Islam bukan Punca Pembunuhan Demi Maruah. Islam sebenarnya Menyediakan Penyelesaian.
Dari segi pembunuhan demi maruah (honor killings), anda mungkin tidak pernah membaca ataupun mendengar tentang aspek sejarah ini. Pada 1947 di koloni British di Nigeria, para hakim Inggeris terpaksa mengubah sabitan yang dikenakan mahkamah Syariah tempatan. Ini kerana mereka menganggapnya sebagai ketinggalan zaman. Seorang lelaki dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membunuh. Tetapi mahkamah atasan British mengatakan yang ia jenayah nyalarasa (crime of passion). Lelaki itu membunuh kekasih isterinya. Mahkamah Syariah tidak menyetujui alasan ini tetapi mahkamah British memutuskan si pembunuh tidak sepatutnya dihukum mati. Ya, itulah yang berlaku. Dengan berlandaskan undang-undang Syariah, sebuah mahkamah Syariah tidak menyetujui hujah ‘jenayah nyalarasa’ yang sudah pun lama digunakan bagi mewajarkan pembunuhan demi maruah. Tetapi itulah hujah mahkamah British.
Pembunuhan demi maruah sering terpampang di media massa. Bahkan, Islamophobic Clarion Fund menerbitkan dokumentari bertajuk Honor Diaries yang mengulangi tuduhan bahawa Islam menyokong pembunuhan demi maruah dan betapa tindakan-tindakan kejam itu begitu endemik dalam masyarakat Islam.
Namun hakikatnya, pembunuhan demi maruah bukan berpunca atau digalakkan Islam. Bahkan, di sebalik retorik popular mengenainya, pembunuhan demi maruah bukanlah masalah yang hanya dialami orang Islam. Sebenarnya, kebanyakan pembunuhan demi maruah, termasuk kejadian-kejadian paling serius langsung tidak membabitkan umat Islam. Sebenarnya, kejahilan mengenai ajaran Islam dan realiti kekejaman pada wanita mendatangkan akibat yang serius. Pertama, menuduh Islam sebagai bertanggung jawab atas pembunuhan demi maruah menyebabkan orang Islam tersinggung. Ia memperkukuh keyakinan yang wujud di banyak negara Islam bahawa hak asasi manusia adalah proksi bagi agenda Pembaratan dan penjajahan budaya. Kedua, sensasi mengenai Islam mengalih perhatian dari realiti yang enggan diakui ramai lelaki: bahawa kekejaman pada wanita sesungguhnya adalah masalah sejagat yang bukan berpunca daripada doktrin mana-mana agama atau ciri budaya tertentu. Hakikat ini perlu difahami agar kita mampu menanganinya dengan berkesan. Akhir sekali, ketaksuban pada pandangan kononnya Islam menerima pembunuhan demi maruah menyebabkan orang Islam dan bukan Islam langsung tidak sedar yang Nabi Muhammad ﷺ dan Syariah sebenarnya mengutuk jenayah ini.
Hakikatnya, tragedi kekejaman pada wanita hanya kerana mereka wanita sudah berlaku terlalu lama dan begitu meluas, hinggakan ia tidak mungkin berpunca secara khususnya daripada agama ataupun budaya tertentu. Walaupun ia berlaku dalam banyak bentuk dan dengan kekerapan berbeza mengikut kawasan, ia sebenarnya melanda semua komuniti. Komuniti kebapaan (iaitu melibatkan semua komuniti dengan tahap berbeza) adakalanya ‘mewajarkan’ sesetengah kekejaman ini dengan menggunakan alasan ‘jenayah nyalarasa’. Lain-lain kekejaman pada wanita, seperti pembunuhan demi maruah, ada juga yang melibatkan perancangan terlebih dahulu dan malahan pembabitan beberapa orang, termasuk wanita yang ada kaitan dengan mangsa. Di kawasan-kawasan yang begitu teruk dicemari kekejaman pada wanita, sistem perundangan cenderung menawarkan kelonggaran rasmi ataupun tidak rasmi kepada lelaki yang melakukannya.
Malangnya, pembunuhan demi maruah hanyalah sebahagian fenomena femicide yang lebih besar, iaitu pembunuhan wanita atas sebab-sebab yang dikaitkan dengan jantinanya. Wanita dan gadis yang menjadi mangsa kekejaman tersebut sebenarnya diserang kerana mereka dianggap menyalahi kehendak tertentu tentang bagaimana wanita kononnya perlu berperilaku dalam komuniti mereka. Di rantau Mediterranean, terutamanya di Timur Tengah dan Afrika Utara, termasuklah Asia Selatan, penghinaan seperti itu bukan hanya dianggap terpalit pada ‘maruah’ wanita tersebut tetapi juga keluarganya. Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu membuat anggaran konservatif yang dalam setahun, sekurang-kurangnya 5,000 orang wanita di seluruh dunia menjadi mangsa pembunuhan demi maruah. Di India dan Pakistan, ini seringkali membabitkan pembunuhan anak/adik perempuan hanya kerana mereka jatuh cinta dengan lelaki tanpa persetujuan orang tua, dan ini berlaku bukan hanya dalam kalangan penganut Islam, tetapi juga penganut Hindu. Di lain-lain tempat, femicide berlaku dalam bentuk-bentuk berbeza. Laporan PBB tahun 2012 memperincikan bahawa di kawasan-kawasan tertentu di bahagian selatan Afrika, Asia Selatan dan Asia Tenggara, ratusan wanita dibunuh saban tahun akibat dituduh mengamalkan sihir. Yang membimbangkan adalah para pembunuh pula seringkali dikenakan hukuman ringan.
Walaupun ia sering mendapat perhatian media, pembunuhan demi maruah bukankah femicide yang paling kerap berlaku. Bilangan pembunuhan demi maruah, sama ada di negara Islam mahupun di lain-lain tempat adalah kecil dibandingkan dengan kekejaman paling serius pada wanita, iaitu pembunuhan demi mas kahwin dalam kalangan penganut Hindu di India. Pembunuhan demi mas kahwin adalah pembunuhan isteri (biasanya dengan dibakar) oleh suami ataupun keluarganya kerana gagal memberikan mas kahwin yang cukup besar kepada keluarga suami, menghentikan pemberian mas kahwin atau hanya kerana dianggap gagal menjalankan tanggung jawab sebagai isteri. Jumlah yang menjadi mangsa amat membimbangkan. Laporan PBB tahun 2012 mendapati yang 8,383 pembunuhan demi mas kahwin berlaku di India pada 2009, meningkat dari 4,836 pada 1990. Walaupun kerajaan India mengharamkan pemberian mas kahwin berdekad yang lalu dan mengenal pasti pembunuhan demi mas kahwin sebagai masalah jenayah, pemberian mas kahwin kekal sebagai adat penting dan kematian mencurigakan para isteri jarang-jarang disiasat. Pihak polis biasanya menyimpulkan kematian itu sebagai kemalangan di dapur.
Organisasi Islamofobik menuduh yang Islam dan undang-undang negara Islam mewajarkan pembunuhan demi maruah ataupun tidak mengambil berat tentangnya. Malangnya, hujah kedua mereka memang betul. Perundangan seperti itu memang suatu masalah dan ia seolah berleluasa di Timur Tengah. Dalam undang-undang Mesir, jika seorang lelaki membunuh isterinya dan/atau kekasihnya apabila mereka berdua ‘ditangkap basah’ (in flagrante delicto), si suami hanya dijatuhi hukuman penjara dan bukannya hukuman mati. Undang-undang Maghribi, Kuwait, Lubnan, Syria, Yaman, Oman, UAE dan Jordan juga mengenakan hukuman tidak sepadan bagi pembunuhan mana-mana saudara perempuan (dan kekasihnya) oleh lelaki yang menangkap basah mereka (tetapi UAE dan kemaskini undang-undang Jordan pada 2001 juga memberikan kelonggaran sama kepada wanita yang menangkap basah suaminya).
Hakikatnya, undang-undang ini tidak berlandaskan Syariah atau ajaran Islam. Bahkan, ia sebenarnya diciplak daripada Barat. Undang-undang jenayah yang wujud di Timur Tengah pada hari ini sebenarnya dibentuk Kod Jenayah Uthmaniyyah 1858, yang mana ia digubal sebagai sebahagian usaha Empayar Uthmaniyyah (yang ketika itu sedang merosot) bagi meniru para pesaing Eropahnya. Kod itu hanyalah terjemahan Kod Jenayah Perancis 1832, yang mana ia ditiru bulat-bulat bagi hukuman ringan ke atas pelaku jenayah-jenayah demi maruah. Inilah yang terkandung dalam undang-undang Lubnan, Syria dan Jordan, dan sedikit sebanyak Maghribi (yang tidak pernah menjadi sebahagian Empayar Uthmaniyyah), yang mana ia seperti terjemahan harfiah daripada bahasa Perancis. Kod undang-undang Perancis dan Uthmaniyyah juga banyak mempengaruhi undang-undang Mesir.
Begitulah juga dengan Pakistan yang merupakan negara yang sering terpalit di media ekoran jenayah demi maruah. Sistem perundangannya banyak dipengaruhi undang-undang British. Walaupun Syariah juga mempengaruhi sistem perundangannya, undang-undang jenayah Pakistan adalah berasaskan kod 1860 yang diterapkan British bagi memerintah India. Undang-undang ini memberikan kelonggaran kepada suami yang membunuh isteri susulan “provokasi dahsyat dan mengejut.” Pakistan mereformasi undang-undang ini pada 1990 dengan niat menyelaraskan undang-undangnya dengan Syariah. Secara khususnya, Mahkamah Syariah Persekutuan mengisytiharkan, “menurut ajaran Islam, mana-mana provokasi sekalipun, tidak kira betapa dahsyat dan mengejut pun tidak mengurangkan kedahsyatan jenayah bunuh” [sic]. Malangnya, mahkamah Pakistan kadangkala masih juga mengurangkan hukuman ke atas lelaki yang membunuh demi maruah. Yang peliknya, hakim yang mewajarkan hukuman itu memetik alasan “provokasi dahsyat dan mengejut” yang dialami si pembunuh – ini diambil bulat-bulat daripada undang-undang British.
Sebenarnya, undang-undang Syariah sudah pun menetapkan hukuman bagi pembunuhan demi maruah, iaitu berdasarkan ketetapan yang dibuat Nabi Muhammad ﷺ: suami yang membunuh isterinya dan/atau kekasihnya dianggap melakukan pembunuhan sepertimana pembunuhan lain, sekalipun si suami menangkap basah kedua-duanya. Ini berakar umbi daripada hadis Nabi Muhammad ﷺ. Apabila baginda ditanya apa akan berlaku jika seorang suami menemui isterinya dengan lelaki lain, Rasulullah ﷺ menjawab yang si suami tidak boleh membunuh lelaki itu dan tiada siapa boleh dihukum, melainkan si suami mendatangkan empat orang saksi yang menyaksikan perbuatan itu. Quran menetapkan prosedur praktikal bagi suami ataupun isteri yang mengesyaki kecurangan pasangannya, selain mereka yang menangkap pasangannya tika sedang berlaku curang namun tanpa saksi: pasangan itu perlu mendatangi hakim dan pihak yang menuduh akan bersumpah atas nama Allah SWT sebanyak lima kali bahawa tuduhannya benar. Jika pihak yang dituduh pula bersumpah atas nama Allah SWT sebanyak lima kali bahawa dia tidak bersalah, maka tiada pihak yang dihukum tetapi pasangan tersebut diceraikan (Quran 24:6-7).
Para ulama sememangnya cukup sedar tentang bahaya kekejaman pada wanita. Ulama Yaman yang terkenal pada kurun ke-19, al-Shawkānī (m. 1834M) menulis yang salah satu sebab lelaki yang membunuh wanita dikenakan hukuman mati adalah kerana banyak kekejaman pada wanita berpunca daripada perkara remeh yang dianggap mencalar maruah. Beliau menyimpulkan, “Tidak syak lagi yang kelonggaran ke atas perkara ini adalah salah satu sebab utama yang mengakibatkan kehancuran hidup wanita, terutamanya di wilayah-wilayah Badwi, yang mana ia (komuniti Badwi) dicirikan sifat keras hati, dan rasa malu dan maruah diri yang melampau, yang diwarisi dari zaman Pra-Islam.”
Penolakan pada pembunuhan demi maruah dalam Syariah amat jelas, hinggakan selama berabad lamanya, para fuqaha sepakat dalam hal ini.* Bahkan, apabila mereka mendapat maklumat bahawa Khalifah Umar menetapkan yang lelaki yang membunuh isteri yang ditangkap basah tidak dihukum, mereka menyimpulkan yang maksud Khalifah Umar adalah lelaki itu takkan dihukum Allah SWT pada Hari Kiamat kelak. Tetapi bagi kehidupan duniawi ini, Syariah cukup jelas yang mereka dianggap pembunuh. Pada zaman moden ini, ramai dalam kalangan ulama Muslim terkenal daripada semua kumpulan dan latar belakang, seperti Yūsuf al-Qaraḍāwī dan ʿAbdallāh al-Ghumārī (m. 1993) daripada pihak Sunni dan ulama Syiah yang sudah meninggal dunia, Muḥammad Ḥusayn Faḍlāllāh (m. 2010) mengisytiharkan yang pembunuhan demi maruah sememangnya dilarang Islam. Begitu juga ketetapan yang dibuat sekumpulan imam Kanada, Majlis Muslim Britain dan imam dari Amerika yang terkemuka, Zaid Shakir.
Ya, pihak yang tidak bertanggung jawab memang boleh terus-menerus menuduh Islam membenarkan pembunuhan demi maruah. Namun, kita dapat menerangkan yang ajaran Rasulullah ﷺ dan Syariah sesungguhnya mengutuk tindakan itu. Kekejaman pada wanita dan kegagalan sistem perundangan menghukum para pelaku sememangnya masalah serius di negara Islam seperti Afghanistan dan Pakistan. Kita seelok-eloknya memanfaatkan Islam dan Syariah sebagai hujah bagi menentang kekejaman ini dan bukannya tunduk pada hujah kononnya Islam menjadi puncanya. Hakikatnya, pembunuhan demi mas kahwin dalam kalangan penganut Hindu di India jauh melebihi pembunuhan demi maruah di seluruh dunia, dan negara yang sebenarnya menduduki tangga tercorot dalam kedudukan femicide PBB adalah El Salvador, negara yang majoritinya penganut Katolik. Semua fakta ini, di samping hakikat yang undang-undang negara Islam yang membenarkan pembunuhan demi maruah sebenarnya diimport dari Eropah seharusnya menyedarkan kita mengenai perkara yang masyarakat kita sering terlepas pandang: kekejaman pada wanita adalah masalah umat manusia dan ia berlaku di semua tempat, bahkan pernah dan sedang berlaku di Barat.
* Dalam tradisi Syariah, bagi pengharaman pembunuhan demi maruah, terdapat satu kekecualian. Undang-undang Uthmaniyyah memberikan ruang bagi tindakan ini berdasarkan penyongsangan amat pelik ke atas ketetapan Rasulullah ﷺ bagi isu ini. Dalam satu hadis, Rasulullah ﷺ menjelaskan yang membunuh pasangan curang hanya dibenarkan jika terdapat empat orang saksi yang menyaksikan perzinaan itu. Ini kerana ini bukti yang diperlukan bagi menyabitkan seseorang atas perzinaan. Yang peliknya, sesetengah pakar perundangan Uthmaniyyah tidak menanggapi syarat ini sebagai syarat yang hampir mustahil dipenuhi (kerana ia memerlukan empat orang saksi dengan ciri-ciri ketat, yang mana mereka nampak dengan mata kepala sendiri bahawa penembusan berlaku). Sebaliknya, mereka menggunakannya bagi memberikan kelonggaran bagi pembunuhan demi maruah. Bagaimanapun, ia terhad pada kes-kes tertentu. Undang-undang Uthmaniyyah hanya melepaskan lelaki yang membunuh isteri ataupun anak perempuan mereka, dan ia hanya terpakai bagi situasi yang mana dia membunuh kekasih isteri/anak perempuannya bagi menghalang lelaki itu daripada menyudahi perbuatannya. Ini sebenarnya bercanggah dengan pemahaman sebenar berkenaan perintah Rasulullah ﷺ, sebagaimana yang diterangkan Saʿd b. ʿUbāda. Mulanya, Sa’d menentang ketetapan Rasulullah ﷺ atas rasa maruah dan harga diri, namun dia kemudiannya berkata yang kalaulah dia menemui (iaitu menangkap basah) lelaki lain dengan isterinya, dia “langsung takkan menggerakkan lelaki itu hinggalah dia membawa bersamanya empat orang saksi. Dan, demi Allah, saya takkan membawa mereka sehinggalah lelaki itu menyudahinya.” Kepelikan dalam undang-undang Uthmaniyyah yang memberikan ruang bagi pembunuhan demi maruah barangkali dapat menjelaskan mengapa pada 1858, mereka menerapkan undang-undang Perancis yang membenarkan pembunuhan demi maruah.
[1] Rudolph Peters, Crime and Punishment in Classical Islamic Law (Cambridge: Cambridge University Press, 2005), 124.
[2] Didapati bahawa di bahagian atas Mesir, bukan hanya orang Islam, tetapi keluarga-keluarga Coptic juga terlibat dalam pembunuhan demi maruah; Recep Dogan, “Is Honour Killing a ‘Muslim Phenomenon’? Textual Interpretation and Cultural Representations,” Journal of Muslim Minority Affairs 31, no. 3 (2011): 423 - 440.
[3] Sohail Akbar Warraich, “‘Honor Killings’ and the law in Pakistan,” in ‘Honour’: Crimes, Paradigms, and Violence against Women, edisi Lynn Welchmann dan Sara Hossain (London: Zed Books, 2005), 84 - 97.
[4] Hadis utamanya adalah daripada Abū Hurayra, yang mana Saʿd b. ʿUbāda bertanya pada Rasulullah ﷺ, “Apa pandangan tuan jika saya ketemu seorang lelaki dengan isteri saya? Perlukah saya tunggu sehingga saya membawa empat orang saksi? (a-ra’ayta in wajadtu maʿa imra’atī rajulan a-umhiluhu ḥattā ātiya bi-arbaʿat shuhadā’)." Rasulullah ﷺ menjawab, "Ya." Lihat Ṣaḥīḥ Muslim: kitāb al-liʿān; Sunan Abī Dāwūd: kitāb al-diyāt, bāb man wajada maʿa ahlihi rajulan a-yaqtuluhu. Lihat juga Mālik’s Muwaṭṭā’: kitāb al-aqḍiya, bāb man wajada maʿa imra’atihi rajulan; Musnad Aḥmad Ibn Ḥanbal (cetakan Maymaniyya), 1:238-39.
[5] Muḥammad b. ʿAlī al-Shawkānī, Nayl al-Awṭār, edisi ʿIzz al-Dīn Khaṭṭāb, jilid 8 (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-ʿArabī, 2001), 7:24.
[6] Abū Sulaymā Ḥamd al-Khaṭṭābī, Maʿālim al-sunan, edisi ketiga, jilid 4 (Beirut: al-Maktaba al-ʿIlmiyya, 1981), 4:19; al-Suyūṭī, al-Ashbāh wa’l- naẓā’ir, edisi Muḥammad al-Muʿtaṣim al-Baghdādī (Beirut: Dār al-Kitāb al-ʿArabī, 1414/1993), 746.
[7] ʿAbdallāh al-Ghumārī, al-Ḥāwī, ed. Ibrāhīm Aḥmad Shiḥāta (Cairo: al-Maktaba al-Azhariyya, 2007), 12.
[8]Musnad Ibn Ḥanbal, 1:238
Penafian: Pandangan, pendapat, penemuan, serta kesimpulan yang dinyatakan dalam kertas dan artikel ini adalah hak milik penulis. Selain itu, Yaqeen tidak menyokong mana-mana pandangan peribadi pengarang di mana-mana platform. Pihak kami adalah pelbagai di semua bidang, ini membolehkan dialog berterusan dan memperkaya yang membantu kami menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi.
Hak cipta © 2018. Yaqeen Institute for Islamic Research