mereka juga tidak membaca Quran, di mana Nabi Muhammad ﷺ menghapuskan amalan tidak bertamadun, iaitu menanam hidup-hidup bayi perempuan yang baru lahir. Mereka juga tidak mengambil kira keampunan yang diberikan baginda kepada musuh-musuhnya yang paling ketat sesudah Penawanan Mekah. Bahkan, mereka tidak mengambil kira belas kasihan yang ditunjukkannya pada banyak kabilah yang memeranginya. Tidakkah mereka tahu yang baginda tidak pernah menyalahgunakan kuasanya bagi melakukan kezaliman? Malah jika mana-mana Sahabatnya melakukan kesalahan, baginda akan menghentikan perbuatan mereka dan membetulkannya. Umum mengetahui yang baginda pernah menolak salah seorang pandangan Sahabat akrabnya, Omar bin al-Khattab tentang pembunuhan tahanan perang. Apabila tiba masanya menghukum Bani Quraydha pula, baginda membenarkan Sa‘d bin Mu‘adh – yang pernah menjadi sekutu Bani Quraydha dan berpengetahuan tentang undang-undang Yahudi – bagi membuat keputusan. Baginda juga memaafkan pembunuh Hamza dan tidak pernah menolak sebarang permohonan bagi mendapatkan kemaafan dan kebaikan daripadanya.
Di bahagian lain, beliau menulis mengenai Quran,
Ia melepaskan manusia daripada kegelapan kelemahannya dan mengangkatnya ke arah cahaya ketinggian etika... Mereka yang menuduh Islam sebagai agama tidak bertamadun adalah mereka yang tidak memiliki kesedaran. Ini kerana mereka menutup mata mereka daripada melihat ayat-ayat Quran yang jelas dan mereka tidak mengkaji bagaimana Quran membasmi amalan-amalan buruk yang berlarutan berabad lamanya.
Dengan demikian, kami berharap yang tujuh puluh contoh ini – yang diringkaskan agar lebih mudah dihadam – mampu menyedarkan semua pihak tentang perwatakan sebenar Nabi Muhammad ﷺ: seorang lelaki yang penuh belas kasihan dan kehebatan akhlak, yang mana baginda tidak pernah sekali-kali mengharapkan pujian manusia, tetapi berharap agar teladan yang ditinggalkannya mampu melahirkan dunia yang lebih baik. Moga Allah SWT melimpahkan rahmat ke atas baginda, keluarganya, para sahabatnya dan mereka yang meneladaninya.
[1] Simbol memuliakan baginda yang bermaksud: “selawat dan salam ke atas baginda.”
[2] Michael David. Bonner, Jihad in Islamic History: Doctrines and Practice (Princeton: Princeton University Press, 2006), 16.
[3] Ibid.
[4] Michael H. Hart, The 100: A ranking of the most influential persons in history (New York: Hart Pub. Co., 1978), 21.
[6] Dinisbahkan pada Manuel II Palaiologos, maharaja Byzantine abad ke-14, tetapi baru-baru ini dipetik Pope Benedict XVI, "Tunjukkan kepadaku apa yang dibawa Muhammad yang baru dan anda hanya akan mendapati perkara-perkara jahat dan tidak berperikemanusiaan, seperti perintahnya bagi menyebarkan agama dengan pedang.” Kuliah Holy Father–Faith, Reason and University Memories and Reflections, Libreria Editrice Vaticana, 12 September 2006.
[7] Sepanjang penulisannya, Ayaan Hirsi Ali berhujah yang berdasarkan kehidupan Nabi Muhammad ﷺ, ramai orang Islam pada hari ini menganggap mereka perlu memaksakan Islam ke atas orang lain, dan sejurus selepas baginda lari ke Madinah dan “mengumpulkan suatu gerombolan”, sifat sebenarnya terserlah. Lihat: Islam is a Religion of Violence, Foreign Policy, 9 November 2015.
[8] Lihat: Mustadrak al-Hâkim; Bâb at-Tafseer; Surat an-Nahl; Illâ Man Ukriha wa Qalbuhu Mutma’inn bil-Eemân
[9] Lihat: Sunan Ibn Mâjah (153) dan Hilyat al-Awliyâ’ (472)
[10] Ghazâli, Fiqh-us-Seerah: Understanding the Life of Prophet Muhammad, 117.
[11] Ṣallābī, The Noble Life of the Prophet (peace be upon him),. 327.
[12] Haleem, The Qurʻan: A New Translation by M.A.S. Abdel Haleem, 237.
[13] Ghazâli, Fiqh-us-Seerah: Understanding the Life of Prophet Muhammad, 125.
[14] Ibid.
[15] Ṣallâbi, The Noble Life of the Prophet (peace be upon him), .181.
[16] Kafir Quraysh memfitnah Nabi Muhammad ﷺ sebagai gila, ahli sihir, tukang tilik, pendusta (pemalsu), penyajak, mandul, dilaknat para dewa, dan lain-lain cercaan.
[17] Himpunan Ahmad (9251) dan Abu Dawud (4896), dan al-Arna’oot menganggapnya hasan li-ghayrih (sahih berdasarkan sanad yang menyokong).
[18] Himpunan al-Bukhâri (334)
[19] Himpunan at-Tirmidhi (3683)
[20] Himpunan al-Bukhâri (133, 333)
[21] Himpunan al-Bukhâri (3059) dan Muslim (1795)
[22] Himpunan Ibn Hishâm dalam as-Seera (2/70-72) dan Ibn Sa‘d dalam at-Tabaqât al-Kubrâ (1/211-221)
[23] Himpunan al-Bukhâri (4131)
[24] Himpunan al-Bayhaqi di dalam as-Sunan al-Kubrâ (12477), Ibn Katheer ibn al-Bidâya wan-Nihâya (3/218-219), and at-Tabari in Târeekh al-Umam wal-Mulook (2/372)
[25] Himpunan al-Bukhâri (3419) dan Muslim (2009), dan ini penulisan Ahmad (17627), yang mana al-Arna’oot berkata, “Sanadnya sahih berasaskan criteria yang ditetapkan [Imam] Muslim.”
[26] Muḥammad Ibn Ismāʻīl Bukhārī dan Muhammad Muhsin Khan. Ṣaḥīḥ Al-Bukhārī: The Translation of the Meanings of Sahih Al-Bukhari: Arabic-English. (Riyadh-Saudi Arabia: Darussalam Pub. & Distr., 1997), Hadith 3612.
[27] Zeitlin, The Historical Muhammad, 317.
[28] Esposito, John L. Islam: The Straight Path. Revised Third ed. New York: Oxford University Press, 2005. pp. 8-9.
[29] Himpunan al-Bukhâri (856) dan Muslim (4431)
[30] Himpunan al-Bukhâri (410, 6528)
[31] Himpunan Ibn Hibbân (288), al-Bayhaqi (11066) dan al-Hâkim (6547) yang berkata, “Hadis ini mempunyai sanad sahih, sungguhpun ia tidak dikumpul mereka (al-Bukhâri and Muslim).” Dalam Majma‘ az-Zawâ’id, Al-Haythami berkata, “Ibn Mâjah mengumpulkan sebahagiannya, dan ia diriwayatkan [secara sepenuhnya] oleh at-Tabarâni melalui para periwayat yang [semuanya] boleh dipercayai.”
[32] Himpunan Ibn Ibn Hishâm (1/616-617), as-Sâlihi ash-Shâmi dalam Subul al-Hudâ war-Rashâd (4/27), dan as-Suhayli in ar-Rawd al-Unf (3/58)
[33] Lihat: at-Tâj al-Ikleel (3/353)
[34] Himpunan Muslim (1787)
[35] Himpunan al-Hâkim (3/318) and Ibn Hishâm (3/200)
[36] Himpunan Muslim (1763)
[37] Himpunan at-Tabarâni dalam al-Kabeer (977), dan as-Sagheer (409), dan al-Haythami berkata dalam Majma‘ az-Zawâ’id (6/115), “Sanadnya hasan.”
[38] Himpunan al-Bukhâri (3482) dan Muslim (2242)
[39] Ini juga dinyatakan Sa‘eed b. Jubayr, ‘Atâ’ b. Abi Rabâh, al-Hasan al-Basri, dan Qatâdah. Lihat: Tafseer Ibn Katheer (4/584).
[40] Lihat: as-Seera (2/475) oleh Ibn Katheer dan at-Tabaqât al-Kubrâ (2/15) oleh Ibn Sa‘d.
[41] Himpunan al-Bukhâri (2846) dan al-Bayhaqi dalam as-Sunan al-Kubrâ (18570)
[42] Himpunan al-Bayhaqi dalam Dalâ’il an-Nubuwwa (5/264)
[43] Lihat: at-Tabaqât (4/14) oleh Ibn Sa‘d
[44] Lihat: ‘Uyoon al-Athar (1/352) oleh Ibn Sayyid an-Nâs
[45] Himpunan Ahmad (2216), dan al-Arna’oot berkata, “Sanadnya hasan.” Dalam Majma‘ az-Zawâ’id (4/172), al-Haythami berkata, “Ia Himpunan Ahmad daripada ‘Ali b. ‘Âsim yang melakukan banyak kesilapan, namun Ahmad menganggapnya boleh dipercayai.”
[46] Lihat: al-Bidâya wan-Nihâya (3/311) oleh Ibn Katheer
[47] Himpunan at-Tirmidhi (1566) yang memanggilnya hasan-ghareeb, Ahmad (23546) dan al-Arna’oot memanggilnya hasan berdasarkan sanad yang menyokongnya. Ia juga diriwayatkan al-Hâkim (2334) yang menganggapnya sebagai sahih berdasarkan kriteria yang ditetapkan Muslim, dan at-Tabarâni dalam al-Kabeer (4080), al-Bayhaqi dalam al-Kubrâ (18089), dan al-Albâni menganggapnya sahih dalam Saheeh al-Jâmi’ (6412).
[48] Himpunan al-Hâkim (6193) yang berkata, “Hadis ini mempunyai sanad yang sahih, sungguhpun ia bukan Himpunan mereka (al-Bukhâri and Muslim).” Ia juga Himpunan Sa‘eed b. Mansoor dalam as-Sunan (2654).
[49] Himpunan al-Bukhâri (2970), Abu Dawud (2689), at-Tabarâni dalam al-Kabeer (1/302), dan Ibn Atheer dalam Asad al-Ghâba (1/337)
[50] Himpunan Abu Dawud (3001)
[51] Lihat: as-Seera (2/48) oleh Ibn Hishâm dengan sanad mursal.
[52] Himpunan al-Bukhâri (6530) dan Muslim (1792)
[53] Himpunan Muslim (2599)
[54] “Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.” [al-Mâ’idah (5): 78]
[55] Nabi Muhammad ﷺ bersabda, “Allah melaknat ribâ (faedah), mereka yang menerimanya, yang membayarnya, pencatatnya, saksi-saksinya. Semuanya sama.” Himpunan Muslim (1598).
[56] Nabi Muhammad ﷺ berdoa pada Allah agar melaknat orang seperti Safwân b. Umayya, Suhayl b. ‘Amr, dan al-Hârith b. Hishâm, tetapi menghentikannya apabila Allah SWT berfirman, “Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), samada Dia menerima taubat mereka ataupun Dia menyeksa mereka.”[Âl-‘Imrân (3): 128] Himpunan al-Bukhâri (4283), dan lain-lain.
[57] Dalam Sharh Muslim (6/167), Imam an-Nawawi menerangkan yang rahsia mengapa Rasulullah ﷺ membaca Surah al-Munâfiqoon (Munafik) semasa solat Jumaat adalah bagi menyedarkan golongan munafik agar bertaubat sebelum terlambat. Ini kerana golongan munafik sentiasa bersolat Jumaat.
[58] Himpunan al-Bayhaqi dalam Dalâ’il an-Nubuwwa (3/147-149), Ibn Sa‘d dalam at-Tabaqât (4/200) dan al-Haythami dalam Majma‘ az-Zawâ’id (8/286) yang menisbahkannya pada at-Tabarâni. Sanad yang terbaik antara sanad-sanad ini adalah bersifat mursal dan bersambung hingga ‘Urwa dan satu lagi sanad bersambung hingga Anas (ra). Jadi, para pengkaji sudah banyak berbahas mengenai perkara ini, khususnya perincian mengenai episod ‘Umayr memeluk Islam selepas Badar.
[59] Himpunan al-Bukhâri (5765) dan Muslim (2189). Dalam Fath al-Bâri, Ibn Hajar menerangkan yang Labeed memohon keampunan, dan merayu dengan mengatakan dia melakukannya kerana memerlukan wang. Selain itu, Rasulullah ﷺ juga tidak mahu menyemai permusuhan dalam masyarakat ataupun tidak mahu tersebarnya khabar angin yang Muhammad membunuh para pengikutnya. Ini kerana Labeed adalah salah seorang yang berpura-pura memeluk Islam.
[60] Lihat: al-Bidâya wan-Nihâya (4/159)
[61] Himpunan al-Bukhâri (3518) and Muslim (2584)
[62] Himpunan Ibn Hishâm (2/291)
[63] Lihat: as-Sayr al-Kabeer (2/591) oleh ash-Shaybâni
[64] Lihat: Tafseer al-Qurtubi; [al-Ahzâb (33): 37]
[65] Himpunan al-Bukhâri (60/281)
[66] Lihat: Tafseer Ibn ‘Âshoor; [al-Fath (48): 24]
[67] Himpunan al-Bukhâri (2731, 2732) dan Muslim (4401-4409)
[68] Himpunan al-Bukhâri (2731, 2732) and Muslim (4401-4409)
[69] Himpunan Muslim (1641), Abu Dawud (3316), Ibn Hibbân (4859), ash-Shâfi‘i (1490), ad-Dâraqutni (37), al-Bayhaqi dalam as-Sunan al-Kubrâ (1845), dan Abu Nu‘aym dalam Hilyat al-Awliyâ’ (8/651)
[70] Himpunan Muslim (2491)
[71] Dalam Fath al-Bâri (7/426), Ibn Hajar berkata, “Apabila Arab Badwi itu menyaksikan ketegasan ini dan bahawa sesuatu menghalangnya daripada memudaratkan Nabi Muhammad ﷺ, ia seolah mengesahkan kebenaran [ajaran] Rasulullah ﷺ dan dia juga akhirnya tahu dia takkan mampu memudaratkan baginda. Inilah sebabnya dia meletakkan senjata dan tidak lagi terlalu waspada.”
[72] Himpunan al-Bukhâri (2910) dan Muslim (843)
[73] Himpunan al-Hâkim (4322) yang menganggapnya sahih berdasarkan kriteria yang ditetapkan al-Bukhâri dan Muslim. Imam adh-Dhahabi menyetujui pandangannya, dan al-Albâni mengesahkannya dalam at-Ta‘leeqât al-Hisân (2872).
[74] Himpunan al-Bukhâri (4372) dan Muslim (1764)
[75] Lihat: as-Seera (4/284-285) by Ibn Hishâm
[76] Himpunan al-Bukhâri (83/11) and Muslim (1/176-178)
[77] Himpunan al-Wâqidi (2/749)
[78] Himpunan Muslim (711)
[79] Himpunan al-Bukhâri (801) dan Muslim (2194)
[80] Himpunan al-Bukhâri (1360) dalam Kitâb al-Janâ’iz
[81] Lihat: al-Isâbah fee Ta‘reef as-Sahâba (4/12)
[82] Lihat: al-Bidâya wan-Nihâya (2/540)
[83] Himpunan al-Bukhâri (3817), Abu Dawud (2262), dan an-Nasâ’i (8635)
[84] Dr. Râgheb Sergani mengulas, “Saksikan kebaikan ini, kehebatan ini! Tiada siapa mampu memahami kehebatan perkara ini hinggalah dia sendiri berada dalam situasi itu. Kita bahkan seluruh dunia perlu bersikap jujur pada diri sendiri; selain Rasulullah ﷺ, siapa lagi yang mampu berbuat demikian? Masih ada lagikah orang yang menuduh umat Islam tidak bertoleransi dengan “orang lain”, dan tidak menerima kewujudan orang lain? Dalam minda mereka, adakah Islam masih dianggap agama yang ganas dan tidak bertamadun? Krisis sebenar kita adalah kurangnya ilmu; apabila seseorang mengenali Rasulullah ﷺ dengan lebih dekat, barulah dia sedar betapa fakta lebih penting daripada teori.” Diadaptasi dari “The Prophet’s Tolerance with His Enemies,” artikel di www.islamstory.com
[85] Lihat: as-Seera (4/1072) oleh Ibn Hishâm
[86] Himpunan al-Bukhâri (40300 dan al-Bayhaqi dalam as-Sunan al-Kubrâ (18058)
[87] Lihat: Fath al-Bâri (8/9)
[88] Lihat: as-Seera (2/411) oleh Ibn Hishâm, Zâd al-Mi‘âd (3/356) oleh Ibn al-Qayyim, ar-Rawd al-Unf (4/170) oleh as-Suhayli, dan as-Seera (3/570), dan Fath al-Bâri (8/18) oleh Ibn Hajar
[89] Himpunan Muslim (4395)
[90] Lihat: Tafseer at-Tabari (8/491-492) dan Tafseer Ibn Katheer (2/340)
[91] Lihat: Asad al-Ghâba oleh Ibn Atheer, al-Isâbah oleh Ibn Hajar, dan Fath al-Bâri oleh Ibn Hajar
[92] Himpunan Muslim (2313)
[93] Himpunan al-Bukhâri (6150, 6628) dan Muslim (3234)
[94] Lihat: as-Seera al-Halabiyya (1/461)
[95] Himpunan al-Bukhâri (3844, 4072), Ahmad (16077), dan al-Bayhaqi dalam Dalâ’il an-Nubuwwa (3/241)
[96] Lihat: at-Tabaqât (3/573) oleh Ibn Sa‘d
[97] Himpunan Abu Dawud (4359) dan Ibn Sa‘d dalam at-Tabaqât (339-448)
[98] Lihat: ar-Rawd al-Unf (7/239)
[99] Lihat: ar-Rawd al-Unf (7/114)
[100] Himpunan al-Hâkim (2812), dan lihat: Fath al-Bâri (8/11)
[101] Himpunan al-Hâkim (5103)
[102] Diadaptasi dari Muhammad:A Very Short Introduction, (pp. 41, 56) by Jonathan A.C. Brown, Oxford University Press, 2011. Juga lihat: Seerat Ibn Hishâm (3/502-512), Zâd al-Mi‘âd (3/455) oleh Ibn al-Qayyim, dan Majma‘ az-Zawâ’id (3/407) oleh al-Haythami, yang berkata tentang sanad at-Tabarâni’s, “Perawinya hingga Ibn Ishaq boleh dipercayai.”
[103] Himpunan at-Tabari dalam Târeekh al-Umam wal-Mulook (2/174)
[104] Lihat: al-Wâqidi (3/960-961)
[105] “Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu) dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.”[at-Tawbah (9) 74].
[106] Himpunan Muslim (2779)
[107] Himpunan al-Bukhâri (1269) dan Muslim (2774)
[108] Dirujuk dalam Fath al-Bâri (8/336)
[109] Diriwayatkan oleh Ibn Atheer dalam Asad al-Ghâba (3/504) dan adh-Dhahabi dalam Târeekh al-Islâm (1/354)
[110] Himpunan Ahmad (19397) dan al-Arna’oot menganggap sanad ini sahih.
[111] Himpunan al-Bukhâri (2617) dan Muslim (2190); riwayat-riwayat lain menjelaskan yang mulanya, baginda memaafkannya, tetapi kemudian menyerahkan nasibnya kepada keluarga Bishr b. al-Barâ’ (ra) yang meninggal dunia akibat racunnya. Jadi, keluarga Bishr b. al-Barâ’ (ra) berhak menuntut keadilan undang-undang.
[112] Himpunan Abu Dawud (2761)
[113] Lihat: The Enigma of Islam; the Two Faces of Muhammad, artikel “Renew America” oleh Fred Hutchison, 30 Jun 2006.
[114] Himpunan Muslim (644)
[115] Himpunan Abu Dawud (2663) dan Ahmad (17158)
[116] Himpunan al-Bukhâri (73/85) dan Muslim (1064)
[117] Himpunan al-Bukhâri (578) dan Muslim (3898)
[118] Himpunan al-Bukhâri (3149) dan Muslim (1057)
[119] Lihat: Fath al-Bâri (10/506) oleh Ibn Hajar dan Sharh Muslim (7/147) oleh an-Nawawi
[120] Nabi Muhammad ﷺ bersabda, “Tidak mahu berdepan musuh [dalam peperangan], tetapi apabila kamu berdepan mereka, berdiri teguhlah.” Himpunan al-Bukhâri (2863).
[121] Lihat: ar-Rawd al-Unf (6/30)
[122] Louis Sédillot (d. 1875), Histoire des Arabes (Brief History of the Arabs), halaman 63 - 64 – terbit pada 1854.
[123] Ibid.
Penafian: Pandangan, pendapat, penemuan, serta kesimpulan yang dinyatakan dalam kertas dan artikel ini adalah hak milik penulis. Selain itu, Yaqeen tidak menyokong mana-mana pandangan peribadi pengarang di mana-mana platform. Pihak kami adalah pelbagai di semua bidang, ini membolehkan dialog berterusan dan memperkaya yang membantu kami menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi.
Hak cipta © 2018. Yaqeen Institute for Islamic Research